Belajar agama dalam ladang getah – Sinar Harian


Belajar agama dalam ladang getah

ERMA YUSNIDA JUSOH
3 Disember 2012
Belajar agama dalam ladang getah
Peserta program mendengar penerangan cara mencari arah kiblat menggunakan kompas oleh fasilitator.

KUANTAN – Mendalami Islam tidak terhad di dalam kelas sahaja malah alam semula jadi juga boleh menjadi faktor meningkatkan ilmu berkaitan.

Justeru, Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Perumahan Pasdec Damansara mengambil inisiatif mengadakan aktiviti merentas ladang getah sejauh 5.5 kilometer sambil belajar agama.

Antara pengisian aktiviti ialah  Celik Dhuha, Celik Kiblat dan Celik Wuduk melibatkan penyertaan 50 peserta dari pelbagai peringkat usia.

Pengarah program, Maria Alfah Mohd Abdullah Koi berkata, program kali kedua itu memberi peluang kepada peserta terutama kanak-kanak mempelajari kaedah bertayamum dan mengenal arah kiblat.

“Aktiviti ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta belajar Fardu Ain tetapi mengisi cuti persekolahan bersama keluarga,” katanya ketika ditemui selepas program itu, semalam.

Sebelum ini, katanya, aktiviti seumpama itu diadakan di Bukit Pelindung dan ternyata berjaya memberi pengalaman baru sekali gus bakal menjadi aktiviti wajib kepada penduduk di sini pada masa akan datang.

Sementara itu, peserta,  Khairiah Abdul Majid, 50, berkata, pertama kali menyertai aktiviti lasak itu mendedahkannya kepada pengalaman baru selain cara beriadah yang lebih bermanfaat.

Khairiah juga mengakui merentasi ladang getah sejauh 5.5 kilometer bersama keluarga adalah peluang terbaik bersama keluarga terutama ketika cuti sekolah.

“Selain dapat bersukan, pengisian program juga sangat meningkatkan ilmu mengenai kepentingan mengetahui arah kiblat dan mengambil wuduk ketika berada di hutan,” katanya.

Bagi peserta cilik, Muiz Safwan Mohd Azmie, 9, walaupun kali kedua menyertai program merentas hutan itu namun pengalaman yang diperoleh berbeza dari sebelum ini.

“Saya dapat menimba pengetahuan baru mengenai cara mengenal arah kiblat dan berwuduk di dalam hutan,” katanya.

Muiz juga akan berkongsi suka dukanya merentas ladang getah bersama rakan lain di sekolah.

21,610 murid khatam Al- Quran di Terengganu hari ini – Bernama


21,610 murid khatam Al- Quran di Terengganu hari ini

20 Oktober 2012
Ahmad Said
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said

KUALA TERENGGANU – Seramai 21,610 murid Tahun 2 hingga Tahun 5 di Terengganu berjaya mengkhatamkan al-Quran secara serentak dalam majlis berasingan yang diadakan di setiap daerah hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 6,383 murid melakukannya di Kuala Terengganu, 3,186 (Besut), 2,653 (Setiu), 2,551 (Marang), 2,555 (Dungun), 2,349 (Kemaman) dan 1,933 (Hulu Terengganu).

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kejayaan itu adalah bukti keberkesanan modul Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang diperkenalkan kerajaan dalam usaha meningkatkan syiar Islam.

Beliau berkata bagi Terengganu, sebanyak RM36 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan kelas Kafa dan sehingga ini, seramai 21,000 hingga 30,000 murid berjaya mengkhatam al-Quran setiap tahun.

“Penghayatan al-Quran perlu diterapkan seawal mungkin, malah semua murid di Tadika Yayasan Islam Terengganu mempunyai modul khas pintar al-Quran untuk mereka hayati sebelum melangkah masuk ke sekolah kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis itu di Stadium Tertutup Gong Badak di sini.- Bernama

Ketepi fahaman politik bantu sekolah agama rakyat – Bernama


Ketepi fahaman politik bantu sekolah agama rakyat

15 Oktober 2012
Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti pembangkang khususnya PAS perlu mengenepikan fahaman politik dalam usaha memartabatkan sekolah agama rakyat (SAR) serta menjaga kebajikan pelajarnya.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata usaha menjaga kebajikan SAR secara lestari dalam tempoh jangka panjang akan lebih mudah dilaksanakan jika PAS boleh membantu SAR berdaftar dengan kementerian.

“Daftar dengan Kementerian Pelajaran. Saya dah buka tawaran ini sejak dulu, lebih mudah untuk kita bantu bukan saja infrastruktur, kualiti guru, kurikulum yang diajar dan lain-lain bentuk bantuan. Kalau itu boleh dipersetujui untuk kebaikan pembelajaran dan pengajaran…maka daftarlah. Kita boleh bantu secara terancang.

