PERADUAN MENULIS CERPEN PELAJAR SEKOLAH RENDAH


PERADUAN MENULIS CERPEN PELAJAR SEKOLAH RENDAH

29 April 2013
Peraduan Menulis Cerpen Pelajar Sekolah Rendah (Untuk 10 -12 tahun)
Tarikh tutup : 31 Mei 2013
Muat turun Borang penyertaan]

 

Diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka

Trend bahasa ringkas SMS pengaruhi pelajar membimbangkan – Utusan


Trend bahasa ringkas SMS pengaruhi pelajar membimbangkan

PAGOH 20 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru semua pihak agar memandang serius trend pengunaan bahasa ‘moden’ yang ringkas dan singkat oleh golongan pelajar pada masa ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun trend itu fenomena global, namun penggunaannya tidak harus mencemarkan bahasa standard khususnya dalam bidang pendidikan.

“Untuk membolehkan pembelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan bahasa lain tidak tercemar, guru-guru di sekolah perlu ingatkan pelajar supaya membuat karangan dan jawab soalan dengan menggunakan ejaan standard seperti yang ditetapkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Kita tahu walaupun daripada segi perhubungan ini fenomena global dan khidmat pesanan ringkas (SMS) tak boleh panjang untuk jimat dan bahasa ringkas. Daripada segi komunikasi kita faham dan saya harap jangan terpengaruh sangat dan tidak guna singkatan dalam proses pembelajaran,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran diminta mengulas trend golongan pelajar yang banyak menggunakan singkatan dalam komunikasi harian terutamanya dalam SMS yang dihantar.

Muhyiddin ditemui selepas merasmikan Karnival Keusahawanan dan Pendidikan Johor di Kompleks Sukan Pagoh, di sini hari ini.

Ditanya mengenai persiapan menghadapi banjir, Timbalan Perdana Menteri berkata, semua jabatan dan agensi yang berkaitan telah diarahkan bersedia menghadapi bencana itu.

Menurutnya, Jabatan Meteorologi menjangkakan musim tengkujuh tahun ini lebih awal dan meminta orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan dan panduan yang dikeluarkan jawatankuasa banjir di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah diminta bersedia dengan bantuan yang akan diberikan kepada mangsa banjir dan menyimpan stok makanan bagi menghadapi bencana itu.

Terdahulu, dalam ucapannya Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap rakyat dan menggalakkan mereka menceburi bidang perniagaan khususnya kaum bumiputera menjadi peniaga kecil dan sederhana (PKS) dan telah memperuntukkan dana yang banyak iaitu RM16.1 bilion bagi tempoh 2006 hingga 2012.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121021/dn_03/Trend-bahasa-ringkas-SMS-pengaruhi-pelajar-membimbangkan#ixzz29u7itauz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bulan Bahasa Kebangsaan: Martabatkan Bahasa Kebangsaan Kita


Bulan Bahasa Kebangsaan: Martabatkan Bahasa Kebangsaan Kita

Pengenalan

– BULAN BAHASA KEBANGSAAN (BBK) merupakan salah satu acara tahunan negara bagi memperkasakan bahasa kebangsaan.
– Suatu gerakan besar-besaran di seluruh negara yang melibatkan semua lapisan masyarakat.
– Kegiatan-kegiatan khusus BBK dilaksanakan di seluruh negara pada bulan Oktober.
– Tahun 2012 merupakan tahun ke-14 program ini diadakan.

Matlamat

– Menyerlahkan fungsi serta peranan bahasa kebangsaan sebagai salah satu tonggak pembinaan citra serta jati diri bangsa dan negara;
– Mempersegar kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan;
– Mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa menerusi kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan.

Sumber: Dewan Bahasa dan Pustaka

Kementerian Akan Latih Guru Bahasa Di Sekolah Vernakular – mStar


Kementerian Akan Latih Guru Bahasa Di Sekolah Vernakular

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran sedia melatih guru-guru Bahasa Malaysia di sekolah-sekolah vernakular bagi memastikan bahawa subjek tersebut boleh diajar dengan berkesan.

Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata program latihan Bahasa Malaysia adalah selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Negara 2013-2025, yang bertujuan untuk menyeragamkan pengajaran Bahasa Malaysia di sekolah-sekolah vernakular dengan sekolah kebangsaan pada tahun 2014.

“Dengan latihan, guru akan menjadi lebih dekat dengan pelajar, di mana keperluan dan kehendak setiap pelajar dapat dipenuhi,” katanya pada Bahasa 2012 dan Sastera Festival penyampaian hadiah majlis di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini.

“Dalam melaksanakan Bahasa Malaysia standard kurikulum, pelajar-pelajar di sekolah Tamil dan Cina dengan masalah dalam Bahasa Malaysia akan diberi bimbingan dalam kelas pemulihan, yang akan diadakan sekurang-kurangnya lima kali seminggu.

“Jika perlu, guru-guru Bahasa Malaysia akan dihantar ke sekolah-sekolah vernakular untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru di sana,” katanya.

Pada kejayaan kumpulan pelajar pro-establishment dalam pilihan raya kampus universiti awam, Muhyiddin berkata ia boleh menjadi tanda bahawa pelajar telah menyokong kerja Kerajaan dan usaha untuk negara.

“Kami berharap mereka akan menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik kerana mereka adalah pemimpin masa depan kita,” kata Muhyiddin.

Kavyan sokong selaraskan subjek BM di SK, SJK – Sinar Harian


Kavyan sokong selaraskan subjek BM di SK, SJK

UTHAYA SANKAR SB
28 September 2012

KETIKA berucap pada majlis perasmian penutupan Festival Bahasa dan Sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 27 September 2012, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa kerajaan bercadang melaksanakan kurikulum Bahasa Malaysia yang sama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) untuk murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), bermula dengan murid kohort Tahun Empat pada 2014.

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang diasaskan pada 1999 menyokong penuh langkah ini ke arah memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi, bahasa komunikasi dan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum; termasuk di sekolah beraliran bahasa ibunda.

Kavyan berpendapat bahawa belum terlewat untuk menyelaraskan standard mata pelajaran Bahasa Malaysia di SK, SJKT dan SJKC. Hal ini memandangkan jurang antara ketiga-tiga aliran itu perlu dikurangkan dan cara paling mudah adalah dengan menyamakan standard mata pelajaran Bahasa Malaysia.

Buat masa ini, UPSR bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia juga dilaksanakan dalam tiga tahap berbeza bagi murid SK, SJKC dan SJKT. Kavyan berpendapat bahawa amalan itu perlu dihentikan kerana secara tidak langsung, hak kanak-kanak pelbagai kaum di sekolah berlainan aliran untuk menguasai Bahasa Malaysia seperti dinafikan menerusi sistem pendidikan yang berbeza.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, dengan peningkatan penguasaan Bahasa Malaysia dalam kalangan murid SJKC dan SJKT, dijangkakan kelas-kelas peralihan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di seluruh negara akan dapat dimansuh menjelang 2017.

Kavyan juga sangat mengalu-alukan dan sangat menyokong pemansuhan kelas peralihan secara sepenuhnya. Pada pendapat Kavyan, tidak ada alasan mengapa murid yang belajar di Malaysia perlu memberi – atau diberi – alasan belum menguasai Bahasa Malaysia dan perlu mengikuti kelas peralihan selama setahun sebelum masuk ke Tingkatan Satu di SMK.

Kavyan juga bersetuju dengan cadangan Menteri Pelajaran iaitu  murid-murid SJKC dan SJKT yang mempunyai masalah dalam pembelajaran Bahasa Malaysia diberi sokongan yang secukupnya melalui kelas-kelas pemulihan yang diadakan sehingga lima jam seminggu.

Sejak 1999, Kavyan terlibat dalam mengendalikan pelbagai acara ke arah memartabatkan Bahasa Malaysia di SK, SJKT dan SJKC. Berdasarkan pengalaman itu, Kavyan bersedia membantu Kementerian Pelajaran bagi menjayakan hasrat meningkatkan penguasaan Bahasa Malaysia dalam kalangan murid-murid pelbagai kaum di SK, SJKC dan SJKT.

