Remaja edar dadah ditahan – Sinar Harian


Remaja edar dadah ditahan

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 Oktober 2012
Remaja edar dadah ditahan
Baharom (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas.

PORT DICKSON – Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dipercayai pengedar dadah antara 16 suspek yang ditahan polis dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Port Dickson dan Seremban hujung minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Baharom Othman berkata, remaja yang sudah tidak bersekolah sejak setahun lalu itu ditahan bersama lelaki yang berasal dari Johor Bahru di sebuah rumah di kawasan taman perumahan Bandar Dataran Segar, Lukut pada 12.30 tengah malam, Jumaat lalu.

Menurutnya, daripada pemeriksaan yang dilakukan, polis menemui sejumlah wang tunai dan pelbagai jenis dadah iaitu 800 biji pil eramin 5, 10 paket syabu, satu paket ketamin, satu paket ganja, beberapa biji pil estacy serta peralatan menghisap dadah.

“Hasil ujian saringan kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis syabu. Siasatan juga mendapati lelaki berusia 44 tahun yang bekerja sebagai penjaga kedai mesin judi itu mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya dan satu kesalahan jenayah.

“Kedua-dua mereka direman sehingga esok (hari ini) bagi membantu siasatan polis,” katanya kepada Sinar Harian ketika sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, semalam.

Baharom berkata, dalam serbuan kedua pula, tiga lelaki ditahan di kawasan tempat letak kereta di sebuah hotel di Port Dickson pada jam 7 malam, hari sama.

Katanya, setelah pemeriksaan, polis menjumpai tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja seberat 500 gram.

“Ketiga-tiga suspek yang merupakan pelajar sebuah kolej, jurujual dan penganggur itu berusia antara 20 hingga 26 tahun berasal dari Selangor.

“Hasil pemeriksaan ujian air kencing, salah seorang daripada mereka didapati positif dadah jenis ganja dan memiliki rekod kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya. Mereka ditahan reman hingga esok (hari ini),” katanya.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dengan kerjasama anggota polis IPD Port Dickson.

Beliau berkata, manakala dalam serbuan ketiga pada Sabtu lalu, seorang lelaki yang disyaki pengedar dadah ditahan di hadapan sebuah rumah di kawasan perumahan Sendayan, Seremban pada jam 10.50 pagi.

“Hasil pemeriksaan, polis menjumpai 125 paket plastik berisi serbuk dadah jenis heroin dan syabu.

“Suspek yang berusia 50 tahun itu didapati mempunyai kesalahan lalu melibatkan enam kes di bawah Akta dadah berbahaya dan lapan rekod jenayah. Suspek akan direman sehingga Jumaat ini,” katanya.

Menurutnya, kawasan perumahan itu dipercayai menjadi ‘port’ penagih dadah bagi mendapatkan bekalan.

“Malah sepanjang operasi, polis berjaya menahan 10 penagih dadah yang mana mereka datang ke lokasi ini untuk mendapatkan bekalan tanpa menyedari ada serbuan.

“Mereka yang kesemuanya lelaki adalah penduduk di kawasan berhampiran berusia antara 23 hingga 35 tahun,” katanya.

Katanya, ketiga-tiga serbuan itu membabitkan jumlah keseluruhan rampasan pelbagai jenis dadah sebanyak RM35,600 tidak termasuk wang tunai berjumlah RM22,238.

“Kesemua 16 suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.