Eksekutif didakwa cabul remaja dalam tren – Berita Harian


Eksekutif didakwa cabul remaja dalam tren

2012/10/03 – 00:40:08 AMCetakEmel Kawan
Rembau: Seorang eksekutif akaun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, kerana didakwa mencabul kehormatan seorang remaja 15 tahun yang sedang tidur dalam koc tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Ahad lalu.

D Sivanesan, 40, dari Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Mahyun Yusof.

Tertuduh didakwa mencabul kehormatan mangsa dalam keretapi Ekspres Senandung No 25, Koc: S1 dan tempat duduk 14D berhampiran Stesen Keretapi Gemas, kira-kira jam 2.15 pagi, Ahad lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Zahid Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Zahid menawarkan jaminan sebanyak RM6,000. Bagaimanapun, tertuduh merayu jaminan dikurangkan dengan alasan hanya berpendapatan RM2,500 sebulan.