Enam pelajar dakwa jadi mangsa ‘Abang Civic’ – Utusan


Enam pelajar dakwa jadi mangsa ‘Abang Civic’

KUALA LUMPUR 6 Mac – Polis menerima enam laporan daripada pelajar lelaki mendakwa mereka diliwat seorang pengurus sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) yang ditahan polis baru-baru ini.

Satu daripada laporan tersebut sudahpun selesai disiasat dan suspek berusia 43 tahun dikenali sebagai ‘Abang Civic’ sudah didakwa atas tiga tuduhan berkaitan kes itu di Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, lima lagi laporan dibuat oleh pelajar lain yang menjadi mangsa masih dalam siasatan.

“Kita masih menunggu laporan perubatan yang dijalankan ke atas mangsa bagi mengenal pasti dakwaan mereka diliwat oleh suspek mempunyai bukti kukuh.

“Keputusan sama ada suspek akan didakwa bagi kes-kes lain yang dikaitkan dengannya bergantung kepada keputusan ujian perubatan nanti,” katanya dalam sidang akhbar di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau mengulas perkembangan siasatan kes ‘Abang Civic’ yang ditahan setelah dipercayai meliwat empat pelajar lelaki berusia 13 tahun dari sebuah sekolah menengah di Brickfields di sini baru-baru ini.

Suspek dihadapkan ke mahkamah atas tiga pertuduhan melakukan seks oral dan meliwat kanak-kanak lelaki bawah umur berusia 14 tahun 10 bulan.

Lelaki berkenaan bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan.

Dalam perkembangan lain, Chin Wah mengesahkan perniagaan dadah adalah punca seorang lelaki dibunuh di tingkat 23, Kondominium Pearl Point di Jalan Klang Lama di sini pada 22 Februari lalu.

“Kita juga percaya kenderaan digunakan suspek iaitu dua individu dari Asia Barat dalam kejadian pembunuhan itu telah dilarikan dan ditinggalkan di tepi jalan.

“Kenderaan tersebut bagaimanapun sudah hilang dipercayai sudah dijual kepada pihak ketiga. Polis sedang berusaha mengesan dua suspek dan kereta tersebut,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130307/je_06/Enam-pelajar-dakwa-jadi-mangsa-Abang-Civic#ixzz2MrqNVEGE
© Utusan Melayu (M) Bhd