Rakan’ FB Ugut Siar Gambar Bogel Guru – mStar


Rakan’ FB Ugut Siar Gambar Bogel Guru

Oleh R.S.N. MURALI

MELAKA: Seorang guru pusat bimbingan kanak-kanak berusia 48 tahun kini berdepan ugutan selepas memberikan aksi bogelnya kepada seorang rakan Facebook yang baru dikenalinya selama sebulan.

Lelaki berkenaan yang dipercayai warga asing kini menuntut RM40,000 daripanya dan jika gagal, video bogel itu akan dimuat naik ke laman Facebook dan YouTube.

Guru berkenaan membuat laporan polis di Sungai Udang pada Isnin dan mendakwa lelaki itu menghubunginya menerusi panggilan video pada Ahad dan memintanya untuk menanggalkan pakaian dan sebagai balasan dia turut akan melakukan perkara yang sama.

Lelaki itu kemudiannya menghantar rakaman guru berkenaan dalam keadaan bogel dan memberinya masa selama dua hari bagi mengelakkan video itu disiarkan di Internet.

Bagaimanapun masalah itu tidak berakhir di situ kerana guru itu menggunakan komputer di pusat bimbingan kanak-kanak milik kerajaan untuk beraksi lucah di hadapan rakan sibernya itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Belia dan Sukan Melaka, Datuk Gan Tian Loo berkata guru itu boleh dikenakan tindakan disiplin kerana menyalahgunakan kemudahan kerajaan.

Katanya walaupun bersimpati dengan masalah yang dihadapi oleh guru tersebut selepas diancam oleh teman lelaki barunya, namun tindakannya menggunakan kemudahan kerajaan untuk perkara-perkara peribadi adalah bertentangan dengan etika kerja.

“Bagaimana dia boleh menggunakan komputer di nurseri untuk merakam video bogel? Sebagai seorang guru, dia sepatutnya tahu lebih baik,” katanya pada Selasa.

Kementerian Pelajaran Siasat Dakwaan Guru Baca Khutbah Benci Kerajaan – Bernama


Kementerian Pelajaran Siasat Dakwaan Guru Baca Khutbah Benci Kerajaan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran sedang menyiasat dakwaan bahawa khatib jemputan yang menyelitkan doa agar kerajaan sedia ada digulingkan ketika membaca khutbah Jumaat di sebuah masjid di Pulau Pinang baru-baru ini ialah guru sebuah sekolah rendah.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata jika benar guru sebuah sekolah rendah di Penaga Pulau Pinang itu melakukan perbuatan itu, tindakan tatatertib akan dikenakan terhadapnya. “Kementerian ada maklumat tentang isu ini…malah sudah mengarahkan siasatan terperinci diadakan. Jika benar, perbuatan itu bertentangan dengan etika kerja lelaki itu sebagai seorang guru. “Jika benar kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap guru itu yang boleh membawa kepada penggantungan gaji, kerja atau dipecat,” kata Mohd Puad kepada pemberita di bangunan Parlimen di sini, Rabu.

Guru itu dikatakan berdoa supaya rakyat menolak pemimpin dan kerajaan yang ada ketika menyampaikan khutbah di Masjid Jamek Taman Guar Perahu, Kubang Semang, Pulau Pinang Jumaat lepas.

Difahamkan tindakan itu dilakukan kerana tidak berpuas hati dengan arahan pertukaran ke sebuah sekolah di Selangor yang diterimanya dua hari sebelum itu.

Mohd Puad berkata kementerian tidak menghalang guru untuk berpolitik asalkan mereka mendapat kebenaran terlebih dahulu, namun ia harus dibuat secara berhemah tanpa menjejaskan kedudukan pekerjaan masing-masing. “Janganlah gunakan masjid untuk menimbulkan suasana yang kurang senang kerana ia boleh memecah belahkan umat Islam. Bagi saya, dakwaan ini cukup serius dan perlu disiasat dengan teliti,” katanya. -BERNAMA