Empat bilik asrama SMK Tunku Anum Jitra terbakar – Berita Harian


Empat bilik asrama SMK Tunku Anum Jitra terbakar

2011/08/14

JITRA: Empat buah bilik asrama dan dua setor Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman, di sini musnah dalam kebakaran membabitkan sebuah blok asrama lelaki petang tadi.

Ketua Jabatan Penyelamat dan Bomba Jitra, Hasbullah Mohd Isa, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 3.30 petang dan bergegas ke tempat kejadian dengan lima jentera termasuk satu lori tangki untuk memadamkan kebakaran.

Beliau berkata, dalam kejadian itu api marak dengan cepat dan sebaik sampai mereka mengambil masa selama 18 minit untuk mengawal api daripada merebak ke bahagian lain.

Katanya, bomba turut menerima bantuan daripada lapan jentera pasukan bomba sukarela sekitar daerah berhampiran dengan kekuatan keseluruhan 87 anggota bertungkus lumus membantu memadam kebakaran.

“Tidak ada sebarang kemalangan jiwa dalam kejadian ini dan kita difahamkan semua 69 pelajar terbabit sudah dikumpul di satu bahagian lain untuk tindakan lanjut.

“Mengikut maklumat yang diperoleh asrama ini menempatkan seramai 71 pelajar namun ketika kejadian hanya 69 pelajar terbabit kerana dua lagi keluar.

“Punca kejadian masih disiasat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.