Dipaksa jadi buruh remaja – Sinar Harian


Dipaksa jadi buruh remaja

WARTAWAN SINAR HARIAN
January 17, 2012
buruh remaja

RAWANG – Asalnya dia hidup sebatang kara, tidak pernah sedikit pun merasa kasih ibu dan ayah apabila sejak kecil sudah disisihkan keluarga.

Ketika remaja, dia tinggal sebumbung dengan rakan-rakannya di Tawau, Sabah sehingga berusia 13 tahun, dia mendapat tawaran kerja di Semenanjung Malaysia daripada ejen buruh kononnya bergaji lumayan dan menetap percuma di kediaman teres.

Malang nasibnya, kerana semua itu janji kosong, kerja yang ditawarkan adalah sebagai tukang buat sarung tangan getah di sebuah kilang di Klang dengan gaji RM300 sebulan dan tempat tinggalnya di sebuah unit teres di Kapar, Klang yang dikongsi lebih 10 orang termasuk pekerja lelaki.

Dari situ, bermulalah siri hidup Nurhanis Mohd Noor, 27, sebagai buruh ‘remaja’ yang saban hari dilalui penuh getir.

Berstatus ‘warga asing’

Nurhanis tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah kecuali surat perakuan sumpah menyatakan dia dilahirkan di Lahad Datu, Sabah pada 1983 dan sehingga kini dia masih berstatus ‘warga asing’.

Kerja di kilang sarung tangan tidak lama dan Nurhanis nekad lari setelah rumah sewa mereka diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), namun dia dilepaskan dan terus meniti pengalaman bekerja di beberapa kilang, kedai, gerai dan restoran sekitar Selangor.

Pada usia 17 tahun, ketika menetap di Bandar Country Homes, di sini Nurhanis bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang tua setahun daripadanya, berasal dari Tapah, Perak.

Nurhanis berkata, perkahwinan tanpa pendaftaran itu dikendalikan seorang warga Indonesia.

“Hasil perkongsian hidup, kami dikurniakan dua cahaya mata, Mohd Amin Zaim, 4, dan Nurain Fatihah, 2.

“Namun, jodoh kami tidak panjang kerana suami lari ketika anak kedua saya baru berusia setahun lebih,” kata ibu tunggal itu ketika ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat MIC Cawangan Taman Hijau, di sini, kelmarin.

Nurhanis datang bersama ibu angkat, Alimah Karim, 60, yang menjaganya sejak ditinggalkan suami.

Anak bongsu hidap sawan

Belum pun padam luka di hati ditinggal suami, Nurhanis diduga dengan keadaan anak bongsunya yang menghidap penyakit sawan sehingga menyebabkan fizikal Nurain terencat.

Nurhanis berkata, dia memerlukan banyak belanja untuk menampung kos rawatan dan terapi untuk anaknya, namun mengakui tidak mampu kerana bukan saja tidak memiliki sebarang dokumen sah untuk melayakkan dia mendapat rawatan di klinik atau hospital kerajaan, malah pendapatan sekitar RM800 sebulan hasil upah kerja di sebuah kilang di Rawang tidak mungkin dapat membiayai kos rawatan anaknya itu.

Rayu daftar kewarganegaraan

Menurut Nurhanis, sekiranya dia masih tidak tidak didaftarkan sebagai warganegara Malaysia dan tidak memiliki MyKad, semua usaha yang dilakukan terutama untuk masa depan anaknya tidak kesampaian, ibarat angan-angan mat jenin.

“Sebab itu, saya harap sangat dapat didaftarkan dan diberikan kad pengenalan bagi memudahkan segala urusan, kedua-dua anak saya juga tidak memiliki sijil lahir kerana perkahwinan kami tidak didaftarkan dan semua ini menyukarkan serta akan menghalang anak-anak saya untuk bersekolah,” katanya penuh harapan.

Ibu angkat beri dorongan

Walaupun bukan darah daging sendiri, tetapi sebagai ibu angkat, Alimah cukup simpati dengan nasib Nurhanis dan berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu keluarga Nurhanis yang sudah dianggap seperti anak sendiri.

“Saya juga senasib dengan Nurhanis, ditinggalkan suami ketika masih muda, namun kehidupannya lebih getir.

“Selagi kudrat ada, saya berusaha membantunya dan berharap segalanya selesai sebelum mata ini pejam,” katanya.

MIC usaha bela Nurhanisa

Sementara itu, Pengerusi Kebajikan MIC Negeri Selangor, MB Raja berkata, buat masa ini, usaha mendapatkan maklumat kelahiran anak pertama Nurhanis di sebuah pusat pengembangan Islam yang dahulunya pernah diharamkan kerana didakwa membawa ajaran sesat,
akan dilakukan bagi memudahkan proses pendaftaran­ kelahiran.

Menurutnya, keadaan seperti yang ditempuh Nurhanis wajar mendapat pembelaan apatah lagi keluarga berkenaan anak tempatan yang layak menerima status kewarganegaraan.

“Dia hidup yatim piatu dan cuba berdikari, datang ke Semenanjung dengan harapan dapat membina hidup baru, tetapi dianiaya.

“Lebih membanggakan, dia nekad mahu menjaga kedua-dua anaknya walaupun sedar kesempitan hidup, orang seperti ini yang harus kita bantu,” katanya.

Raja yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan dan Sosial Masyarakat Bestari (PKSMB) Daerah Gombak berharap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan agensi kerajaan berkaitan tampil membantu keluarga Nurhanisa.