‘Doakan pembedahan berjaya’ – Sinar Harian


‘Doakan pembedahan berjaya’
NOR RAIDAH AWANG
16 Jun 2012

Adam (empat kiri) bergambar bersama sukarelawan Kelab Awan Adventure yang hadir memberi kata-kata semangat kepadanya di KLIA.
SHAH ALAM – Adam Akbar Ali, 10, yang menghidap penyakit tumor saraf tunjang berlepas ke Amerika Syarikat semalam, dijadualkan akan menjalani pembedahan pada 21 Jun ini di Hospital John Hopkins, Amerika Syarikat.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Nordin, 43, berkata, Adam akan dimasukkan ke wad pada 18 Jun ini, bagi menjalani pemeriksaan tahap kesihatannya, sebelum pembedahan dilakukan.

Menurutnya, pihak hospital sebelum ini memaklumkan tempoh rawatan di sana mengambil masa selama dua atau tiga minggu, bergantung pada tahap kesihatan Adam.

“Doakan moga pembedahan ini berjaya. Saya harapkan dengan pembedahan itu mudah-mudahan Adam akan sembuh dengan segera dan kembali ceria,” katanya kepada Sinar Harian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sementara itu, ibu Adam, Siti Rogayah Syed Ismail, 34, menitiskan air mata sebaik sahaja ditemui wartawan Sinar Harian, dan melahirkan rasa terharu dengan keprihatinan rakyat Malaysia yang sanggup menyalurkan sumbangan sehingga Adam dapat menjalani pembedahan.

“Dengan masalah kewangan yang dihadapi kami sekeluarga, mungkin sukar bagi kami membayar kos pembedahan Adam sebanyak RM175,000,” katanya.

Siti berkata, selama empat tahun dia dan suami menjaga Adam yang sakit, mereka terpaksa menjual rumah untuk pembedahan pertama Adam pada Julai 2010 di Hospital Queen Elizabeth, Singapura yang menelan belanja RM240,000.

Namun, pembedahan itu hanya memberi penyelesaian sementara dengan mengurangkan risiko dan kesakitan dialaminya.

“Pada waktu itu, saya hanya fikirkan nyawa anak sahaja. Saya dan suami terpaksa gunakan semua kad kredit dan buat pinjaman peribadi bagi membiayai kos pembedahan pada masa itu,” katanya,

Beliau berkata, mereka sekeluarga mengucapkan terima kasih pada akhbar Sinar Harian yang banyak melaporkan kisah adik Adam dan sumbangan orang ramai sehingga terkumpulnya dana.

Sehubungan itu, Siti berharap pembedahan Adam berjalan lancar, tanpa komplikasi dan selamat selain berharap rakyat Malaysia mendoakan kesihatan anaknya.