Dua remaja maut motosikal bertembung – Bernama


Dua remaja maut motosikal bertembung

2011/08/22

KUALA TERENGGANU: Dua remaja maut selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung sesama sendiri dalam kemalangan di Kampung Kedai Buluh, Jalan Kampung Surau Haji Yaacob, Titian Baru, Marang malam tadi.

Mohd Amirul Azlan Shafie, 21 maut di tempat kejadian, manakala Adam Safuan Jaafar, 15, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Sultan Mansor, Kedai Buloh, disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Ketua Polis Daerah Marang, DSP Ahmad Mazlan Yahaya, berkata nahas kira-kira 7.00 malam itu berlaku apabila Mohd Amirul Azlan dipercayai hilang kawalan motosikal yang ditunggangnya sebelum merempuh motosikal Adam Safuan dari arah bertentangan.

Katanya, akibat pertembungan itu kedua-dua mangsa yang masing-masing berasal dari Kampung Surau Panjang dan Kampung Surau Haji Daud, cedera parah di kepala dan anggota badan.

“Kita percaya kedua-dua mangsa menunggang motorsikal dalam keadaan laju dan akibat rempuhan yang kuat itu menyebabkan kedua-duanya mengalami kecederaan parah,” katanya kepada pemberita di sini.

Mayat kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat. – BERNAMA

Dua remaja maut motosikal bertembung – Berita Harian


Dua remaja maut motosikal bertembung

2011/04/12

KUALA TERENGGANU: Dua remaja maut apabila motosikal mereka berlanggar antara satu sama lain di Jalan Kampung Padang Nanas, Bukit Rakit dekat sini malam tadi.

Mereka ialah Muhammad Arieff Hamzah, 17, dari Kampung Buluh Gading dan Mohd Azmizi Aziz, 24, dari Kampung Padang Nanas.

Muhammad Arieff adalah pelajar Tingkatan Lima, Sekolah Menengah Tengku Mizan di Batu Rakit.Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Shamsuddin, berkata dalam kemalangan jam 10.40 malam itu, Mohd Azmizi dikatakan secara tiba-tiba menunggang keluar dari simpang berhampiran sebuah stesen minyak di Kampung Padang Nanas lalu bertembung dengan motosikal yang ditunggang Muhammad Arieff.

“Ketika itu Muhammad Arieff dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu Rakit setelah selesai menghadiri kelas tuisyen di Kampung Wakaf Tengah. Kedua-dua mangsa meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.