Dua beradik rentung dalam kebakaran rumah kedai di Pontian – Bernama


Dua beradik rentung dalam kebakaran rumah kedai di Pontian

2012/03/23

PONTIAN: Dua beradik rentung dalam satu kebakaran membabitkan 10 rumah kedai dua tingkat separuh papan di Pekan Ayer Baloi di sini, hari ini. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Penolong Kanan Penguasa Bomba, Abd Hamid Aroon, berkata kebakaran dipercayai berlaku pada jam 4.30 pagi ketika mangsa, Khusnul Khotimah Selamat, 13, dan adik lelakinya, Rohman, 12, sedang tidur di tingkat dua rumah kedai yang berusia lebih 50 tahun itu.

 

“Bomba menerima panggilan kebakaran itu pada jam 4.47 pagi dan seramai 33 anggota bersama lima jentera bergegas bagi memadamkan kebakaran berkenaan,” katanya di tempat kebakaran.

 

Beliau berkata, anggota bomba menemui rangka dua beradik itu selepas api berjaya dipadamkan pada jam 6.30 pagi.

Enam anggota keluarga mangsa, termasuk ibu bapa dua beradik malang itu, Hasniah Abd Hussin, 50, dan Selamat Kosnan, 51, berjaya menyelamatkan diri dari rumah yang disewa sebagai kediaman mereka. 

Abd Hamid berkata, punca kebakaran serta jumlah kerugian sedang disiasat. 

Difahamkan, ketika kebakaran, hanya rumah kedai itu berpenghuni manakala yang lain menjalankan perniagaan pada sebelah siang seperti kedai runcit, kedai makan, kedai telefon, pusat siber dan stor. 
Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintendan Wan Razani Wan Iberahim ketika dihubungi turut mengesahkan kebakaran itu. 

Beliau berkata, kebakaran itu tidak membabitkan sebarang perbuatan khianat. 

Sementara itu, Hasniah berkata, ketika kebakaran, dia dan suaminya tidur di tingkat atas bersama mangsa manakala empat anak mereka yang lain di tingkat bawah. 

Hasniah berkata, dia terjaga daripada tidur apabila terhidu bau asap sebelum turun ke tingkat bawah dan mendapati rumahnya terbakar. 

“Saya ingat kedua-dua mereka ikut keluar dari rumah. Kami kemudian gagal menyelamatkan mereka kerana api marak dengan cepat,” katanya. – BERNAMA