“Saya kemuka cadangan itu supaya diterima oleh mereka tapi malangnya sebahagian besar anggap tak boleh, tak mahu bersama dengan kementerian kerana dia anggap kementerian ini BN punya. Ini bukan soal politik…kalau boleh buat, boleh kurang masalah,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 peringkat dasar bagi Kementerian Pelajaran di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata sungguhpun SAR tertakluk di bawah kawalan kerajaan negeri namun kerajaan persekutuan tetap menyalurkan bantuan kepada SAR termasuk sekolah-sekolah yang masih belum berdaftar dengan kementerian.

Katanya RM10.5 juta peruntukan perkapita disediakan bagi SAR yang menjalankan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada tahun ini.

Pada tahun lepas, RM95 juta disalurkan secara dibayar sekali sebagai bantuan ihsan kepada 247 SAR di seluruh negara.

“Saya sedar sekolah-sekolah ini masih memerlukan bantuan, justeru dengan jumlah peruntukan yang kita ada, mungkin bantuan ehsan ini boleh dipertimbangkan berdasarkan kepada kes demi kes melalui permohonan dari SAR yang benar-benar memaklumkannya,” kata Muhyiddin.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri menyangkal dakwaan pemberian peruntukan yang tidak adil kepada sekolah-sekolah di seluruh negara.

Jelasnya, semua sekolah di bawah bidang kuasa kementerian diberikan peruntukan yang saksama merangkumi emolumen, utiliti, Bantuan Geran Perkapita, bantuan kokurikulum, bantuan sukan dan lain-lain mengikut jumlah murid di setiap sekolah.

Katanya, pada tahun ini RM937 juta disediakan untuk pengoperasian sekolah (belanja mengurus) bagi 8,216 buah sekolah rendah dan menengah kebangsaan, RM87 juta untuk 1,294 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan RM19.2 juta bagi 523 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. – Bernama

Ibu maut, tiga anak parah kemalangan – Utusan


Ibu maut, tiga anak parah kemalangan

BESUT 16 Feb. – Seorang ibu maut manakala tiga anaknya yang membonceng sebuah motosikal cedera parah dalam kemalangan di Kampung Padang Landak dekat sini petang semalam.

Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, Norhaima Mamat, 44, dalam perjalanan pulang ke rumahnya setelah mengambil dua anaknya yang baru selesai menghadiri Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di sebuah sekolah berdekatan.

Mangsa sebelum itu membawa bersama anak bongsunya, Nik Mohamad Haries Haikal, 4, sementara menunggu dua lagi anaknya, Nik Mohamad Saifullah, 7, dan Nik Mohamad Hafizudin, 10.

Selepas selesai kelas Kafa kedua-duanya membonceng motosikal ibu mereka dan melintasi jalan melalui pembahagi jalan untuk pulang ke rumah.

Bagaimanapun sebuah kereta yang datang dari arah Pasir Puteh Kelantan yang dipandu oleh seorang jurujual berumur 31 tahun gagal mengelak daripada merempuh motosikal yang dinaiki empat beranak itu.

Norhaima yang cedera parah di bahagian kepala mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Besut untuk dibedah siasat.

Tiga anaknya dibawa oleh penduduk kampung ke hospital.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Kamarudin Mohd Zakaria ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian.

Kaji tambah pendapatan imam, guru – Utusan


Kaji tambah pendapatan imam, guru

KOTA BHARU 27 Jan. – Kerajaan sedang mengkaji untuk menaik taraf kemudahan dan pendapatan imam, guru kelas asas fardu ain (KAFA) serta guru takmir di seluruh negara sejajar dengan wawasan untuk mencapai negara maju pada 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perkara tersebut diberi perhatian serius bagi memastikan golongan agama itu tidak tercicir dalam arus kemajuan terutama untuk meningkatkan jumlah pendapatan.

“Saya bercakap mengenai pendapatan rakyat sebanyak RM4,000 pada 2020, ini bermakna pendapatan itu bukan hanya untuk kelompok tertentu tetapi bagi semua. Disebabkan itu, penambahbaikan untuk guru KAFA, takmir dan sebagainya sedang dijalankan.

“Kita mahu lihat dalam ruang yang lebih besar untuk ke depan, mungkin esok bergaji lebih besar (golongan agama), sekarang kita menempatkan imam lulusan universiti di masjid negeri dan daerah, mungkin suatu hari kita akan menempatkan lulusan universiti di masjid tempatan dengan mengambil kira imam sedia ada,” katanya di sini hari ini.