Kavyan juga berharap, guru-guru Bahasa Malaysia di SJKC dan SJKT diberikan latihan tambahan sebagai persediaan untuk memblehkan mereka mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara benar-benar berkesan, selaras hasrat kerajaan memartabatkan Bahasa Malaysia di sekolah beraliran bahasa ibunda.

Ke arah itu, Kavyan juga bersedia mengendalikan latihan berupa program Latihan Dalam Perkhidmatan bagi para guru terbabit di seluruh negara. Kavyan bersedia berkongsi pengalaman, ilmu dan panduan menjadikan P&P lebih menarik dan berkesan; khususnya di SKJC dan SJKT.

Kavyan yang menggunakan slogan “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia” terdiri daripada sekumpulan penulis dan peminat sastera Bahasa Malaysia dalam kalangan kaum India. Sejak November 2011, keahlian Kavyan terbuka kepada masyarakat pelbagai kaum sebagai usaha mendaulatkan Bahasa Malaysia ke arah pembinaan Bangsa Malaysia menerusi karya sastera kebangsaan.
Uthaya Sankar SB, Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)

Jaga sekolah sambil lewa – Metro


Jaga sekolah sambil lewa
KUALA LUMPUR: Syarikat kawalan keselamatan yang bertanggungjawab membekalkan petugas mengawal kawasan sekolah diingatkan supaya tidak menyediakan kakitangan yang sambil lewa ketika bertugas hingga boleh membahayakan nyawa pelajar dan guru.

Amaran dibuat berikutan ada beberapa pengawal sekolah khususnya di bandar yang gagal berfungsi dengan baik, malah langsung tidak memberi perhatian terhadap kenderaan dan pelawat yang keluar masuk.
Perkara itu diakui Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi yang memberitahu berdepan situasi itu ketika mengadakan lawatan mengejut di beberapa sekolah, baru-baru ini.

“Sebagai contoh, ketika berkunjung ke sebuah sekolah di Putrajaya, pengawal keselamatannya bukan saja tidak melihat kenderaan yang masuk, malah duduk dalam pondok sambil baca surat khabar daripada saya mula-mula masuk hingga keluar semula.
“Sedangkan ketika melawat sekolah di kawasan pedalaman, kenderaan saya ditahan dan saya sendiri diminta mengisi rekod masuk. Saya tak marah pun apabila diminta buat begitu sebab saya tahu itulah prosedurnya dan sepatutnya dijalankan di semua sekolah.
“Bayangkan jika penjenayah atau pihak tidak bertanggungjawab menceroboh masuk sedangkan pengawal keselamatan ada, tetapi tidak bertugas dengan baik,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah dan Penutup Hari Mekar Bahasa dan Sastera 2012 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, semalam yang turut dihadiri Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan.
Kira-kira 400 murid sekolah rendah dan menengah menyertai program dua hari itu menerusi pelbagai pertandingan termasuk pertandingan sahibba, jejak bahasa, membaca berita, roda kata, kuiz bahasa dan sastera selain pidato, deklamasi sajak serta syair.

Mohd Puad berkata, kementerian berhak mengambil tindakan tegas termasuk menarik semula kontrak sekiranya syarikat kawalan keselamatan sengaja membekal pekerja tidak menepati standard penyampaian perkhidmatan sepatutnya.
“Saya tak kata semua syarikat kawalan keselamatan gagal berfungsi, tetapi saya tidak mahu hanya kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Sebab itu, syarikat kena beri kerjasama lakukan tanggungjawab dengan baik,” katanya.
Beliau menyokong cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menambah anggota keselamatan termasuk Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) untuk berkawal pada waktu puncak.
Menurutnya, persekitaran sekolah lebih selamat dan terkawal sekiranya pasukan keselamatan itu ditempatkan di pekarangan luar yang tidak mampu diselia pengawal keselamatan.