E-mel anda: Tiada khabar mengajar – Metro


E-mel anda: Tiada khabar mengajar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PADA penghujung Mei lalu, saya dan rakan-rakan telah menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di bawah program berkembar Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang ditaja Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ia mengambil masa selama enam tahun bermula pada Julai 2005.
Majlis konvokesyen yang melupakan sejenak kerisauan kami, juga selesai.

 

Persoalannya di sini, bilakah agaknya kami akan memulakan tugas di sekolah? Untuk pengetahuan, kami adalah kumpulan keempat program pengajian ini.
Bagi kumpulan terdahulu, paling lama mereka cuma perlu menunggu selama tiga bulan sebelum memulakan tugas.
Bagaimanapun, kami sudah menanti hampir lima bulan. Banyak pertanyaan diajukan kepada Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dan di sini kami ingin mengucapkan terima kasih atas kesudian beliau melayan pertanyaan kami walaupun tiada kepastian diberikan.

 

 

Namun, kami berpendapat masalah di sini berpunca daripada pengurusan lemah dalam bahagian atau jabatan yang bertanggungjawab dalam proses penempatan guru.
Pelbagai isu lain timbul seperti isu senioriti dalam jawatan dan sebagainya.

 

Bagi saya, bagi mengatasi masalah penempatan ini, sekurang-kurangnya berikan tempat kami di sekolah supaya kami terus bersemangat mendidik anak bangsa.
Selain itu, terdapat juga perkhabaran yang kami peroleh daripada pihak pihak berwajib di mana penempatan kami kemungkinan besar tertangguh kerana kumpulan kami belum menjalani Sesi Temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).
Apa yang mendukacitakan kami, kumpulan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) telah ditemuduga terlebih dulu dan mereka akan menerima penempatan lebih awal daripada kami.
Ini menyebabkan kami terkilan kerana kumpulan kami menghabiskan masa selama enam tahun untuk menjadi pendidik yang profesional, tetapi seakan-akan tidak dipandang serius pihak berwajib.
Sedangkan kumpulan KPLI yang hanya menjalani latihan perguruan kurang daripada setahun, diberi keutamaan.
Adakah terdapat perbezaan besar antara kumpulan kami dan KPLI? Adakah KPLI lebih baik daripada kumpulan kami? Kami bukanlah memperkecil-kecilkan kumpulan KPLI atau mana-mana kumpulan lain, tetapi kami berasa perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku.
Jika ia benar, pihak Kementerian Pelajaran dan Bahagian Pendidikan Guru perlu mengambil jalan penyelesaian dalam menjelaskan perkara ini kepada kami.
Kami tidak mahu dilabel sebagai tidak bersyukur dan tidak bijak dalam bertindak, tetapi apa yang kami harapkan adalah penjelasan yang berkesan dalam usaha untuk membuat kami faham akan prosedur pengurusan penempatan ini.
Kami lebih rela dan lebih suka jika pada awalnya selepas tamat pengajian, kami diberitahu penempatan akan diumumkan bukan dalam waktu terdekat atau terus dimaklumkan kepada kami tarikh bermula tugas adalah pada tahun hadapan.
Ini lebih bermakna kepada kami kerana boleh mencari pekerjaan lain, berbanding hanya menunggu di rumah tanpa sebarang pendapatan, malah menunggu sesuatu yang tidak pasti.
Saya berharap ada pihak yang akan tampil membuat penjelasan terperinci mengenai masalah ini.
Kami sesungguhnya telah berpenat lelah belajar selama enam tahun dan tidak sabar untuk menjadi guru profesional.
TERUS MENANTI Sungai Petani, Kedah