Dua beradik lemas ketika mandi di Pantai Sepat – Bernama


Dua beradik lemas ketika mandi di Pantai Sepat

22/01/2012 10:43pm

 

KUANTAN 22 Jan — Dua beradik mati lemas ketika mandi-manda di Pantai Sepat di sini bersama keluarga mereka yang menghabiskan cuti sempena Tahun Baru Cina dengan berkelah di situ, petang tadi.

Mangsa ialah Mohd. Zaiful Abu Talib, 13, dan adik tirinya, Mohd. Saiful Mohd, 11, dari Sungai Isap di sini.

Menurut ibu mangsa, Zaleha Abd Ghani, 42, ketika kejadian, enam anaknya bersama beberapa sepupu mereka sedang mandi di pantai itu pada 5 petang apabila tiga anaknya lemas.

Katanya, dia hanya berjaya menyelamatkan seorang sahaja.

“Dua lagi diselamatkan orang ramai yang berada di pantai itu tetapi mereka meninggal dunia akibat sesak nafas,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Zaleha berkata, seorang lagi anaknya kini masih berada di unit rawatan rapi (ICU) HTAA.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintenden Zulkifli Taha ketika dihubungi, mengesahkan kejadian tersebut. — BERNAMA