21,610 murid khatam Al- Quran di Terengganu hari ini – Bernama


21,610 murid khatam Al- Quran di Terengganu hari ini

20 Oktober 2012
Ahmad Said
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said

KUALA TERENGGANU – Seramai 21,610 murid Tahun 2 hingga Tahun 5 di Terengganu berjaya mengkhatamkan al-Quran secara serentak dalam majlis berasingan yang diadakan di setiap daerah hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 6,383 murid melakukannya di Kuala Terengganu, 3,186 (Besut), 2,653 (Setiu), 2,551 (Marang), 2,555 (Dungun), 2,349 (Kemaman) dan 1,933 (Hulu Terengganu).

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kejayaan itu adalah bukti keberkesanan modul Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang diperkenalkan kerajaan dalam usaha meningkatkan syiar Islam.

Beliau berkata bagi Terengganu, sebanyak RM36 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan kelas Kafa dan sehingga ini, seramai 21,000 hingga 30,000 murid berjaya mengkhatam al-Quran setiap tahun.

“Penghayatan al-Quran perlu diterapkan seawal mungkin, malah semua murid di Tadika Yayasan Islam Terengganu mempunyai modul khas pintar al-Quran untuk mereka hayati sebelum melangkah masuk ke sekolah kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis itu di Stadium Tertutup Gong Badak di sini.- Bernama

Akademi Golf di Terengganu buka penyertaan kepada pelajar sekolah – Bernama


Akademi Golf di Terengganu buka penyertaan kepada pelajar sekolah

25 September 2012

KUALA TERENGGANU – Persatuan Golf Terengganu (PGT) mempelawa lebih ramai pelajar sekolah untuk menyertai akademinya yang dibuka bulan lepas.

Pesidennya, Ahmad Zubir Azhari berkata akademi tersebut yang terletak di Kuala Terengganu Golf Resort (KTGR), di Kampung Tok Jembal, Gong Badak dekat sini sudah mempunyai 20 orang pelajar.

“Akademi ini terbuka kepada pelajar-pelajar berumur antara 7 hingga 16 tahun lelaki dan wanita. Ia baru dibuka dan masih tidak ramai yang mengetahui mengenainya.

“Kita harap lebih ramai ibu bapa akan menghantar anak mereka menyertai akademi ini dalam usaha mencari bakat terpendam untuk diketengahkan suatu hari nanti,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata akademi itu dibuka dua kali seminggu iaitu setiap hari Jumaat dan Sabtu.

Katanya yuran panyertaan ialah RM30 sebulan dengan latihan diuruskan oleh beberapa orang jurulatih golf yang bertauliah serta berpengalaman.

Ahmad Zubir berkata akademi itu mendapat sokongan daripada Persatuan Golf Malaysia (MGA) yang turut menghantar pegawai untuk memantau latihan sebulan sekali.

Beliau berkata akademi yang pertama seumpamanya diwujudkan di Terengganu itu juga bertujuan untuk memperkenal dan mengkomersialkan sukan golf di kalangan pelajar di negeri ini.

“Pelajar akademi ini akan diasuh dari awal mengenai teknik-teknik sukan golf supaya mereka menjadi pemain yang mahir apabila keluar kelak,” katanya.

Latihan adalah seawal pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari dan ibu bapa yang berminat dialu-alukan untuk menghantar anak mereka ke KTGR. -Bernama

SM Sukan Gong Badak bakal lahir lebih ramai ahli sukan – Bernama


SM Sukan Gong Badak bakal lahir lebih ramai ahli sukan

25 September 2012

SEKOLAH sukan kedua di Gong Badak berhampiran Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Terengganu, yang bakal beroperasi dua tahun lagi, dijangka melahirkan ramai ahli sukan bertaraf antarabangsa dalam tempoh enam hingga 10 tahun akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata pembinaan sekolah sukan di kawasan seluas lapan hektar itu akan bermula tahun depan dengan peruntukan awal kerajaan persekutuan sebanyak RM25 juta.

