Eksperimen kesan tonton filem ganas – Metro


Eksperimen kesan tonton filem ganas

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Pengamatan mendapati pengaruh filem atau drama ganas dipaparkan di televisyen turut menyumbang berlaku kes jenayah. Kesannya, eksperimen dijalankan adalah dengan membalas terhadap rakan sekelas,” kata Pakar Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Hussain Habil Mohamad.

Menurutnya, beliau percaya kebanyakan kes buli berlaku di kalangan murid yang teruk prestasi akademik.
Bagi menangani masalah itu, katanya, guru perlu lebih peka dengan situasi berkenaan.

 

“Sekiranya nasihat tidak didengari atau hukuman tidak dihiraukan, sewajarnya rujuk kaunselor atau pakar psikologi,” katanya.
Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai lima murid tahun tiga di sebuah sekolah di Petaling Jaya yang bertindak samseng apabila membelit leher rakan sekelas dengan tali pinggang selain memukul mangsa.
Laporan berkata, kelima-lima murid terbabit turut mengugut membunuh dan mencampak mangsa dalam hutan semata-mata kerana tidak menyukai rakan mereka itu.

 

 

Dr Hussain berkata, masalah buli dan jenayah yang kian menjadi-jadi di kalangan murid membimbangkan banyak pihak terutama guru serta ibu bapa dan sekiranya tidak dicegah di peringkat akar umbi dikhuatiri menjejaskan keamanan dan keharmonian Malaysia suatu hari nanti.
Beliau berkata, kes juvana yang membabitkan pelajar sekolah ketika ini menunjukkan peningkatan dan disifatkan sebagai masalah tingkah laku yang berpunca daripada masalah dalaman keluarga.

 

Katanya, kajian psikologi menunjukkan masalah yang sering menimpa murid dan pelajar berpunca daripada kelemahan sistem keluarga yang mengakibatkan anak-anak berhadapan risiko dan akibatnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/04