Cuepacs mahu semua jenis elaun, insentif penjawat awam dikaji semula – Bernama


Cuepacs mahu semua jenis elaun, insentif penjawat awam dikaji semula

14 November 2012
logo cuepacs
Cuepacs

KOTA KINABALU – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu semua jenis elaun dan insentif penjawat awam di seluruh negara termasuk imbuhan tetap perumahan dan bayaran insentif wilayah untuk Sabah dan Sarawak dikaji semula.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata perkara itu perlu memandangkan harga rumah dan kos sara hidup rakyat di negara ini semakin meningkat.

“Di mana-mana negeri, elaun tidak boleh dibeza-bezakan seperti dahulu sebab sekarang ini harga rumah dan kos sara hidup terlalu tinggi.

“Sebab itu Cuepacs menyuarakan supaya semua jenis elaun, insentif dan imbuhan tetap perumahan perlu dikaji semula bersama dengan kajian suruhanjaya transformasi perkhidmatan awam,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Bersepadu Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, di sini hari ini.

Omar berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan pelbagai pihak agar elaun perumahan penjawat awam dari Sabah dan Sarawak yang bertugas di semenanjung atau sebaliknya diseragamkan.

Beliau berkata pihaknya telah menyuarakan perkara itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan berharap JPA mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Misalnya kalau elaun perumahan di Sememanjung RM800, sini (Sabah/Sarawak) pun RM800, pasal rumah ini tiada (harga rumah) Sabah murah, Sarawak mahal dan sememanjung murah.

“Kita bimbang bila pekerja baru masuk, kalau gaji masih kecil, masalahnya mereka mahu tinggal di mana? Sewa mahal, beli rumah pun tidak mampu,” katanya.

Beliau berkata keadaan itu akan menjejaskan produktiviti, tanggungjawab sosial dan keluarga kepada penjawat awam terutama yang baru bekerja.

Sementara itu, Omar berkata Cuepacs belum bersetuju mengenai cadangan Kementerian Kewangan untuk menjalin kerjasama dengan bank bagi menguruskan skim pinjaman perumahan penjawat awam. – Bernama

Cuepacs yakin kebajikan awam disentuh dalam Bajet 2013 – Sinar Harian


Cuepacs yakin kebajikan awam disentuh dalam Bajet 2013

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Ogos 2012
logo cuepacs
Cuepacs

KUCHING – Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman yakin isu kebajikan penjawat awam akan disentuh dalamĀ  pembentangan Bajet 2013, yang dijangka pada 28 Sept ini, selaras dengan usaha menambah baik kualiti perkhidmatan melalui penyampaian berkesan.

Omar, yang juga anggota Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam (SKMTPA), berkata Cuepacs juga mahu status pekerja kontrak turut mendapat perhatian kerajaan.

“Kebajikan sangat penting dalam mana-mana sektor, sama ada dalam kerajaan atau swasta dan kita mengharapkan satu pembentangan yang baik supaya tidak ada lagi penjawat awam yang bermasalah atau tidak sihat yang akan menyusahkan kawalan,” katanya kepada pemberita selepas majlis dialog di antara ketua jabatan dan badan berkanun persekutuan Sarawak dengan SKMTPA, yang diketuai pengerusinya Tun Zaki Tun Azmi di sini hari ini.

Dengan adanya pelbagai insentif yang diberi kerajaan, seperti bantuan rakyat 1Malaysia (BR1M) serta ekonomi yang sudah baik, beliau berkata isu yang dibangkitkan selama ini, termasuk kenaikan gaji selain penyelarasan bayaran insentif wilayah dan elaun perumahan, perlu mendapat perhatian kerajaan di dalam belanjawan 2013 nanti.

Bagi meningkatkan lagi produktiviti dan pentadbiran efisien, elaun bantuan sara hidup (Cola) juga perlu diberi kepada penjawat awam di Sarawak, yang berbeza dengan bayaran insentif wilayah, katanya. – Bernama