Beliau berkata, sekolah sukan itu dijangka mampu menampung antara 800 hingga 1,000 pelajar dan akan mempunyai kemudahan bertaraf antarabangsa yang mampu melahirkan ahli sukan terlatih dan berkemahiran tinggi dalam bidang sukan.

“Kesempatan untuk melahirkan ramai ahli sukan berprestasi tinggi itu akan digunakan semaksima mungkin oleh Terengganu supaya lebih ramai anak negeri berkecimpung dalam sukan bertaraf dunia,” katanya kepada pemberita di Besut, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Razif mengunjugi keluarga Pegawai Pelajaran Daerah Setiu Allahyarham Mohd Azmy Zakaria yang meninggal dunia akibat kanser Khamis lepas.

Mohd Azmy juga adalah Pengetua pertama Sekolah Menengah Sukan Bukit Nenas Setiu.

Turut hadir Pengarah Pelajaran Negeri Zakaria Hussin yang turut menyampaikan sumbangan wang dari Tabung Bantuan Kebajikan Pendidikan (BAKEP) Terengganu kepada balu Allahyarham, Zawiah Khamis di kediamannya di Kampung Bukit Puteri di sini.

Ahmad Razif berkata Sekolah Menengah Sukan Bukit Nenas (SMSBN) Setiu, yang pertama di Terengganu, akan terus menjadi pusat untuk pelajar lepasan sekolah rendah yang berbakat dalam sukan.

Beliau berkata SMSBN akan mengendalikan ahli sukan di peringkat awal sehingga mereka mencapai tahap tertentu sebelum berpeluang memasuki Sekolah Menengah Sukan Gong Badak.

Sekolah Menengah Sukan Gong Badak itu akan menggunakan tenaga pengajar yang dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran dan 40 peratus daripada pelajarnya pula diambil dari seluruh negara. – Bernama

85 pelajar ponteng dicekup – Sinar Harian


85 pelajar ponteng dicekup

RAHAYU MUSTAFA
2 Mei 2012
KUALA TERENGGANU – Tindakan beberapa pelajar tidak memasuki kelas sewaktu sesi persekolahan membawa padah apabila mereka ditangkap dalam satu operasi ponteng bersepadu yang diadakan di seluruh negeri ini, kelmarin.
Dalam operasi bersepadu tersebut, seramai 85 pelajar ponteng berjaya dicekup dan angka paling ramai dicatatkan di Kuala Terengganu iaitu seramai 43 orang, daripada jumlah itu tiga positif dadah.
Manakala di Kemaman, seramai 30 pelajar ponteng berjaya dicekup diikuti lapan di Hulu Terengganu dan empat di Marang.
Pelajar yang lengkap berpakaian sekolah itu sanggup bersembunyi di kawasan rumah terbiar dan melarikan diri ke dalam parit bagi mengelak dicekup apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Bagaimanapun, usaha mereka gagal apabila berjaya ditangkap.
Seorang pelajar yang ditangkap dan turut didapati positif dadah mengakui dia agak kerap ponteng selepas separuh waktu persekolahan berlangsung dengan alasan mahu makan di kedai di luar sekolah.
“Makanan di sekolah mahal jadi saya keluar lagipun dah dekat nak masuk waktu rehat,” katanya yang turut mengakui mengambil dadah.
Kata pelajar itu, dia mengambil dadah kerana mahu mencuba dan sanggup membeli bahan terlarang itu dengan menggunakan duit saku yang disimpan setiap hari.
“Saya baru dua kali ambil dan saya rasa bertenaga,” kata pelajar tingkatan empat itu.
Katanya, rakan membekalkan pil kuda kepadanya pada harga RM20 sebiji itu turut menawarkan dia pendapatan lebih untuk menjual dadah itu namun dia masih belum berani.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan (JPN) Terengganu, Zakaria Hussin ketika ditemui berkata, semua pelajar yang ditahan akan diberi kaunseling dan diserahkan kepada ibu bapa masing-masing.
Katanya, pihak sekolah akan diberi mandat untuk mengambil tindakan disiplin ke atas pelajar sama ada dikenakan tindakan tatatertib atau digantung sekolah.