Elaun guru takmir seluruh negara naik – Utusan Malaysia


Elaun guru takmir seluruh negara naik

KUALA KANGSAR 29 Okt. – Kerajaan bersetuju menaikkan elaun guru-guru takmir di seluruh negara daripada RM40 kepada RM100 setiap kali mengajar.

Pelaksanaan kadar baru elaun itu akan berkuat kuasa pada Januari depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Abdul Halid Sintol berkata, kenaikan tersebut bertujuan menyelaraskan elaun yang diterima imam-imam dan guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) seperti diumumkan dalam Bajet 2011, baru-baru ini.

“Kementerian Kewangan telah bersetuju meluluskan elaun daripada RM40 sekarang kepada RM100. Maksimum guru-guru takmir mengajar ialah lapan kali sebulan bermakna mereka juga akan menerima elaun seperti guru-guru KAFA iaitu sebanyak RM800.

“Surat yang diterima memaklumkan pelaksanaannya bermula Januari 2011. Kita harap kementerian dapat salurkan peruntukan ini mengikut jadual,” katanya.

Beliau berucap pada majlis Ijtima’ Sanawi Guru Takmir Peringkat Negeri Perak di Auditorium Kolej Islam Darul Ridzuan, di sini semalam.

Program sehari bertema ‘Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah’ tersebut dianjurkan bersama Jakim, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIAMP).

Acara perasmian disempurnakan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang diwakilkan Pegawai Khasnya, Nasir Ismail.

Guru-guru takmir merupakan tenaga pengajar yang diiktiraf oleh Jakim dan jabatan agama Islam negeri untuk mengajar agama di masjid-masjid dan surau.

Menurut Abdul Halid, persetujuan menaikkan kadar elaun itu juga menandakan kesediaan kerajaan memberi komitmen tinggi kepada usaha perkembangan agama dan pendidikan Islam di kalangan masyarakat.

“Ia nikmat yang perlu disyukuri dan harus disusuli dengan usaha di kalangan guru takmir di masjid-masjid dan surau untuk membantu perkembangan dan memperkasa akidah serta ketinggian akhlak seterusnya melahirkan kekuatan komuniti Islam di negara ini,” kata beliau.

Terdahulu, Timbalan Pengarah JAIPk, Mohd. Yusop Husin dalam ucapannya, meminta Jakim menambah pengambilan guru-guru takmir di negeri ini memandangkan bilangan mereka tidak mampu menampung jumlah masjid yang ada.

“Jumlah guru takmir di Perak ketika ini ialah 299 orang berbanding 615 masjid tidak termasuk surau-surau yang juga memerlukan penglibatan mereka.

“Kita harap dapat mencapai nisbah dua orang guru takmir untuk sebuah masjid bagi memudahkan urusan pengajaran dilakukan,” katanya.