Tiga buah sekolah di Terengganu masih ditutup
manirah.othman@kosmo.com.my
KUALA TERENGGANU – Sebanyak 27 daripada 30 buah sekolah yang tidak dapat memulakan hari pertama sesi persekolahan 2013 kelmarin ekoran banjir di negeri ini mula dibuka semula semalam.
Tiga buah sekolah lagi iaitu Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Ampuan Intan dan SK Bukit Tadok di Hulu Terengganu belum boleh dibuka kerana sekolah berkenaan masih digenangi air.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman memberitahu, cuaca yang semakin baik membolehkan sebahagian besar sekolah yang terbabit banjir dibenarkan dibuka semalam.
“Cuaca hari ini (semalam) dilihat semakin baik dan saya harap semua sekolah berkenaan dapat dibuka semula esok (hari ini),” katanya ketika membuat lawatan di SK Wakaf Mempelam dekat sini semalam.
Kelmarin, 30 buah sekolah melibatkan 12,000 pelajar di Terengganu tidak dapat memulakan penggal baharu persekolahan ekoran banjir gelombang kedua yang melanda negeri itu.
Menurut Razif, ibu bapa boleh menghubungi sekolah atau Pejabat Pelajaran Daerah untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai sekolah anak-anak mereka.
Sementara itu, Portal Banjir Majlis Keselamatan Negara memaklumkan sehingga pukul 9 malam tadi hanya 41 mangsa masih ditempatkan di dua pusat pemindahan.
Daripada jumlah itu, 20 mangsa ditempatkan di Dewan Sivik, Batu 24, Hulu Terengganu manakala 21 mangsa lagi ditempatkan di pusat pemindahan di Setiu.
Di Kelantan, mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan berkurangan apabila hanya 18 mangsa daripada lima keluarga dari Kampung Gong Keding masih ditempatkan di SK Bukit Awang, Pasir Puteh.
Bagaimanapun, paras air beberapa sungai utama di Kelantan mencatat kenaikan semula dengan Sungai Lebir, Sungai Kelantan di Tangga Krai, Jambatan Guillemard dan Tambatan Diraja serta Sungai Golok di Jenob mencatat bacaan paras berjaga-jaga.
Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang pula memaklumkan, hanya sebuah sekolah iaitu Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Diniah Kampung Bongor, Pasir Mas masih ditutup kerana laluan utama ke sekolah tersebut masih ditenggelami air dan ia berbahaya kepada murid.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2GsYgt7Mt
Hakcipta terpelihara