Elak generasi buta huruf – Metro


Elak generasi buta huruf

Oleh Ardyhansah Amat
ardyhansah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seramai 43,973 kanak-kanak tanpa dokumen pada 2009 yang berusia antara 7 dan 17 tahun tercicir daripada mendapat pendidikan di negara ini.

Pegawai Penilaian Pemantauan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Nur Anuar Abdul Muthalib berkata, jumlah itu berdasarkan kajian dijalankan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Walaupun belum ada kajian terperinci dilakukan, Nur Anuar menganggarkan antara 3 dan 4 peratus atau lebih kurang 150,000 daripada 5 juta remaja di negara ini tidak bersekolah.

 

“Isu kanak-kanak tercicir daripada pelajaran ini terjadi hampir di seluruh negara dan kebanyakan daripadanya berlaku di Sabah.
“Apa yang menjadi masalah di Sabah cukup unik kerana ia berlaku disebabkan kemasukan pelarian perang dari Moro, Filipina pada 1974 dan mereka menetap lebih 35 tahun di sana.
“Dengan memegang kad IMM13, mereka dibenar tinggal dan bekerja di Sabah, tetapi tidak boleh mendapat pendidikan di sekolah kerajaan,” katanya kepada Harian Metro (HM).

 

 

Akhbar ini dalam laporan tiga hari sejak Ahad lalu dalam ruangan Wajah Kehidupan mendedahkan mengenai masalah dihadapi kanak-kanak di beberapa kawasan di Sabah.
Kanak-kanak berkenaan terbiar dan tidak bersekolah kerana pelbagai faktor antaranya bapa yang berkahwin kemudian meninggalkan isteri dan anak sebelum berpindah ke tempat lain dan berkahwin lagi dengan membiarkan anak begitu saja.

 

Menurut Nur Anuar, disebabkan terlalu lama tinggal di Sabah serta mahir berbahasa Melayu, sebahagian pelarian ini akhirnya diberikan status kerakyatan dan diiktiraf sebagai penduduk tetap seterusnya diterima sebagai rakyat di negara ini.
“Ini menunjukkan ada sebahagian daripada mereka berpeluang diberikan status kerakyatan mengikut syarat dan prosedur ditetapkan.
“Bayangkan pula jika kanak-kanak golongan ini yang buta huruf akibat tidak pernah mendapat pendidikan ketika usia muda, 30 tahun kemudian, mereka diterima sebagai rakyat tempatan, pasti ia menjadi satu beban kepada negara.
“Ia akan menyumbang kepada peningkatan peratusan buta huruf dan taraf hidup masyarakat yang rendah selain masalah sosial,” katanya.
Malah, menurutnya, disebabkan kesempitan hidup dan buta huruf, kanak-kanak itu juga mudah dieksploitasi pihak tertentu termasuk terdedah kepada bahaya, keganasan, pelacuran dan sebagainya.
Unicef menganggap setiap kanak-kanak di negara ini berhak mendapatkan pendidikan tanpa mengira status kerakyatan.
“Bagi mengurangkan kesan keciciran pendidikan, Unicef mengambil inisiatif membina sebuah sekolah khusus untuk kanak-kanak ini di Kampung Numbak, sebuah perkampungan atas air yang didiami golongan terbabit di Kota Kinabalu,” katanya.
Pembukaan sekolah pada Januari tahun lalu itu membolehkan 300 kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun yang tidak memiliki dokumen serta keciciran pelajaran mendapat pendidikan.
Tambah Nur Anuar, projek yang mendapat kerjasama KPM dan Pasukan Petugas Khas Persekutuan (Sabah) mendapat sambutan 600 penduduk di kampung berkenaan.
“Pada awal pembukaan sekolah itu, dianggarkan hampir 90 peratus kanak-kanak terbabit tidak tahu membaca dan menulis. Bagaimanapun selepas 6 bulan, separuh daripada mereka sudah boleh membaca dan menulis.
“Berdasarkan sambutan termasuk kerjasama membina sekolah daripada penduduk di Kampung Numbak jelas menunjukkan mereka sebenarnya inginkan pendidikan, tetapi tidak berpeluang mendapatkannya disebabkan ketiadaan dokumen diri,” katanya.