Empat ditahan curi gajet di Melaka – Bernama


Empat ditahan curi gajet di Melaka

5 Mac 2013

ALOR GAJAH – Polis berjaya menahan empat lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes mencuri barangan gajet di dua daerah di Melaka.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata kesemua lelaki berusia antara 26 hingga 39 tahun itu ditahan di kawasan Bachang dan Bemban di sini pada 20 dan 22 Feb lepas.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kumpulan terbabit terlibat dalam 17 kes pecah rumah di daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah sejak enam bulan lepas.

“Polis turut merampas 13 buah telefon bimbit, lima komputer riba, dua kamera, satu pemain cakera padat dan satu cakera keras mudah alih,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.

Dalam kes lain, Umar Ali Saifuddin berkata seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dipercayai baru berjinak-jinak dalam aktiviti pengedaran dadah sejak beberapa bulan lepas ditahan di sebuah kebun kelapa sawit di Jalan Machap di sini, semalam.

Beliau berkata remaja terbabit yang tidak lagi bersekolah ditahan bersama 27 paket berisi dadah disyaki jenis heroin dengan berat kira-kira 41.6 gram yang keseluruhannya bernilai RM2,700 pada pukul 2.15 petang ketika sedang menunggu pelanggannya di kebun berkenaan. – Bernama