Dedah rahsia selamatkan jari – Metro


Dedah rahsia selamatkan jari

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BENTONG: Akibat bimbang jari tangan dikerat, dua guru lelaki masing-masing berusia 28 dan 32 tahun terpaksa memberikan nombor pin kad mesin juruwang automatik (ATM) masing-masing kepada sekumpulan penyamun yang memecah masuk rumah mereka hingga menyebabkan kerugian RM22,000 di Taman Hijau, Karak, dekat sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, kedua-dua mangsa yang nyenyak tidur di rumah sewa mereka berdepan detik cemas apabila leher masing-masing diacu parang oleh sekumpulan tiga penyamun termasuk seorang wanita yang memecah masuk rumah mereka.
Kedua-dua mangsa terpaksa merelakan kumpulan terbabit merampas wang tunai dalam dompet dan selepas tidak berpuas hati dengan jumlah wang yang ada, kumpulan terbabit mengugut mahu mengerat jari kedua-dua guru sekolah rendah itu jika enggan memberikan nombor pin kad ATM masing-masing.

 

Selepas menunggu beberapa jam, kedua-dua mangsa dibawa menaiki Perodua Kelisa milik seorang daripada mereka untuk ke bank berhampiran dan kumpulan itu sekali lagi mengugut mahu mengerat jari jika nombor diberikan itu salah membuatkan mangsa ketakutan.
Sebaik tiba di bank itu, seorang anggota kumpulan berkenaan pergi mengeluarkan wang manakala mangsa yang sudah ditutup mata serta diikat dengan pita pelekat, dijaga oleh dua lagi ahli kumpulan itu.
Selesai mengeluarkan wang mangsa, kumpulan berkenaan kemudian memindahkan mangsa ke sebuah kereta lain dan dibawa bersiar-siar sebelum ditinggalkan di tepi jalan.

 

 

Mangsa diselamatkan anggota polis peronda yang menemui mereka di tepi jalan sebelum dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan.
Ketua Polis daerah, Superintendan Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa yang diikat dengan pita pelekat itu ditemui dan diselamatkan anggota polis peronda kira-kira jam 7 pagi, Sabtu lalu.

 

“Mangsa mengadu Perodua Kelisa miliknya turut dilarikan tiga penyamun terbabit dan hingga kini kenderaan itu masih belum ditemui.
“Seorang daripada mangsa mengalami luka di lengan kanan dan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Bentong. Laporan kejadian itu dibuat di Balai Polis Bentong.
“Polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.