Dua jam diazab bapa – Metro


Dua jam diazab bapa

 2  0 Google +0  0  0

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun terpaksa menempuh detik hitam dalam hidupnya apabila didera bapa kandungnya sendiri selama hampir dua jam dalam kejadian di rumah mereka di Sentul Utama, di sini, hanya kerana menghilangkan sebatang pensel warna.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, kanak-kanak malang terbabit dilaporkan dirotan, dicekik, disepak sebelum dipijak di bahagian perut. Tidak cukup dengan itu, mangsa turut ditumbuk sebelum kepalanya dibotakkan bapanya berusia 30-an itu.

Menurut sumber, akibat perbuatan keji si bapa, kanak-kanak terbabit bukan sekadar trauma sebaliknya mengalami kecederaan serius di tangan kiri, paha kanan dan kepala.

 

 

Menceritakan semula kejadian itu, sumber itu berkata, kejadian berkenaan dilaporkan di Balai Polis Sentul, di sini, semalam, oleh guru kaunseling sekolah kanak-kanak terbabit selepas mangsa menceritakan kejadian menimpanya kepada guru kelasnya.

“Mangsa yang datang ke sekolah dalam keadaan lebam di muka menceritakan kejadian itu kepada guru kelasnya sebelum kanak-kanak itu dibawa ke balai polis berhampiran,” katanya.

Sumber berkata, kanak-kanak terbabit mendakwa dipukul bapanya di ruang tamu rumah mereka di Sentul Utama, di sini.

 

“Suspek dilaporkan berang apabila anak perempuannya itu (mangsa) menghilangkan sebatang pensel warna dibelinya,” katanya.

Katanya, lelaki terbabit dilapor bukan sekadar merotan mangsa, sebaliknya mencekik, menyepak dan memijak perut anaknya itu.

 

“Lebih kejam, suspek turut menumbuk kepala berulang kali sebelum membotakkan kepala anak perempuannya itu,” katanya.

Sumber itu berkata, kanak-kanak terbabit dilaporkan didera suspek hampir dua jam.

“Lelaki itu dilaporkan hanya berhenti mendera anaknya selepas melihat mangsa dalam keadaan lemah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu siasatan dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/03

Cekal seorang guru – Sinar Harian


Cekal seorang guru

M FEISAL NORAWI
21 Januari 2013
Cekal seorang guru
Mohd Jasmin (tengah) berbual bersama Saifuddin sambil diperhatikan Normah ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Teluk Ira, kelmarin

TEMERLOH – Hanya semangat kental sebagai pendidik banyak membantu seorang guru berulang-alik ke sekolah sejauh 11 kilometer setiap hari walaupun disahkan menghidap penyakit saraf atau lebih dikenali sebagai ‘Prolapse Intervertebral Disc’ (PID).

Mohd Jasmin Jamaluddin, 40, sepatutnya masih dalam tempoh cuti sakit seperti dinasihati pakar, tetapi semangat kuat menyebabkan dia melupakan sementara deritanya untuk terus mengajar di Sekolah Kebangsaan Teluk Ira, di sini.

Menceritakan detik awal perubahan hidupnya bermula 1 Julai 2012 apabila tiba-tiba diserang kesakitan amat sangat di bahagian paha kiri dan belakang badan ketika berada di rumahnya, dekat Taman Temerloh Jaya, di sini.

Menurutnya, tanpa sebarang petanda, dia diserang kesakitan amat sangat sehingga tidak mampu bangun, malah disentuh jiran-jiran yang cuba membantunya.

“Saya dibawa ke Hospital Temerloh dengan ambulans. Sampai di wad kecemasan, saya terpaksa disuntik morfin sebanyak empat kali untuk menahan sakit.

“Selepas disahkan menghidap PID, saya menerima rawatan selama 29 hari dalam wad, selain terpaksa pakai lampin pakai buang sebab terlalu sakit hingga tak sedar terkencing,” katanya semasa menerima lawatan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah di SK Teluk Ira.

Walaupun menderita penyakit tidak pernah diketahui sebelum ini, Mohd Jasmin masih mendapat sokongan isteri, Rosliza Mohamed, 31, dan tiga anaknya yang masih kecil.

Menurutnya, jiwa sebagai pendidik menyebabkan dia mengambil keputusan untuk pergi ke sekolah walaupun tempoh cuti sakitnya masih panjang.

“Saya tukar kereta dengan abang sebab keretanya gear automatik. Jadi senanglah saya memandu untuk berulang-alik ke sekolah walaupun jaraknya 11 kilometer dari rumah.

“Guru besar (Normah Hussein) sangat baik. Beliau tempatkan saya mengajar di makmal dan perpustakaan di tingkat bawah. Setiap kali subjek saya, murid-murid akan turun dari kelas dan belajar di bawah.

“Dulu saya ajar Bahasa Melayu, tetapi guru besar ringankan tugas saya dengan mengajar subjek elektif. Jadi ringanlah sikit beban saya,” katanya.

