1,811 pelajar dibuang sekolah – Utusan


1,811 pelajar dibuang sekolah

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Seramai 1,811 murid dan pelajar telah dibuang sekolah setakat November lalu kerana melakukan kesalahan disiplin yang berat.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong (gambar) berkata, tindakan itu tidak dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya merupakan langkah terakhir selepas beberapa langkah awal seperti memberi amaran, nasihat, motivasi serta gantung sekolah dilaksanakan.

“Sekiranya masih melakukan kesalahan yang bercanggah dengan disiplin sekolah, pihak sekolah tidak boleh buat apa-apa selain membuang murid atau pelajar bermasalah ini,” katanya menjawab soalan Senator Noriah Mahat dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Mengulas lanjut Ka Siong memberitahu, setiap sekolah telah ditempatkan seorang guru bimbingan dan kaunseling (GBK).

“Bagi sekolah menengah, kementerian menempatkan seorang GBK bagi jumlah murid seramai 500 orang ke bawah. Bagi sekolah rendah pula, seorang GBK untuk 350 ke 850 orang murid.

“Selain itu, kementerian turut menggariskan empat prinsip untuk meningkatkan perkhidmatan guru berkenaan iaitu memfokus kepada pembangunan dan perkembangan sahsiah diri pelajar, peningkatan disiplin diri, pendidikan kerjaya dan psiko sosial termasuk mental pelajar,” jelasnya.

Menurut Ka Siong, sejak program pelantikan GBK di setiap sekolah dilaksanakan, indeks disiplin murid dan pelajar sekolah berada pada tahap purata 2.07 peratus sejak 2007.

Katanya, pada 2010 kadar tersebut adalah pada 2.06 peratus dan pada 2011 menurun kepada 2.05 peratus.

Menurut Ka Siong, ibu bapa kepada murid atau pelajar yang dibuang sekolah boleh merayu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negara (JPN) supaya memberi peluang kedua kepada anak mereka.

Kata beliau, murid atau pelajar yang dibuang dari sekolah asal akan ditukarkan ke sekolah lain untuk memberi persekitaran baru kepada mereka.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20121219/pa_04/1811-pelajar-dibuang-sekolah#ixzz2IO5iGO6L
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pandangan pelbagai pihak dikaji sebelum benar pelajar bawa telefon bimbit – Bernama


Pandangan pelbagai pihak dikaji sebelum benar pelajar bawa telefon bimbit
18:15:50 PM Cetak Emel Kawan

MUAR: Kementerian Pelajaran akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk masyarakat, guru-guru dan ibu bapa sebelum membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kebenaran itu hanya keputusan pada peringkat Jawatankuasa Disiplin Murid peringkat Kementerian Pelajaran dan belum dimuktamadkan. “Itu hanya keputusan di peringkat jawatankuasa, mereka belum bawa kepada pihak saya sama ada setuju atau tidak.
“Kita akan ambil kira pandangan semua pihak termasuk kesatuan guru yang tidak berapa setuju dengan keputusan itu dan dalam masa yang sama pandangan badan lain juga yang menyokong cadangan itu,” katanya yang juga Menteri Pelajaran.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas bantahan pelbagai pihak terhadap cadangan Jawatankuasa Disiplin untuk membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPAd ke sekolah menerusi Draf Peraturan Pendidikan Disiplin Murid 2012.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong pada Selasa.

Beliau yang sebelum itu menghadiri majlis Himpunan Mesra Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pesara-pesara kerajaan Parlimen Pagoh di sini, hari ini berkata, cadangan itu sebelum ini diusulkan setelah mengambil kira perkembangan semasa.
“Apabila sampai aspek keselamatan ada pihak yang berpandangan dengan adanya kemudahan seperti telefon bimbit ini pelajar-pelajar boleh hubungi pihak sekolah atau ibu bapa sedangkan peraturan sebelum ini tidak membenarkan.

“Tetapi kita juga ambil kira pandangan kalau itu boleh timbulkan banyak masalah seperti gangguan dalam proses pembelajaran, murid terpengaruh guna telefon bimbit dan internet sewaktu belajar dengan sibuk melayari facebook dan twitter,” katanya.

