SK Tanjung Labian, SK Lok Buani, FELDA Sahabat dibuka Isnin – Bernama


SK Tanjung Labian, SK Lok Buani, FELDA Sahabat dibuka Isnin

2013/04/02 – 16:27:42 PMCetakEmel Kawan
LAHAD DATU: Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Labian dan SK Lok Buani, FELDA Sahabat, dekat sini yang ditutup hampir sebulan berikutan pencerobohan militan Sulu, akan dibuka semula untuk sesi persekolahan mulai Isnin.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud, berkata keputusan itu dibuat selepas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin memaklumkan bahawa keadaan dan tahap keselamatan di kawasan itu kembali pulih dan semakin baik.

Kementerian akan mengadakan pelbagai program khas untuk memastikan pelajar di kedua-dua sekolah itu tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka ekoran sekolah tersebut ditutup hampir sebulan, katanya kepada pemberita di sini hari ini. Kedua-dua sekolah itu mempunyai 30 guru dan 600 murid.

Beliau berkata, antara program yang akan dilaksanakan ialah kelas tambahan untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolan Rendah (UPSR) dan sesi kaunseling untuk guru yang trauma dengan insiden pencerobohan itu.

Pihaknya juga akan mengusahakan bantuan seperti pakaian sekolah, buku dan alat tulis untuk murid yang terjejas, katanya.

Abdul Ghafar berkata, pihaknya juga akan menilai jumlah kerosakkan harta benda sekolah, serta harta benda peribadi milik guru yang hilang di kuarters guru susulan daripada insiden pencerobohan itu.
“Guru-guru diminta senaraikan kerugian yang dialami untuk dinilai pejabat pelajaran daerah,” katanya yang turut mengucapkan tahniah kepada pasukan keselamatan atas kejayaan mereka mempertingkatkan keselamatan di kawasan itu.

– BERNAMA

Irene, Pelajar Cemerlang SPM SMK Desa Kencana Felda Sahabat Dapat 10 A – Bernama


Irene, Pelajar Cemerlang SPM SMK Desa Kencana Felda Sahabat Dapat 10 A

LAHAD DATU: Irene Scully Tawan, 17, pelajar Sek Men Keb Desa Kencana Felda Sahabat di sini memperoleh keputusan cemerlang 10A Sijil Pelajaran Malaysia dan terpaksa meraikannya ketika tinggal sementara di Masjid Rahman Kembara Sakti, di sini.

Dia bersama ibu bapa dan dua adik lelakinya meninggalkan rumah mereka semalam atas faktor keselamatan berikutan ancaman pengganas militan dari selatan Filipina dan tinggal sementara di masjid tersebut, 3km dari rumahnya.

Irene yang bercita-cita menjadi doktor hanya dapat mengambil keputusan SPM di sekolahnya pagi tadi dengan ditemani oleh ibu bapanya.Menurut beliau, gurunya telah memaklumkan kepadanya mengenai keputusan itu semalam tetapi beliau hanya dapat mengambilnya pagi Jumaat.

Mengenai rahsia kejayaannya itu, Irene ketika ditemui di masjid tersebut berkata sikapnya yang suka bersaing antara faktor utama mendorong kejayaannya. –BERNAMA

Murid tiga sekolah di zon merah dibenar hadir mana-mana sekolah – Bernama


Murid tiga sekolah di zon merah dibenar hadir mana-mana sekolah

2013/03/14 – 14:38:09 PMCetakEmel Kawan
LAHAD DATU: Pelajar dari tiga sekolah di FELDA Sahabat yang masih ditutup untuk Operasi Daulat dibenar menghadirkan diri di mana-mana sekolah untuk meneruskan pelajaran, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong.

Katanya, beliau sudah dimaklumkan Pengarah Pelajaran Sabah, Jame Alip bahawa arahan sudah dikeluarkan semalam kepada semua sekolah lain supaya menerima murid-murid yang terjejas, berkuatkuasa serta-merta.

“Dalam hal ini, Pengarah Pelajaran Negeri mempunyai kuasa untuk memberi arahan seperti ini.

“Ini bagi memastikan pelajaran dan pengajaran tidak terjejas berikutan insiden pencerobohan pengganas Sulu di kawasan merah,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Siew Ching di sini, hari ini.