Walaupun mampu berulang-alik ke sekolah, Mohd Jasmin sedikit terkilan kerana terpaksa menangguhkan pengajian jarak jauh Program Pensiswazahan Guru di Institut Perguruan Lipis.

Menurutnya, hanya tinggal tiga tahun lagi dia akan menamatkan pengajiannya dan disebabkan masalah kesihatan, dia merayu kementerian menukarkan mata pelajaran Muzik diambilnya kepada Bahasa Melayu.

“Permintaan ini berikutan mata pelajaran Muzik memerlukan banyak latihan amali. Dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan sekarang, saya rayu kementerian mempertimbangkan pertukaran subjek ini,” katanya.

Guru cemas diacu parang – Sinar Harian


Guru cemas diacu parang
NORFARAHAH 0THMAN
9 Julai 2012

Mathavan menunjukkan bilik anaknya yang digeledah penyamun.
KARAK – Niat sekeluarga beristirahat di rumah sempena hujung minggu bertukar detik mencemaskan apabila didatangi tiga ‘tetamu’ tidak diundang bersenjatakan parang kira-kira jam 10 pagi kelmarin.

Dalam kejadian itu, S Sasikala, 49, bersama dua anak perempuannya berusia 13 dan 20 tahun berada di dalam rumah, manakalanya ibunya, Letchumi, 75, sedang membaca akhbar di tepi rumah.

Sasikala yang merupakan seorang guru berkata, ketiga-tiga lelaki itu masuk ke rumahnya di Taman Hijau, dekat sini, menerusi pintu pagar dan terus meluru ke arah ibunya yang berada di tepi rumah.

Menurutnya, lelaki terbabit mengacu parang di leher ibunya dan membawanya masuk ke dalam rumah sebelum meminta menyerahkan barang kemas yang dipakai.

“Ketika itu saya dan seorang anak berada di bilik tidur utama manakala anak sulung pula sedang mandi di biliknya.

“Ketiga-tiga lelaki itu bertindak mengumpulkan kami berempat di dalam bilik tidur utama sebelum meminta saya menunjukkan tempat simpanan barang berharga,” katanya.

Bimbang diapa-apakan, Sasikala terpaksa menurut kehendak lelaki terbabit.

Dikunci dalam tandas

Sasikala berkata, ketiga- tiga lelaki itu tidak memakai sebarang penutup muka dan usia mereka dalam lingkungan 25 tahun ke bawah.

Katanya, mereka turut mengugut dan mengacukan parang di bahagian leher serta tangan keluarganya sekiranya berbuat bising.

“Selepas kira-kira 20 minit menggeledah semua bilik dan mengambil barangan berharga, kami sekeluarga diminta masuk ke dalam tandas bilik tidur utama dan dikunci. Ketika itulah ketiga-tiga mereka melarikan diri.

“Saya dan anak-anak mengambil masa kira-kira 10 minit untuk membuka pintu tandas memandangkan ia dikunci dari luar sebelum meminta pertolongan jiran,” katanya.

Terkejut keluarga disamun

Sementara itu, suami Sasikala, K Mathavan, 49, yang juga seorang guru berkata, dia dimaklumkan isterinya berhubung kejadian itu menerusi panggilan telefon dan bergegas pulang ke rumah.

Menurutnya, dia terkejut kerana kejadian itu berlaku selepas 15 minit dia keluar rumah untuk menghantar anak lelakinya ke Bentong bagi menghadiri kelas tuisyen.

“Saya keluar dari rumah jam 9.45 pagi selepas bersarapan bersama semua ahli keluarga dan kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi.

“Namun saya bersyukur kerana mereka tidak diapa-apakan penyamun terbabit,” katanya.

Mathavan berkata, susulan kejadian itu mereka membuat laporan polis dan selepas diperiksa pelbagai barangan dilarikan penyamun termasuk komputer riba, empat telefon bimbit, wang tunai RM500 dan barang kemas.

Siasatan diteruskan Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Menurutnya, ia dipercayai dilakukan kumpulan yang aktif melakukan kegiatan samun di beberapa daerah lain.

“Modus operandi kumpulan itu dipercayai sama dan polis sedang menggiatkan usaha mengesan mereka. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sekeluarga disamun – Metro


Sekeluarga disamun

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PORT DICKSON: Seorang guru lelaki dan keluarganya menempuh detik menakutkan apabila diikat dalam sebuah bilik oleh tiga lelaki bertopeng yang menceroboh masuk kediaman mereka dalam kejadian samun di Kampung Permatang Pasir, Linggi, dekat sini, awal pagi Khamis lalu.

Difahamkan, dalam kejadian jam 3.15 pagi, mangsa berusia 45 tahun yang tidur dikejutkan dengan kehadiran penyamun yang melarikan barangan berharga dianggarkan bernilai lebih RM10,000.
Mangsa yang berjaya melepaskan diri daripada ikatan dua jam kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Linggi untuk tindakan lanjut.