2 beradik ditemui lemas di Taman Endau Rompin – Bernama


2 beradik ditemui lemas di Taman Endau Rompin

17 November 2012

KUANTAN  –  Dua beranak yang dilaporkan hilang ketika mandi di kawasan Taman Negeri Endau Rompin semalam ditemui kira-kira dua meter daripada lokasi kejadian pagi ini.

Mayat Mohd Hanafi Zainuddin, 15, ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat pada 8.53 pagi sementara  mayat ibunya, Rosnani Nordin, 31, ditemui pasukan selam skuba pada 10.31 pagi tadi.

Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Muadzam Shah, kata Pegawai Perhubungan Awam Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan.

Dalam satu lagi kejadian di Nenasi, Pekan, mayat seorang daripada dua bersaudara yang hilang ketika mencari siput di Sungai Badong, Nenasi petang semalam turut ditemui.

Mayat Mohamad Syafiruddin Hussin, 14, dari Bandar Seri Bandi, Kemaman ditemui tenggelam kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.

Mangsa bersama saudaranya, Mazura Ali, 14, dari Kampung Badong, Merchong dilaporkan hilang ketika mencari siput di Sungai Pahang berdekatan Nenasi.

Anggota Unit Skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dan Pekan masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat Mazura. – Bernama

Pemandu bas mengaku tidak bersalah rogol budak 13 tahun – Bernama


Pemandu bas mengaku tidak bersalah rogol budak 13 tahun

28 September 2012

KUANTAN – Seorang pemandu bas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan merogol seorang budak perempuan berusia 13 tahun pada Julai lalu.

Sauruddin Anuar Mohidin, 39, dari Endau, Rompin, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Bazilla, B 244, Jalan Bypass-Kuantan pada 9 pagi, 27 Julai lalu.

Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan jika  sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Amalina Zainal Mokhtar kemudian memohon wang jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Mohd Azhar membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin selepas tertuduh merayu agar jumlah itu dikurangkan dengan alasan empat anaknya masih bersekolah, isteri tidak bekerja dan  pendapatannya sebagai pemandu bas hanya RM1,000 sebulan.

Mohd Azhar menetapkan 29 September ini untuk sebutan semula kes. – Bernama