30,474 calon PMR lulus semua A – Berita Harian


30,474 calon PMR lulus semua A

2012/12/20 – 06:48:19 AMCetakEmel Kawan
AHLI perniagaan, Datuk Dr Zulkepli Mohamad, bersama tiga dari empat isterinya dan empat anaknya yang mendapat keputusan cemerlang dalam PMR (dari kiri) Juliana Azieera, 8A, Rafizah Senawi, Zul Azrul, 8A, Hasnah Mat Ya, Zul Azril, 7A, Noreeha Abdul Rahman dan Ayu Syaheera, 8A di Kubang Kerian semalam.AHLI perniagaan, Datuk Dr Zulkepli Mohamad, bersama tiga dari empat isterinya dan empat anaknya yang mendapat keputusan cemerlang dalam PMR (dari kiri) Juliana Azieera, 8A, Rafizah Senawi, Zul Azrul, 8A, Hasnah Mat Ya, Zul Azril, 7A, Noreeha Abdul Rahman dan Ayu Syaheera, 8A di Kubang Kerian semalam.

Putrajaya: Seramai 30,474 atau 6.92 peratus daripada 481,424 calon yang menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini mendapat Gred A bagi semua mata pelajaran. Ia bagaimanapun mencatatkan penurunan 3,797 calon atau 0.85 peratus berbanding 34,271 calon pada 2011.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Datuk Dr Amin Senin, berkata bilangan calon yang mendapat E dalam semua mata pelajaran turut berkurangan daripada 346 calon (0.08 peratus) pada 2011 kepada 241 (0.05 peratus) tahun ini.

Katanya, berdasarkan indeks Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), tujuh mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup Bersepadu, Pendidikan Kesenian, Bahasa Tamil dan Bahasa Punjabi menunjukkan peningkatan.

Sebanyak 10 subjek lain, termasuk Bahasa Inggeris (BI), Pendidikan Islam, Sains dan Matematik mencatatkan penurunan.

“Kita belum boleh bagi tahu (punca penurunan), kita kena lihat secara terperinci dengan melakukan kajian membabitkan semua calon dan subjek berkenaan.

“Penurunan prestasi dalam mata pelajaran BI memang dijangka sebab tahun lalu kita mula perkenalkan teks baru komponen Sastera Bahasa Inggeris,” katanya pada sidang media mengumumkan analisis keputusan PMR di Kementerian Pelajaran, di sini semalam.

Amin berkata, keputusan PMR kali ini diumum berdasarkan empat perkara, iaitu pencapaian calon secara keseluruhan, calon bandar berbanding luar bandar, calon keperluan khas dan prestasi setiap mata pelajaran.
Katanya, secara keseluruhan, pencapaian calon dalam 17 mata pelajaran tahun ini stabil dengan indeks Gred Purata Nasional (GPN) kekal pada 2.71 mata seperti tahun lalu.

Sementara itu, pencapaian calon bandar lebih baik berbanding calon luar bandar, namun jurangnya berjaya dirapatkan sebanyak 0.03 mata GPN iaitu daripada 0.29 mata kepada 0.26 mata.

“Bagi calon keperluan khas pula, pencapaian mereka meningkat 0.03 mata GPN, iaitu daripada GPN 4.10 mata tahun lalu kepada 4.07 mata tahun ini.

“Tahun ini, ada 14 calon keperluan khas mendapat keputusan cemerlang (semua A) iaitu pertambahan dua calon. Malah, keputusan tahun ini juga menunjukkan bilangan calon yang tidak mencapai tahap penguasaan minimum dalam semua mata pelajaran berkurangan 1.14 peratus,” katanya.

Dari segi mata pelajaran, prestasi Bahasa Melayu meningkat 0.04 mata, di mana calon mendapat keputusan cemerlang (Gred A) meningkat 1.2 peratus daripada 26.3 peratus (2011) kepada 27.5 peratus tahun ini.

Bagaimanapun, prestasi BI turun 0.12 mata daripada 3.11 mata tahun lalu kepada 3.23 mata tahun ini.

“Peratusan calon yang mendapat gred cemerlang dalam BI juga berkurangan 1.6 peratus daripada 18.4 peratus (2011) kepada 16.8 peratus tahun ini.

“Bagi mata pelajaran Sains, prestasinya menurun 0.01 mata daripada 2.77 mata tahun lalu kepada 2.78 mata tahun ini dengan peratusan calon mendapat A juga turun 1.4 peratus daripada 30.2 peratus tahun lalu kepada 28.8 peratus tahun ini,” katanya.

Jumlah Pelajar Catat Semua A Dalam PMR Merosot – mStar


Jumlah Pelajar Catat Semua A Dalam PMR Merosot

Oleh PRIYA KULASAGARAN

PUTRAJAYA: Jumlah pelajar yang mendapat gred A bagi semua mata pelajaran dalam ujian Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini merosot berbanding tahun lalu.

Seramai 30,474 daripada 440,643 calon yang menduduki peperiksaan itu mencatat gred A bagi semua matapelajaran, menunjukkan penurunan sebanyak 0.85% berbanding 2011.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Amin Senin berkata keputusan itu perlu dianalisis dengan lebih lanjut untuk menjelaskan mengenai kemerosotan tersebut.

“Sama ada ia adalah prestasi keseluruhan atau pelajar cemerlang dalam mata pelajaran individu, kita perlu melakukan kajian secara menyeluruh untuk menerangkan pencapaian para pelajar,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan itu disini pada Rabu.

Sementara itu, hanya 241 calon memperoleh keputusan gred E dalam semua mata pelajaran berbanding 346 calon tahun lalu.

30,474 calon dapat A keseluruhan mata pelajaran – Utusan


30,474 calon dapat A keseluruhan mata pelajaran

PUTRAJAYA 19 Dis. _ Seramai 30,474 calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) mendapat gred A bagi keseluruhan mata pelajaran, berkurangan sebanyak 3,797 atau 0.85 peratus berbanding 2011.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, secara keseluruhannya, keputusan PMR kali ini dalam 17 mata pelajaran kekal seperti tahun sebelumnya iaitu dengan Gred Purata Nasional (GPN) 2.71.

“Bilangan calon yang mendapat gred E dalam semua mata pelajaran berkurang daripada 346 orang (0.08 peratus) pada tahun lalu kepada 241 orang (0.05 peratus) pada tahun ini.

“Manakala berdasarkan mata pelajaran, empat subjek utama iaitu bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam mencatatkan penurunan prestasi,” katanya pada sidang akhbar pengumuman keputusan PMR di sini hari ini. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121219/dn_22/30474-calon-dapat-A-keseluruhan-mata-pelajaran#ixzz2FTqfBqdP
© Utusan Melayu (M) Bhd