Didik, Minda bantu pelajar cemerlang – Berita Harian


Didik, Minda bantu pelajar cemerlang

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
bhnews@bharian.com.my
2012/05/20

MOHD RAUF beramah mesra dengan warga pendidik pada  majlis Hari Penghargaan Guru 2012 anjuran Jabatan Pengedaran Kumpulan NSTP, di Kuantan, semalam.

MOHD RAUF beramah mesra dengan warga pendidik pada majlis Hari Penghargaan Guru 2012 anjuran Jabatan Pengedaran Kumpulan NSTP, di Kuantan, semalam.

Sisipan BH berjaya tingkat proses pembelajaran 

KUANTAN: Sisipan Didik, Minda, Skor akhbar Berita Harian dan School Times dalam New Straits Times (NST) boleh membantu meningkatkan proses pembelajaran dan pengajaran guru dalam kelas selain buku teks.

Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Negeri, Mohd Rauf Jali, berkata sisipan berkenaan penting untuk menambah pengetahuan dan membuat latihan berulangan sebagai persediaan meng-hadapi peperiksaan.

Beliau berkata demikian pada perasmian majlis Hari Penghargaan Guru 2012 anjuran Jabatan Pengedaran Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) untuk 200 guru dari Pahang, Terengganu dan Kelantan, di sini, semalam.

Program bertemakan ‘Gaya Hidup Sihat’ itu menghargai sekolah yang menjadikan sisipan berkenaan alat bantuan mengajar dalam proses pembelajaran dan pengajaran guru dalam kelas.

Mohd Rauf berkata, sekolah yang melanggan akhbar itu boleh menggunakan sisipan itu sebagai bahan sampingan secara berterusan untuk memastikan kejayaan masing-masing.

Pelbagai acara diadakan termasuk senamrobik, ceramah oleh Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN), demonstrasi masakan Mychef Celebrity oleh Chef Zam, pertunjukan drift, persembahan artis oleh Alif AF6 dan cabutan bertuah.
Antara penaja utama program yang memasuki tahun ketiga itu ialah MyChef Celebrity, Speed City dan LPPKN. Kuantan adalah lokasi ketiga selepas Kedah dan Melaka serta lokasi terakhir di Putrajaya pada 17 September ini.

Sementara itu, Guru Sekolah Kebangsaan Pahi, Kuala Krai, Kelantan, Mohd Norizan Yusof, berkata penggunaan sisipan Didik berjaya meningkatkan prestasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sekolah itu sejak tiga tahun lalu.

“Sisipan Didik menjadi tarikan baru kepada murid Tahun Enam, malah penggunaannya sentiasa dinantikan pelajar kerana soalan yang tersiar dalam akhbar itu mirip kepada soalan sebenar UPSR,” katanya.

Guru SK Bendang Pauh, Pasir Mas, Kelantan, Hasnidawati Hassan, berkata sisipan Didik digunakan seawal Tahun Lima bagi memudahkan mereka mengikutinya ketika di Tahun Enam.

“Penggunaannya sebagai alat bantuan mengajar mencapai matlamat apabila murid mencapai kejayaan 100 peratus dalam UPSR tahun lalu,” katanya.