Sekolah diminta jaga persekitaran daripada ancaman denggi – Bernama


Sekolah diminta jaga persekitaran daripada ancaman denggi 

2012/01/31

PETALING JAYA: Pihak sekolah diminta supaya menjaga kebersihan kawasan persekitaran mereka daripada ancaman denggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hassan Abdul Rahman, berkata ini berikutan dua daripada enam kes kematian akibat denggi yang dilaporkan dalam tempoh empat minggu pertama tahun ini, membabitkan pelajar.

“Seorang daripada mangsa merupakan pelajar sekolah rendah yang berusia sembilan tahun dan seorang lagi pelajar kolej berusia 18 tahun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau melancarkan program Pertandingan Anti-Aedes Renjer Ridsect peringkat sekolah di Sekolah Menengah Perempuan Seri Aman, di sini hari ini.

Hassan berkata, daripada 1,868 kes jangkitan denggi yang dilaporkan setakat ini, 378 kes melibatkan pelajar sekolah iaitu 246 pelajar sekolah menengah dan 132 murid sekolah rendah. – BERNAMA