Rogol budak 12 tahun: Buruh dipenjara, disebat – Sinar Harian


Rogol budak 12 tahun: Buruh dipenjara, disebat

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 Oktober 2012
Rogol budak 12 tahun: Buruh dipenjara, disebat
Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Temerloh, semalam, sebaik dijatuhi hukuman kerana merogol.

TEMERLOH – Seorang buruh warga Indonesia dihukum penjara 12 tahun dan empat sebatan selepas mengaku bersalah merogol pelajar berumur 12 tahun tujuh bulan pada 18 Julai lalu.

Hukuman dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen Temerloh, Dasuki Ali, selepas tertuduh dikenali dengan nama Kabit, 37, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca ke atasnya, semalam.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah pekerja di alamat nombor 27 D-1, Ladang Bukit Senorong, Kemayan, Bera, sekitar jam 11 pagi hingga 1.30 tengah hari pada 18 Julai lalu.

Dasuki memutuskan tertuduh dihukum 12 tahun penjara dan empat sebatan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 19 Julai lalu.

Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa menerima panggilan daripada guru bahawa anaknya tidak hadir ke sekolah selama empat hari.

Selepas siasatan mendapati, anaknya berada di rumah tertuduh pada hari kejadian dan ibu mangsa mengesyaki sesuatu berlaku sebelum bertindak membuat laporan polis.

Laporan perubatan mengesahkan ada kesan koyakkan baru dan lama pada kemaluan mangsa dan mangsa turut disahkan mengandung 11 minggu.

Tertuduh disiasat di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol dan pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mustafa.

Cabul kanak-kanak: Kakitangan DBKL dipenjara 2 tahun, disebat – Bernama


Cabul kanak-kanak: Kakitangan DBKL dipenjara 2 tahun, disebat

3 Oktober 2012

KUALA LUMPUR – Seorang petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret selepas didapati bersalah mencabul seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun, tiga tahun lepas.

Majistret Adilah Mohtar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan terhadap A. Kalaivanan, 29.

“Keterangan tertuduh hanya berbentuk penafian semata-mata apabila gagal membawa saksi untuk membuktikan bahawa dia berada di tempat kejadian untuk minum ‘bir’,” kata Adilah dalam penghakimannya.

Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu berkuat kuasa hari ini.

Kalaivanan didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas kanak-kanak lelaki itu dengan niat hendak mencabul kehormatannya di sebuah flat di Taman Cheras Utama di sini pada 6.30 petang, 23 Februari 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Sementara itu, mangsa ketika diberi peluang oleh mahkamah untuk menyatakan perasaannya mengenai kejadian itu, memberitahu bahawa dirinya masih dalam ketakutan dan trauma untuk keluar seorang diri.

“Saya rasa takut, malu dan kawan ejek. Lima bulan untuk hilangkan rasa trauma, saya tidak pergi sekolah sebab kawan-kawan mengejek serta tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran,” katanya.

Bapa mangsa yang turut diberi peluang yang sama memberitahu mahkamah yang beliau berasa terganggu memandangkan anak lelakinya itu masih trauma dengan kejadian itu.

“Apabila nampak ramai orang, dia akan takut dan mengambil masa lama untuk hilangkan perasaan itu. Perangainya juga berubah dan cepat marah serta mudah melenting,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chean Ling memohon mahkamah  mengenakan hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh, namun peguam M. Mathavan yang mewakili tertuduh meminta mahkamah mempertimbangkan yang anak guamnya adalah
penanggung tunggal keluarga dan tiada rekod jenayah lampau. – Bernama