Dua pelajar mengaku bersalah – Sinar Harian


Dua pelajar mengaku bersalah

WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Disember 2012

KUALA PILAH – Dua remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menyembunyikan motosikal curi dengan cara membuang rangkanya di kawasan paya, Johol.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Majistret Azura Alwi dan pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shukri Hussain.

Suspek berusia 15 dan 16 tahun yang masih bersekolah itu bersama menyembunyikan rangka motosikal milik Noor Faiz Abd Razak di ladang kelapa sawit Kampung Betong, Johol  tanpa izinnya pada, jam 2.10 petang, 1 Disember lalu.

Kemudian, kedua-dua suspek  melakukan kesalahan yang sama kepada pemilik motosikal Tok Yeok Ban, lebih kurang jam 2.20 petang pada 2 Disember lalu, di ladang kelapa sawit, Kampung Betong, Johol.

Difahamkan, kedua-dua pemilik motosikal membuat laporan polis pada 21 September lalu.

Salah seorang suspek yang berusia 15 itu turut melakukan kesalahan lain iaitu melupuskan barang curi dengan menjual sebuah enjin milik Tok Yeok Ban tanpa izinnya.

Kesalahan dilakukan di rumah tidak bernombor di Kampung Gemencheh Ulu Air Mawang, Johol pada pada jam 12.10 tengah hari, 4 Disember lalu.

Kedua-dua suspek yang berasal dari Kampung Tanggai, Air Mawang, didakwa di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama dan membawa hukuman tidak kurang enam bulan penjara dan tidak lebih tujuh tahun serta denda.

Bagaimanapun, mahkamah akan menunggu laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum disabitkan kesalahan berikutan kedua-dua suspek bawah umur.

Kedua-dua suspek ditemani ibu dan bapa masing-masing memohon wang denda jaminan dikurangkan dan mendapat persetujuan Hakim Azura, iaitu seorang perlu membayar wang bernilai RM1,000 dan seorang lagi RM1,500 berikutan setiap pertuduhan dikenakan RM500.

Kes akan disebut semula pada 29 Januari 2013 selepas JKM menyediakan laporan akhlak.