Biar sedikit tetapi meriah – Metro


Biar sedikit tetapi meriah

 0  0 Google +0  0  0

Kampung Gajah: Biarpun dianggap janggal, namun sambutan Hari Guru bagi warga Sekolah Kebangsaan Kampung Bandar (SKKB), di sini, agak unik apabila hanya disambut oleh lapan guru dan sembilan murid.

Bagaimanapun, kekurangan itu langsung tidak merencatkan sambutan Hari Guru warga sekolah berkenaan sebaliknya ia dirai meriah dengan penuh makna. Seperti sambutan di sekolah lain, warga SKKB turut menganjurkan acara sukaneka yang disertai guru dan pelajar selain acara deklamasi sajak.

Guru Besarnya Roslan Yahya berkata, sambutan Hari Guru diadakan secara sederhana namun meriah walaupun hanya disertai guru dan murid sekolah yang menuntut di Tahun 1 hingga 6.

 

 

Beliau berkata, majlis bermula dengan nyanyian lagu patriotik, bacaan perutusan Ketua Pengarah Pelajaran dan diikuti deklamasi sajak murid dan sukaneka guru dan murid.

“Setiap tahun kami meraikan sambutan Hari Guru di sekolah ini seperti sekolah lain biarpun hanya mempunyai bilangan guru dan murid yang kecil,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Guru sekolah itu Sementara itu, murid Tahun Enam, Norhidayah Musa, 12, mengakui kemesraan guru dan murid terjalin erat.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

Hari Guru 5 murid 5 cikgu – Metro


Hari Guru 5 murid 5 cikgu

 15  0 Google +1  0  0

Oleh Abu Bakar Al Sidek

Hutan Melintang: “Saya pernah menyambut Hari Guru disertai hampir seribu murid, namun pengalaman kali ini sedikit janggal apabila meraikan hari bermakna ini bersama lima murid dan lima guru,” kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tebing Rebak (SKTR) Muhaini Ibrahim, 57, semalam.

Muhaini yang baru tujuh bulan berkhidmat di sekolah itu tidak menyangka diberi peluang merasai pengalaman unik sepanjang kariernya bergelar guru apabila dirai cukup istimewa oleh lima muridnya.
Pada sambutan itu, Muhaini bersama lima guru lain termasuk Lee Choong Sing, 47; ldris Baki 47; Khairul Nizan Kamis 32; Muhamad Fauizi Hasim, 24 dan Wan Noraina Ayuni Arfiffin, 25 diberi penghormatan oleh lima murid mereka.

 

Biarpun tidak begitu meriah, namun pelbagai aksi mencuit hati, riuh rendah dan hilai tawa murid dapat didengari apabila program dimulakan jam 8.30 pagi sebelum berakhir tiga jam kemudian.
Program diakhiri dengan lima murid sekolah menyampaikan hadiah kepada guru mereka serta upacara memotong kek ‘Selamat Hari Guru’.
Murid juga diberi peluang menyuap potongan kek kepada guru masing-masing.

 

Muhaini ketika ditemui berkata, sambutan itu dijayakan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan dimulakan dengan bacaan doa selamat diikuti deklamasi sajak oleh murid tahun enam, Mohd Azrol Amri Salim sebelum disusuli nyanyian ‘Guru Malaysia’ oleh guru dan nyanyian lagu ‘Terima Kasih Cikgu’ oleh murid diiringi alat muzik.
Beliau berkata, sambutan di kantin sekolah itu dihadiri ibu bapa murid termasuk Pengerusi PIBG SKTR, Hajar Samad dan Ketua Kampung Tebing Rebak Mat Huri Aki.

 

SKTR adalah antara sekolah kurang murid (SKM) yang masih beroperasi di negara ini membabitkan jumlah murid paling kurang iaitu seorang murid Tahun Satu, seorang murid Tahun Tiga; dua murid Tahun Lima serta seorang murid Tahun Enam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

Jaga sekolah sambil lewa – Metro


Jaga sekolah sambil lewa
KUALA LUMPUR: Syarikat kawalan keselamatan yang bertanggungjawab membekalkan petugas mengawal kawasan sekolah diingatkan supaya tidak menyediakan kakitangan yang sambil lewa ketika bertugas hingga boleh membahayakan nyawa pelajar dan guru.

Amaran dibuat berikutan ada beberapa pengawal sekolah khususnya di bandar yang gagal berfungsi dengan baik, malah langsung tidak memberi perhatian terhadap kenderaan dan pelawat yang keluar masuk.
Perkara itu diakui Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi yang memberitahu berdepan situasi itu ketika mengadakan lawatan mengejut di beberapa sekolah, baru-baru ini.

“Sebagai contoh, ketika berkunjung ke sebuah sekolah di Putrajaya, pengawal keselamatannya bukan saja tidak melihat kenderaan yang masuk, malah duduk dalam pondok sambil baca surat khabar daripada saya mula-mula masuk hingga keluar semula.
“Sedangkan ketika melawat sekolah di kawasan pedalaman, kenderaan saya ditahan dan saya sendiri diminta mengisi rekod masuk. Saya tak marah pun apabila diminta buat begitu sebab saya tahu itulah prosedurnya dan sepatutnya dijalankan di semua sekolah.
“Bayangkan jika penjenayah atau pihak tidak bertanggungjawab menceroboh masuk sedangkan pengawal keselamatan ada, tetapi tidak bertugas dengan baik,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah dan Penutup Hari Mekar Bahasa dan Sastera 2012 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, semalam yang turut dihadiri Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan.
Kira-kira 400 murid sekolah rendah dan menengah menyertai program dua hari itu menerusi pelbagai pertandingan termasuk pertandingan sahibba, jejak bahasa, membaca berita, roda kata, kuiz bahasa dan sastera selain pidato, deklamasi sajak serta syair.

Mohd Puad berkata, kementerian berhak mengambil tindakan tegas termasuk menarik semula kontrak sekiranya syarikat kawalan keselamatan sengaja membekal pekerja tidak menepati standard penyampaian perkhidmatan sepatutnya.
“Saya tak kata semua syarikat kawalan keselamatan gagal berfungsi, tetapi saya tidak mahu hanya kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Sebab itu, syarikat kena beri kerjasama lakukan tanggungjawab dengan baik,” katanya.
Beliau menyokong cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menambah anggota keselamatan termasuk Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) untuk berkawal pada waktu puncak.
Menurutnya, persekitaran sekolah lebih selamat dan terkawal sekiranya pasukan keselamatan itu ditempatkan di pekarangan luar yang tidak mampu diselia pengawal keselamatan.