Nafi perkosa dekat hutan – Metro


Nafi perkosa dekat hutan

Oleh Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: Seorang buruh yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, mengaku tidak bersalah merogol gadis bawah umur berusia 14 tahun pada Februari tahun lalu.

Tertuduh, Suhaipudin Aziz, 25, dari Jalan Bunga Melor, Dungun mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan kerana merogol dibacakan di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris, tetapi mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Dia didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun di kawasan hutan Bukit Pak Samad Batu Tiong, Kuala Abang, Dungun, jam 6 petang pada 28 Februari tahun lalu. Bagi kesalahan itu, Suhaipudin berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

 

Wan Fadhilah Nor menetapkan 10 September depan sebagai tarikh sebutan semula dan membenarkan Suhaipudin diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud@Mamat manakala Suhaipudin tidak diwakili peguam.

Tauke ikan tidak mengaku bersalah rogol anak angkat – Sinar Harian


Tauke ikan tidak mengaku bersalah rogol anak angkat
WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Julai 2012
KUALA TERENGGANU – Seorang tauke ikan tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam atas pertuduhan merogol ‘anak angkat’nya yang berumur 16 tahun dalam kejadian di Jambu Bongkok, Merchang di Marang pada November tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Sabri Mohd Yanon@Mohamed, 50, yang berasal dari Jambu Bongkok, mengangguk faham ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala Mohd Sabri diwakili peguam, Nik Mohd Radhia Nik Abd Ghani.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang juga gadis bawah umur, di sebuah rumah di Jambu Bongkok, Marang antara jam 2.15 petang hingga 4 petang pada November tahun lalu.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan. Jika sabit kesala-han, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebat.

Hakim Wan Fadhilah Nor kemudiannya menetapkan 14 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan Mohd Sabri diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.