Katanya, sebelum sebarang keputusan dibuat, pihaknya akan merujuk perkara itu kepada Peguam Negara kerana ia berkaitan undang-undang.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas pandangan yang disuarakan menerusi media termasuk daripada kalangan tokoh akademik. – BERNAMA

Majoriti guru tak setuju – Berita Harian


Majoriti guru tak setuju
23:51:53 PM Syuhada Choo Abdullah | choo@bharian.com.my Cetak Emel Kawan

Hasil negatif benar pelajar bawa gajet ke sekolah

Kuala Lumpur: Lebih 90 peratus guru dan 80 peratus pemimpin sekolah tidak bersetuju cadangan Kementerian Pelajaran membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah. Keputusan hasil kaji selidik membabitkan kira-kira 2,000 responden di seluruh negara itu dimaklumkan Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM), Muhamad Khailani Abdul Jalil kepada BH, semalam.
Muhamad Khailani adalah Ahli Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Malah, kajian itu turut mendapati lebih 75 peratus ibu bapa dan 55 peratus pelajar sendiri turut menolak cadangan berkenaan.

Kajian dibuat Kementerian Pelajaran tahun lalu untuk mendapatkan pendapat pihak berkepentingan mengenainya.

Beliau berkata, rata-rata semua pihak kepentingan menegaskan keperluan pelajar untuk membawa telefon bimbit ke sekolah amat sedikit dan tidak mewakili suara majoriti.
“Kebimbangan utama semua pihak berkepentingan itu ialah ia lebih banyak membawa keburukan.

“Berdasarkan pengalaman sekolah, 60 peratus pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah walaupun tidak dibenarkan ketika ini. Masalah berlaku apabila telefon bimbit hilang, pelajar menuduh rakan mencuri sehingga mencetuskan pergaduhan.

“Selain itu, pelajar membawa anasir berunsur lucah ke sekolah dan berisiko tinggi berlaku penyebaran yang boleh mempengaruhi rakan,” katanya.

Bantah pelajar bawa telefon – Utusan


Bantah pelajar bawa telefon

Oleh SOFIAN BAHAROM dan AZHARI ZAINOODDIN
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 18 Julai – Langkah membenarkan para pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah dikhuatiri boleh menyebabkan tumpuan mereka terhadap pembelajaran di dalam kelas terganggu.

Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa berkata, selain tidak sesuai dilaksanakan kerana memberi kesan terhadap fokus pelajar, ia juga boleh mewujudkan jurang antara pelajar berkemampuan dan kurang berkemampuan.

”Perkara ini perlu dikaji kerana dikhuatiri ia akan menganggu fokus para pelajar ketika di dalam kelas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong kelmarin, berhubung kebenaran kepada pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPad ke sekolah mulai tahun depan seperti yang digariskan menerusi Draf Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2012.

Bawa telefon, iPad ke sekolah – Utusan


Bawa telefon, iPad ke sekolah

Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 16 Julai – Kementerian Pelajaran sedang merangka Draf Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2012 yang akan membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPad ke sekolah mulai tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya bagaimanapun akan menetapkan garis panduan yang mengawal penggunaan alat komunikasi tersebut bagi mengelakkan ia mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di kelas.

Menurutnya, keputusan untuk membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah adalah selari dengan perkembangan semasa serta mengambil kira faktor keselamatan pelajar.

”Sebelum ini, para ibu bapa pernah beberapa kali meminta Kementerian Pelajaran membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah, ini bagi membolehkan mereka mengawasi pergerakan anak mereka,” katanya.

110,218 tak disiplin – Metro


110,218 tak disiplin

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Seramai 110,218 pelajar terbabit dengan salah laku disiplin sepanjang tahun lalu dengan 72,873 daripadanya pelajar sekolah menengah manakala bakinya murid sekolah rendah, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Namun, katanya, secara keseluruhan statistik itu menunjukkan penurunan iaitu pada kadar 2.05 peratus berbanding 2.06 peratus pada 2010, malah purata kadar salah laku disiplin murid yang direkodkan dalam tempoh lima tahun ini 2.07 peratus setahun. “Kes disiplin berkenaan termasuk kes berat seperti kelakuan berunsur kekerasan, biadab, kelucahan, ponteng sekolah serta kes disiplin ringan seperti kekemasan diri, tidak pentingkan masa dan kurang sopan.
“Hal ini menunjukkan sekitar dua hingga tiga peratus bilangan murid yang masih perlu diberi perhatian sewajarnya,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid, di sini, semalam. Mesyuarat selama tiga jam itu meneliti isu berkaitan disiplin pelajar serta membincangkan strategi dan pelaksanaan program bagi tahun ini. Dr Wee berkata, ponteng sekolah masih isu utama yang diberi perhatian kerana ia antara penyumbang terbesar salah laku disiplin di sekolah.