e-mel anda: Beza didikan zaman dulu – Metro


e-mel anda: Beza didikan zaman dulu

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SAYA seorang penjawat awam di sebuah sekolah menengah di Pontian, Johor amat berminat sekali dengan pandangan Syed Abdullah Osman Jamalullail dan ingin mengupas isu ‘Pelajar Sekarang Terlalu Dimanjakan.’

Zaman kini kebanyakan ibu bapa melepaskan tanggungjawab mendidik dan mendisiplin pelajar kepada pendidik.

Alasannya sibuk mencari rezeki, tetapi anak sendiri terkapai-kapai mencari identiti.

Mungkin isu ini tidak menjadi masalah terhadap guru zaman dulu. Ini kerana didikan zaman dulu lebih berkesan berbanding dengan sekarang.

 
Mungkin bukan daripada segi sukatan pelajaran mahupun silibus yang telah ditetapkan, tetapi daripada segi nilai murni, adab sopan, peri laku, moral dan sikap positif yang amat ditekankan ketika itu.

Rotan sebesar ibu jari menjadi igauan pelajar ketika itu.

Dengar saja kayuhan basikal guru, berciciran pelajar lari mencari perlindungan.

Apabila kerja rumah tak siap, disuruhnya berdiri di luar sebagai denda yang ingat sampai bila-bila. Apabila guru tegur dan marah, bagaikan halilintar keadaannya dan tunduk tidak terkata apa apa.

Tapi zaman sekarang, pelajar lebih galak di sekolah. Bagaimana pula di rumah? Adakah wujud ‘split personality’ dalam diri pelajar?

Ibu bapa pelajar mungkin tidak mengetahui tingkah laku anak mereka ketika di sekolah.

NOOR IZAWATI SALIHUN
Pontian, Johor