Dua beradik lemas bersama – Metro


Dua beradik lemas bersama

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUANTAN: Kegembiraan dua beradik yang sedang bercuti bersama keluarga bertukar tragedi apabila ditemui lemas di dasar kolam sebuah resort di Beserah, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.50 tengah hari itu, mangsa, Mohd Firdaus Samsol, 7, dan adiknya, Mohd Ridzuan Hakim, 5, dikatakan bermain dalam kolam renang tanpa menyedari memasuki kawasan dewasa yang agak dalam.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama keluarga mendaftar masuk ke resort berkenaan jam 12.25 tengah hari.

 

Menurutnya, bapa mangsa kemudian keluar membeli minuman manakala mangsa ditemani ibunya yang berada dalam bilik sambil menyusukan adik bongsu mangsa berusia setahun.
Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa disedari hilang selepas bapanya pulang dari kedai sebelum bergegas mencari sekitar resort berkenaan.
“Selepas hampir lima minit mencari, lelaki terbabit menemui dua anaknya dalam dasar kolam sebelum memanggil pengurusan pusat peranginan itu untuk membawa mangsa keluar.

 

 

“Dua beradik itu diberikan bantuan oleh Pembantu Perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke rumah mayat HTAA untuk dibedah siasat dan polis sudah mengambil keterangan berhubung kejadian itu daripada keluarga mangsa.

 

Katanya, siasatan awal mengesahkan kejadian itu tidak mempunyai unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Beliau berkata, jenazah dua beradik terbabit dibawa pulang ke Felda Kemayan, Bera untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kemayan, kira-kira jam 8.10 malam kelmarin.