Jangan jual semula netbook – Sinar Harian


Jangan jual semula netbook
NOOR AZIANTY NORMAN
10 Julai 2012

Mohd Zaili menyampaikan netbook 1 Malaysia kepada salah seorang pelajar.
KUANTAN – Guru sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Panching diminta untuk memantau pelajar yang menerima bantuan netbook bagi mengelakkan mereka menjual semula kemudahan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Panching, Datuk Mohd Zaili Besar berkata, mana-mana pelajar yang didapati melakukan perkara itu, pelajar lain dari sekolah terbabit mungkin akan dikecualikan daripada menerima bantuan itu.

“Ini bukan satu gertakan, tetapi sebagai peringatan kepada pelajar dan guru untuk lebih bertanggungjawab dengan pemberian kerajaan. Jika ada pelajar yang melakukan kesalahan itu, kita mungkin tidak akan memberikan lagi bantuan itu kepada pelajar dari sekolah yang sama.

“Bila kita mengenakan tindakan ini, secara tidak langsung pihak sekolah akan memberikan kerjasama dengan memantau pelajar yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Netbook 1 Malaysia Untuk Pelajar Sekolah Menengah Parlimen Paya Besar, semalam.

Katanya, pelajar yang terpilih seharusnya menghargai pemberian kerajaan kerana masih ramai lagi yang menanti untuk menerima bantuan netbook itu.

“Jika mereka tidak mahu, maklumkan kepada pihak sekolah supaya netbook yang ada boleh diberikan kepada pelajar yang lebih memerlukan. “Kerajaan memberikan kemudahan ini bukan untuk pelajar menjualnya semula, tetapi untuk dimanfaatkan dalam menelaah pelajaran,” katanya.

Mohd Zaili berkata, sebelum ini beliau pernah mendengar khabar angin bahawa ada pelajar yang menjual netbook itu dengan harga ‘suka sama suka’.

“Walaupun tidak pernah terima aduan jelas, namun saya tetap mahu mengingatkan pelajar kerana tidak mahu perkara seperti ini berlaku.

“Saya harap, ibu bapa juga dapat bekerjasama memantau anak-anak mereka serta memastikan kemudahan itu tidak disalahgunakan,” katanya.

Dalam majlis itu, seramai 1,100 pelajar melibatkan empat buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Garuda, SMK Sri Panching, SMK Pandan dan SMK Bukit Rangin hadir menerima netbook.