Tiga sekolah yang berada dalam zon merah ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Labian yang mempunyai 18 guru dan 265 murid, SK Lok Buani (13 guru, 127 murid) dan SK Fajar Harapan (40 guru, 605 murid).

Beliau berkata, penerimaan murid-murid di mana-mana sekolah untuk sementara waktu sepatutnya tidak menjadi masalah memandangkan masing-masing mempunyai sukatan pelajaran yang sama.

Mengenai murid-murid di pusat pemindahan sementara pula, Wee berkata Jabatan Pelajaran Negeri menerusi Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) akan mewujudkan kelas sementara bagi memastikan murid-murid terbabit tidak terus ketinggalan dalam pelajaran jika Operasi Daulat berlarutan.
Beliau juga berkata, Jabatan Pelajaran Negeri akan mendapatkan khidmat pakar psikiatri bagi memberi kaunseling kepada guru-guru yang trauma atau tertekan dengan insiden pencerobohan itu sehingga tidak hadir ke sekolah.

“Kita mendapat tahu ada guru yang balik ke Sarawak atau ke Semenanjung kerana insiden ini dan kita telah minta kepada sekolah masing-masing untuk mengesan guru-guru terbabit untuk diberi kaunseling jika menghadapi trauma berikutan insiden itu,” katanya.

Dalam pada itu, Wee berkata kehadiran murid di 50 sekolah di Lahad Datu, tidak termasuk tiga sekolah yang masih tutup, beransur pulih dengan purata kehadiran sebanyak 80 peratus sejak Isnin lalu.

Beliau juga berkata, ibu bapa dan penjaga tidak perlu bimbang mengenai keselamatan anak-anak mereka di sekolah kerana anggota keselamatan sentiasa memantau keselamatan di kawasan awam, termasuk di kawasan sekolah.

– BERNAMA

Kelas sementara bagi Zon Merah – Metro


Kelas sementara bagi Zon Merah

 0  0 Google +0  0  0

Lahad Datu: Kementerian Pelajaran mungkin mewujudkan kelas pembelajaran sementara untuk murid tiga sekolah dalam Zon Merah di FELDA Sahabat yang masih ditutup jika operasi membanteras pengganas di kawasan itu berlarutan.

Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Lahad Datu, Jummiah Tee berkata, ia bagi memastikan 997 murid di ketiga-tiga sekolah berkenaan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Labian, SK Lok Buani dan SK Fajar Harapan tidak keciciran dalam pelajaran akibat Op Daulat dilancarkan pihak keselamatan.
“Pihak kami akan membincangkan perkara ini dengan Jabatan Pelajaran negeri dalam masa terdekat bagi menentukan sama ada ia perlu dilaksanakan atau sebaliknya.

 

“Buat masa ini tiga sekolah terbabit masih ditutup kerana belum ada kebenaran daripada pasukan keselamatan. Jika polis kata ia (Op Daulat) berpanjangan, barulah kita mengambil tindakan untuk membuka kelas sementara,” katanya di sini, semalam.
Jummiah berkata, keputusan itu bergantung kepada laporan keselamatan daripada pihak polis yang memantau keadaan di ketiga-tiga sekolah berkenaan.
Sehingga semalam, hanya tiga daripada 43 sekolah rendah sekitar daerah ini masih ditutup manakala semua 10 sekolah menengah termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Kencana di FELDA Sahabat 16 dibuka seperti biasa.

 

Sementara itu, Ketua Polis Lahad Datu Superintendan Shamsudin Mat memberi jaminan tahap keselamatan di semua sekolah di daerah ini terkawal dan tiada sebab bagi ibu bapa berasa bimbang untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Kanak-kanak perempuan rentung, rumah kongsi terbakar – Utusan


Kanak-kanak perempuan rentung, rumah kongsi terbakar

LAHAD DATU 14 April – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun rentung manakala seorang lelaki melecur di badan apabila rumah kongsi yang mereka diami terbakar di Ladang Felda Sahabat 50, Tungku di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Mohd. Apandi Mahmood berkata, mangsa, Mariani Baso dipercayai gagal menyelamatkan diri selepas terhidu asap tebal dalam kejadian pukul 9.30 malam itu.

“Selepas api dipadamkan, pasukan kami menemui mayat kanak-kanak perempuan terbabit dalam timbunan kayu yang terbakar di pintu pertama rumah kongsi tersebut.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kejadian itu turut menyebabkan seorang lelaki mengalami kecederaan akibat melecur di bahagian badan.