47 remaja Islam ditahan sertai parti buih – Utusan


47 remaja Islam ditahan sertai parti buih

Oleh AZRAI MOHAMMAD
pengarang@utusan.com.my

 

SEBAHAGIAN daripada remaja Islam lelaki dan perempuan yang asyik mandi buih di sebuah restoran di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur, malam semalam.

KUALA LUMPUR 22 Jun – Seramai 47 remaja Islam termasuk tiga pelajar tingkatan lima ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ketika asyik berhibur dalam parti mandi buih di sebuah restoran di Jalan Yap Kwan Seng di sini malam tadi.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jawi, Wan Jaafar Wan Ahmad berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, pihaknya menahan seramai 38 lelaki dan sembilan perempuan yang berusia lingkungan 17 ke 30 tahun.

Menurutnya, tiga daripada remaja perempuan terbabit berusia 17 tahun dan masih bersekolah.

“Ketika serbuan dilakukan kesemua mereka sedang menari sambil mandi buih dengan berpakaian seksi,” katanya ketika ditemui selepas operasi yang turut disertai oleh anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurut Wan Jaafar, setiap pelanggan yang menyertai pesta itu dikenakan bayaran sebanyak RM40 seorang.

Beliau berkata, pihaknya melakukan intipan di restoran berkenaan setelah mendapat maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan maksiat itu.

“Hasil siasatan mendapati restoran ini mempunyai lesen perniagaan yang sah dan mengadakan pesta seperti ini pada masa-masa tertentu sahaja,” ujarnya.

Menurut beliau, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 29 dan Seksyen 35 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Jawi untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130623/je_03/47-remaja-Islam-ditahan-sertai-parti-buih#ixzz2WzdPwxvF
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bentuk remaja perempuan jadi sukarelawan sejati – Metro


Bentuk remaja perempuan jadi sukarelawan sejati

 0  0 Google +0  0  0

Kuala Lumpur: Remaja perempuan tempatan, khususnya yang masih menuntut di sekolah rendah dan menengah perlu diterapkan semangat sukarelawan tinggi supaya ia menjadi amalan murni mereka, sekali gus menghindari sikap individualistik.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor percaya dengan asuhan betul, remaja perempuan negara akan menjadi pelapis muda yang menonjol, terutama dalam kerja kebajikan dan membantu masyarakat dalam kesusahan.
Katanya, organisasi seperti Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) harus menjadi pemangkin kepada penganjuran program dan aktiviti yang dapat membawa remaja perempuan menjadisukarelawan sejati.

 

“Kita perlu sediakan program dan aktiviti yang mampu menarik perhatian anak gadis. Mereka mahukan suatu mencabar, program mendekatkan diri dengan komuniti kerana darah muda, semangat membara menjadi sukarelawan.
“Jadi kita harus salurkan tenaga muda dan segar ini dalam program yang betul, beri peluang mereka menunjukkan kebolehan. “Dengan keprihatinan, budaya saling bekerjasama dan membantu ini (menerusi aktiviti kemasyarakatan), maka ia memperkasakan Gagasan 1Malaysia untuk melahirkan masyarakat penyayang dan prihatin,” katanya ketika berucap di sini, semalam.
Beliau yang juga Yang Dipertua PPPM ditemui pada Majlis PPPM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL): Turun Padang turut dihadiri Timbalannya, Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar dan Yang Dipertua PPPMWPKL Datuk Yeoh Soo Keng.

 

Hadir sama, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Salleh Yusop dan Ketua Pesuruhjaya PPPM Datin Seri Zalilah Mohd Taib. Rosmah turut menyampaikan RM6,000 kepada 20 ahli PPPM kurang berkemampuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pusat Majudiri Orang Pekak kendalian YMCA, Persatuan Kanak-Kanak Cacat Akal Wisma Harapan dan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia masing-masing menerima RM3,000, manakala Sekolah Kebangsaan Brickfields 1 memperoleh RM1,000.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Cabul kanak-kanak: Kakitangan DBKL dipenjara 2 tahun, disebat – Bernama


Cabul kanak-kanak: Kakitangan DBKL dipenjara 2 tahun, disebat

3 Oktober 2012

KUALA LUMPUR – Seorang petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret selepas didapati bersalah mencabul seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun, tiga tahun lepas.

Majistret Adilah Mohtar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan terhadap A. Kalaivanan, 29.

“Keterangan tertuduh hanya berbentuk penafian semata-mata apabila gagal membawa saksi untuk membuktikan bahawa dia berada di tempat kejadian untuk minum ‘bir’,” kata Adilah dalam penghakimannya.

Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu berkuat kuasa hari ini.

Kalaivanan didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas kanak-kanak lelaki itu dengan niat hendak mencabul kehormatannya di sebuah flat di Taman Cheras Utama di sini pada 6.30 petang, 23 Februari 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Sementara itu, mangsa ketika diberi peluang oleh mahkamah untuk menyatakan perasaannya mengenai kejadian itu, memberitahu bahawa dirinya masih dalam ketakutan dan trauma untuk keluar seorang diri.

“Saya rasa takut, malu dan kawan ejek. Lima bulan untuk hilangkan rasa trauma, saya tidak pergi sekolah sebab kawan-kawan mengejek serta tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran,” katanya.

Bapa mangsa yang turut diberi peluang yang sama memberitahu mahkamah yang beliau berasa terganggu memandangkan anak lelakinya itu masih trauma dengan kejadian itu.

“Apabila nampak ramai orang, dia akan takut dan mengambil masa lama untuk hilangkan perasaan itu. Perangainya juga berubah dan cepat marah serta mudah melenting,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chean Ling memohon mahkamah  mengenakan hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh, namun peguam M. Mathavan yang mewakili tertuduh meminta mahkamah mempertimbangkan yang anak guamnya adalah
penanggung tunggal keluarga dan tiada rekod jenayah lampau. – Bernama

108,650 pelajar terlibat salah laku – Kosmo


108,650 pelajar terlibat salah laku
KUALA LUMPUR – Sebanyak 108,650 daripada 5.3 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara terlibat dengan salah laku disiplin di sekolah tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata, daripada jumlah tersebut, isu ponteng sekolah merupakan penyumbang terbesar salah laku disiplin iaitu 18,550 pelajar.

Katanya, kes-kes disiplin lain yang dicatatkan oleh kementerian ialah memukul, bergaduh dan kekemasan diri.

“Walaupun jumlah pelajar yang melakukan kesalahan disiplin hanyalah sedikit, sekiranya tidak diberi perhatian serius, ia boleh menjadi masalah yang parah,” katanya pada majlis perasmian Program Pemantapan dan Jati Diri Sahsiah Remaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2012 di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, dalam mengatasi masalah disiplin melibatkan pelajar sekolah, kementerian telah melakukan pelbagai inisiatif termasuklah menjalankan satu kajian terperinci mengenai punca sebenar berlakunya gejala ponteng sekolah tahun ini.