Kerjasama dua kementerian tingkatkan jati diri pelajar – Utusan


Kerjasama dua kementerian tingkatkan jati diri pelajar

KUALA LUMPUR 16 Jan. – Program ‘Uniformed Policing 2 : Remaja Berwawasan’ anjuran bersama Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pelajaran mampu membendung masalah sosial yang semakin menular dalam kalangan pelajar.

Panglima Pendidikan dan Latihan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman berkata, menerusi program itu pelajar bukan sahaja berpeluang memperbaiki diri malah mempamerkan potensi dan kelebihan masing-masing.

Jelasnya, pemupukan kesedaran itu penting bagi memastikan pelajar tidak mengulangi kesilapan lalu di samping mengubah paradigma masyarakat supaya mampu menjadi individu berguna kepada agama, bangsa dan negara.

“Kerajaan berpendapat tidak wajar pelajar dibiarkan tanpa sebarang usaha memperbaiki diri serta tindakan susulan yang membolehkan mereka menyedari dan memperbaiki kesalahan mereka.

“Matlamat program ini adalah untuk menerapkan nilai disiplin diri yang tinggi dan memberi kesedaran serta pemahaman kepada pelajar terlibat supaya patuh kepada peraturan sama ada ketika berada di dalam atau di luar sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan prapelancaran program itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wangsa Melawati di sini hari ini.

Program cetusan Perdana Menteri di bawah Strategi Lautan Biru itu dilancarkan secara serentak di sembilan lagi sekolah di ibu negara, Pulau Pinang, Selangor dan Johor melibatkan pelajar berusia antara 14 hingga 17 tahun.

Menurut Syed Zahiruddin, program itu akan dilengkapi dengan aktiviti-aktiviti pembinaan sahsiah yang dikendalikan jurulatih pasukan badan beruniform.

“Program-program yang dirancang pastinya amat menarik serta dapat meningkatkan jati diri pelajar yang juga merupakan aset yang tidak ternilai kepada sekolah, keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, pelajar, Akma Danial Zainal, 17, berkata, penglibatan dalam program tersebut merupakan landasan terbaik untuknya memperbaiki diri terutama dalam menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

“Saya berharap kelemahan dan kesilapan lalu dapat diperbaiki menerusi program ini terutama daripada sudut disiplin,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130117/dn_12/Kerjasama-dua-kementerian-tingkatkan-jati-diri-pelajar#ixzz2IBdasyig
© Utusan Melayu (M) Bhd