HULU SELANGOR: Hanya kerana berebut teman wanita, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun cedera dibelasah dengan kayu oleh sekumpulan enam lelaki di sebuah padang permainan taman perumahan, Batang Kali, dekat sini, Khamis lalu.
Mangsa yang juga pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah turut ditumbuk dan disepak beberapa kali. Berikutan kejadian itu, mangsa mendapatkan rawatan di klinik berhampiran sebelum membuat laporan polis.
Menurut sumber, semuanya bermula kira-kira jam 9 malam Khamis lalu apabila mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah dari surau selepas menunaikan solat berjemaah bersama beberapa rakan lain.
“Bagaimanapun, secara tiba-tiba mangsa dan rakannya dihalang sekumpulan enam lelaki yang dipercayai menunggu mangsa di kawasan itu.
“Seorang daripada mereka terus menyerang mangsa dengan menarik bajunya sementara beberapa rakan suspek yang lain menghalang rakan mangsa memberikan bantuan,” katanya.
Sumber berkata, mereka menolak mangsa sehingga jatuh sebelum memukul dengan kayu selain menyepak dan menumbuk muka mangsa.
“Melihat keadaan mangsa yang longlai dan menanggung kesakitan, rakan mangsa merayu supaya tidak terus memukul mangsa sebelum mereka kemudiannya berhenti.
“Apabila keenam-enam mereka mahu beredar dari padang permainan berkenaan, seorang daripada mereka berpatah balik dan memberi amaran kepada mangsa supaya tidak memberitahu keluarganya,” katanya.