Cuepacs Tetap Mahu Kerajaan Pertimbang Bonus Aidilfitri – Bernama


Cuepacs Tetap Mahu Kerajaan Pertimbang Bonus Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini tetap meminta kerajaan memberi bonus setengah bulan gaji sempena Aidilfitri kepada 1.4 juta penjawat awam walaupun mereka akan menerima kenaikan gaji tahunan pada bulan ini.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata pemberian bonus itu dapat mengurangkan beban mereka dalam membuat persiapan hari raya kerana perbelanjaan ketika Ramadan dan Aidilfitri adalah tinggi berbanding hari biasa.

“Sekarang ramai peniaga yang menaikkan harga barang sempena musim perayaan. Jika diberi bonus setengah bulan itu diharap dapat mengurangkan beban perbelanjaan mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama, Selasa.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa yang menyatakan kerajaan masih belum membincangkan mengenai pemberian bonus Aidilfitri itu.

Pada Isnin, Ali dilapor berkata kerajaan sebelum ini telah mengumumkan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dua kali untuk tahun ini yang boleh dianggap sebagai bonus.

Mengulas lanjut, Omar berkata pemberian bonus itu juga dapat menaikkan semangat bekerja dalam kalangan penjawat awam, sekali gus turut membantu meningkatkan produktiviti mereka.

“Bonus setengah bulan yang diberikan secara ‘advance’ kepada penjawat awam bukan sahaja dapat memberi semangat kepada mereka untuk memberikan perkhidmatan awam terbaik kepada rakyat, malah menggembirakan anggota keluarga mereka kerana persiapan hari raya lebih mudah dan tidak membebankan,” katanya.

Omar juga berkata kenaikan gaji tahunan dan bonus setengah bulan haji sempena Aidilfitri untuk penjawat awam adalah dua perkara berbeza.

Beliau berkata pemberian KGT dua kali pada tahun ini telah dijanjikan oleh kerajaan dan merupakan kenaikan sama rata mengikut gred jawatan tetapi bonus setengah bulan Aidilfitri adalah khusus untuk musim perayaan.

Justeru, katanya Cuepacs amat berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian bonus setengah bulan gaji sempena Aidilfitri itu. – BERNAMA

Kerajaan belum bincang pemberian bonus Aidilfitri – Bernama


Kerajaan belum bincang pemberian bonus Aidilfitri

15 Julai 2013
Tan Sri Dr Ali Hamsa
Tan Sri Dr Ali Hamsa

PUTRAJAYA – Kerajaan masih belum berbincang mengenai pemberian bonus kepada 1.4 juta penjawat awam sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan sebelum ini telah mengumumkan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak dua kali untuk tahun ini sahaja.

“Itu juga boleh dianggap bonus, namun terpulang kepada kerajaan tetapi selalunya pemberian bonus pada hujung tahun dan bergantung kepada output, sekarang terlalu awal untuk membincangkan perkara itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ali berkata untuk tahun ini sahaja kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM2 bilion bagi pemberian KGT selain penyelarasan gaji untuk skim-skim tertentu.

“Bagi bulan ini sahaja sebanyak enam skim akan ditambah baik dan 81 skim lagi pada November nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk pemberian bonus setengah bulan gaji sebelum Adilfitri yang dijangka disambut pada 8 Ogos ini.

Terdahulu, Ali merasmikan seminar bertajuk ‘Meningkatkan Kualiti Kawal Selia dan portal ‘Dasar Nasional Mengenai Pembangunan dan Pelaksanaan Kenyataan Impak Hubungan dan Kawal Selia’.

Seminar sehari itu dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). Minggu lepas, Cuepacs memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus dua setengah bulan kepada seluruh penjawat awam tahun ini.

Pada 9 Ogos tahun lepas, kerajaan membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam dan bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan bagi membantu mereka membuat persediaan menyambut Aidilfitri. – Bernama

Markah penuh untuk penjawat awam terlibat aktiviti luar termasuk sukan – Bernama


Markah penuh untuk penjawat awam terlibat aktiviti luar termasuk sukan

 

06/07/2013 1:10pm

 

NILAI – Penjawat awam yang terlibat dalam aktiviti luar termasuk bidang sukan sehingga mewakili peringkat kementerian atau negeri akan diberikan markah penuh dalam Laporan Penilaian Prestasi Tahunan (LNPT) mereka.

Ketua Setiausaha Negera, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, perkara itu yang akan dibincangkan bersama semua Ketua Setiausaha Kementerian dan ketua jabatan bertujuan bagi menarik minat penjawat awam menyertai aktiviti-aktiviti luar terutama sukan.

“Kita akan berikan insentif kepada mereka dan insentif ini ada pelbagai jenis. Salah satunya ialah saya akan minta ketua-ketua jabatan untuk memberikan kredit tambahan kepada penjawat awam yang terlibat dalam aktiviti luar.

“Kalau dalam penilaian LNPT memang ada lima peratus untuk aktiviti luar tapi kalau sampai ke peringkat kementerian atau negeri… mungkin kita boleh berikan markah penuh atau terbaik dalam kategori itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan menutup kejohanan olahraga Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) ke-45 di Stadium Universiti Sains Islam Antarabangsa, di sini hari ini. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0706&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_06.htm#ixzz2YFrDIvBd
Hakcipta terpelihara