Guru Di Perak Korban Terbaru Demam Denggi – Bernama


Guru Di Perak Korban Terbaru Demam Denggi
KUALA LUMPUR: Seorang guru lelaki berusia 52 tahun di Perak menjadi korban terbaru kes demam denggi minggu lepas. Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata kematian itumenjadikan jumlah korban akibat denggi sehingga Sabtu lepas ialah 25 orang,meningkat enam kes berbanding 19 bagi tempoh sama tahun lepas.

“Mangsa yang mempunyai sejarah penyakit diabetes dan darah tinggi dimasukkanke hospital setelah dua hari mengalami demam, sakit kepala dan muntah sebelumdirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan meninggal dunia selepas sehari dirawat diunit itu. “Kawasan kediaman mangsa merupakan lokaliti wabak yang sehingga kini sebanyak enam kes telah dilaporkan. Hasil pemeriksaan menjumpai dua tong terbuang yang menjadi tempat pembiakan Aedes,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata bagi tempoh 1 hingga 7 Julai, sebanyak 364 kes demam denggidilapor, menunjukkan tiada perubahan berbanding minggu sebelumnya. Walaubagaimanapun, lapan negeri menunjukkan peningkatan kes iaitu Perak 10 kes (39 peratus), diikuti Terengganu lima kes (50 peratus), Sarawak empat kes (36 peratus), Kedah tiga kes (21 peratus), Negeri Sembilan dua kes (25 peratus) dan masing-masing satu kes di Pulau Pinang (tujuh peratus), Kelantan (enam peratus) dan Kuala Lumpur serta Putrajaya (tiga peratus).

Jumlah terkumpul kes denggi dari Januari hingga 7 Julai tahun ini ialah 12,158 yang menyaksikan peningkatan sebanyak 13 peratus atau 1,417 kes berbanding tempoh sama pada tahun lepas, katanya. -BERNAMA

Kelab Doktor Muda disaran sebagai program pendidikan kesihatan – Bernama


Kelab Doktor Muda disaran sebagai program pendidikan kesihatan

7 Julai 2012
PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini menyarankan Kementerian Pelajaran agar program Kelab Doktor Muda dilaksanakan sebagai program pendidikan kesihatan berterusan dan secara automatik di semua sekolah rendah di negara ini.

Liow berkata langkah itu penting kerana sehingga Jun lepas, hanya 1,500 sekolah menjayakan program itu dengan penglibatan 36,000 pelajar, berbanding 2,860,340 murid sekolah rendah daripada 7,714 sekolah di seluruh negara.

“Bilangan ini hanya 19 peratus daripada jumlah sekolah rendah di seluruh negara. Ia satu bilangan yang masih kecil,” katanya ketika merasmikan Sambutan Minggu Doktor Muda Peringkat Kebangsaan dan Karnival Jelajah Sihat Putrajaya 2012, di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2), hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Kawalan Penyakit Dr Chong Chee Kheong. Turut hadir Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pelajaran, Muhamat Roli Hasan yang mewakili Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.

Bermatlamat melahirkan murid yang mementingkan dan mengutamakan kesihatan, Kelab Doktor Muda merupakan program bagi murid sekolah tahun 4, 5 dan 6 yang terpilih dan terlatih sebagai pembimbing rakan sebaya yang bertindak sebagai pemangkin kepada perubahan pengetahuan, sikap dan amalan kesihatan yang positif dalam kalangan pelajar sekolah.

Katanya kewujudan kelab itu dilihat sebagai rasional memandangkan murid-murid kini berhadapan dengan pelbagai isu kesihatan yang serius antaranya obesiti, keracunan makanan, demam denggi, penyakit kulit dan masalah kutu.

“Kementerian Kesihatan menerusi Bahagian Pendidikan Kesihatan akan mengambil inisiatif melatih lebih ramai guru dan anggota kesihatan agar kerkemahiran dan terlatih dalam melaksanakan program ini,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kementerian pelajaran yang mewartakan Minggu Sihat Doktor Muda dari 1 hingga 7 Julai setiap tahun dalam kalendar pendidikan negara. – Bernama

Murid mati makan juadah berbuka – Berita Harian


Murid mati makan juadah berbuka
Oleh Norrasyidah Arshad

2011/08/10

Enam turut alami muntah, cirit birit

MERU: Seorang murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai dekat sini, meninggal dunia pagi kelmarin, selepas mengalami muntah dan cirit birit kira-kira setengah jam selepas menikmati juadah berbuka puasa yang dibelikan bapanya di sebuah bazar Ramadan berdekatan rumahnya di Taman Seri Mewah di sini, petang Ahad lalu.

Selain Nurdini Mohamad Ali, 11, hampir seluruh ahli keluarganya turut mengalami simptom sama sehingga terpaksa dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, selepas memakan juadah sama.

Mereka ialah ibunya, Noraliti Ramli, 37, yang kini hamil lima bulan, dan empat abangnya, Mohammad Syafiq, 14; Mohammad Irfan, 13; Mohammad Fitri, lapan dan Mohammad Hazimi, tiga tahun serta pembantu rumah dikenali sebagai Pati.

Mohammad Irfan dan Mohammad Fitri turut disyaki dijangkiti penyakit taun, manakala Mohammad Hazimi menghidap demam denggi.

Bapa mangsa, Mohamad Ali Khir, 37, yang ditemui di HTAR, berkata jam 6.10 pagi kelmarin, beliau ke bilik air dan terdengar bunyi dengusan seperti lembu disembelih dari bilik air.

“Sebaik membuka pintu bilik air, saya terkejut melihat Nurdini dalam keadaan terlentang dengan mata terbeliak dan mulutnya berbuih,” katanya.

Mohamad Ali yang tidak dapat menahan sebak, berkata Nurdini meminta air batu campur (ABC) dan otak-otak sejak awal Ramadan lagi, tetapi hanya Ahad lalu beliau berkesempatan membeli juadah berkenaan.
“Kira-kira setengah jam selepas berbuka dengan juadah itu, perut saya mula berasa tidak selesa dan kira-kira sejam kemudian kami sekeluarga dan pembantu rumah mula muntah serta cirit-birit sehingga tidak larat untuk bangun ke bilik air.

“Sebaik melihat keadaan Nurdini yang semakin teruk, saya membawanya ke HTAR tetapi sebaik tiba di hospital, doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Ahli keluarganya yang lain dibawa ke hospital sama dengan bantuan jiran.

Mohamad Ali berkata, biarpun beliau turut mengalami simptom sama, beliau menggagahkan diri dan tidak mahu dirawat di hospital kerana tiada siapa untuk menguruskan jenazah anaknya.

Jenazah Nurdini dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru, selepas Zuhur, petang kelmarin.

Ditanya sama ada beliau mahu mengambil tindakan terhadap peniaga yang menjual makanan yang disyaki tercemar, Mohammad Ali berkata beliau tidak mahu menyalahkan sesiapa, tetapi menasihati peniaga bazar Ramadan mengambil iktibar dan berhati-hati ketika mengendalikan makanan yang dijual supaya kejadian menimpa keluarganya tidak berulang.