Dua beradik dirantai dalam tandas dijaga bapa saudara – Utusan


Dua beradik dirantai dalam tandas dijaga bapa saudara

BUTTERWORTH 3 Jan. – Mahkamah Majistret di sini hari ini menyerahkan hak jagaan sementara dua kanak-kanak yang dikurung dan kaki dirantai di dalam tandas rumah mereka di Taman Mawar, Jalan Raja Uda di sini minggu lalu, kepada bapa saudara mereka.

Majistret Mohd. Zamir Suhaimee memutuskan demikian semasa kedua-dua kanak-kanak yang berusia enam dan dua tahun itu dibawa ke mahkamah oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perai Utara setelah mereka dirawat di Hospital Seberang Jaya sejak Khamis lalu.

Kanak-kanak malang itu akan berada di bawah jagaan bapa saudara mereka, Munawar Tan Abdullah selama sebulan sementara JKM menjalankan siasatan dan menentukan hak jagaan kekal sama ada terus dijaga Munawar atau diserah kembali kepada ibu bapa mereka.

Dua kanak-kanak tersebut diselamatkan oleh pihak polis dan pegawai JKM dalam keadaan separuh bogel dan kaki mereka dirantai di dalam tandas di rumah mereka ketika bapa mereka yang berusia 40-an keluar bekerja.

Sementara itu Munawar, 48, berkata, dia bersedia menjaga anak-anak saudaranya sementara menunggu keputusan sama ada adiknya akan didakwa atau tidak.

”Adik saya mengakui kesilapan yang dilakukannya dan menyesal dengan apa yang berlaku namun menjelaskan tindakan berkenaan dibuat bukan untuk mendera tetapi mengelakkan kejadian tidak diingini kerana tiada orang yang menjaga dua beradik itu ketika dia keluar bekerja.

”Dia seorang yang baik dan tidak akan tergamak untuk mendera anak-anaknya kerana dua beradik itu cukup manja dengan bapa mereka,” katanya ketika ditemui hari ini.

Jelasnya, dia telah bersedia dengan peguam bela sekiranya adiknya didakwa dan menyerahkan kepada pihak polis untuk melengkapkan siasatan mereka namun berharap adiknya tidak akan didakwa atau dihukum penjara.

Ujarnya lagi, dia berharap anak saudaranya akan meneruskan persekolahan seperti biasa kerana pendaftaran sekolahnya terbantut berikutan insiden terbabit.

”Saya juga menafikan laporan yang mendakwa adik saya berpisah dengan isterinya sebaliknya isterinya, seorang warganegara Thailand pulang ke kampung halaman di Cheang Rai kerana ibunya sakit tenat.

”Saya sedang berusaha menghubunginya di sana agar segera kembali ke sini dan menjaga anak-anaknya,” ujarnya.