Diarak dengan kereta klasik – Sinar Harian


Diarak dengan kereta klasik

WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Julai 2013
Diarak dengan kereta klasik
Che Yah melambai tangan kali terakhir kepada murid-muridnya dengan menaiki kereta klasik Datsun 1954.

JOHOL – Bagi mencipta kelainan majlis persaraan wajib, seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Undang Johol di sini, diraikan dengan menaiki kereta klasik Datsun 1954.

Che Yah Bachek, 58, yang juga guru cemerlang berkata, meskipun sudah bersara dalam dunia pendidikan, tetapi beliau akan terus mendidik murid tahun enam sekolah berkenaan yang akan menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada September ini.

“Rasa ralat jika saya tidak terus mendidik anak-anak murid saya terutama tahun enam. Sebab sebelum ini, saya yang mengajar subjek Bahasa Malaysia untuk tahun enam. Jadi, lebih baik saya teruskan agar murid-murid dapat keputusan cemerlang,” katanya.

Menyingkap latar belakang kerjaya beliau, sebelum bertugas di SK Undang Johol, Che Yah berkhidmat di SK Air Hitam, Alor Setar Kedah pada 1981 hingga 1985.

“Kemudian saya berpindah ke SK Selama Kedah pada 1986 hingga 1990. Selepas berkhidmat selama empat tahun di sekolah berkenaan, saya pulang semula ke kampung halaman Johol dan bersekolah di sini.

“Saya berkhidmat di SK Udang Johol dari t 1991 hingga 2013. Ini adalah perkhidmatan yang paling lama iaitu 22 tahun. Saya sudah kenal guru-guru di sini telah menabur bakti kepada anak-anak murid di sini sehingga berjaya,” katanya yang mempunyai empat anak.