Polis kenal pasti suspek
KAJANG: Susulan pergaduhan di sebuah sekolah menengah di sini, semalam, polis sudah mengenal pasti beberapa suspek yang disyaki terbabit kejadian itu berdasarkan keterangan saksi kejadian selain motosikal milik suspek yang rosak dan ditinggalkan berhampiran kawasan sekolah berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan menyeluruh kes berkenaan dan motif kejadian dipercayai berpunca akibat salah faham antara kumpulan samseng terbabit dengan beberapa pelajar sekolah itu.
“Setakat ini, maklumat yang kami terima hanya empat individu termasuk seorang guru cedera dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital berhampiran dan kami masih menyiasat kejadian ini secara menyeluruh kerana membabitkan keselamatan pelajar.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dengan senjata berbahaya hingga menyebabkan kecederaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali,” katanya ketika dihubungi, semalam.