Kesal guru diwajib hadir – Sinar Harian


Kesal guru diwajib hadir

HAMIZAH BASIR
15 April 2013
Kesal guru diwajib hadir
Kok Seong menunjukkan surat daripada Jabatan Pelajaran yang mengarahkan guru-guru SJKC di negeri ini hadir perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri di Johor Bahru, Selasa ini.

SEREMBAN – Ketua Pemuda DAP, Teo Kok Seong kesal berikutan hampir 400 guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negeri ini diwajibkan menghadiri perjumpaan khas dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, di Johor Bahru pada Selasa ini.

Menurutnya, beliau menerima aduan daripada beberapa guru yang memaklumkan mereka ‘diwajibkan’ hadir pada perjumpaan khas itu di SJKC Foon Yew 1, Johor Bahru.

“Selepas parlimen bubar, kerajaan sekarang adalah kerajaan sementara sahaja tetapi mengapa Muhyiddin sanggup mewajibkan guru-guru turun Johor Bahru yang amat jauh untuk bertemunya.

“Cuba bayangkan bukan guru-guru di Negeri Sembilan sahaja diwajibkan hadir, saya menjangkakan seramai 4,000 guru di seluruh negara dijemput hadir perjumpaan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, beliau khuatir perjumpaan tersebut akan menjejaskan pembelajaran murid-murid berikutan waktu persekolahan.

“Hari tersebut merupakan hari bekerja dan ia akan menjejaskan pelajaran murid-murid sekolah apabila guru diminta menghadiri perjumpaan tersebut.

“Barisan Nasional (BN) tidak sepatutnya menggunakan Jabatan Pelajaran untuk memaksa guru-guru hadir perjumpaan tersebut yang sebenarnya hanyalah ceramah BN sahaja.

“Jabatan Pelajaran telah dijadikan alat untuk BN berkempen. Saya amat tidak bersetuju dengan tindakan BN memperalatkan Jabatan Pelajaran,” katanya.

Kok Seong berkata, pihaknya berharap Timbalan Perdana Menteri dapat memberi penjelasan secara terbuka tujuan apa perjumpaan itu dilakukan.

“Saya melihat perjumpaan ini adalah untuk BN berkempen menarik undi golongan guru-guru pada Pilihan Raya Umum ke -13 (PRU13),” katanya.

Adi rayu bantuan jalani rawatan – Kosmo


Adi rayu bantuan jalani rawatan

 

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID

 

MUNAILA (kiri) bersama suaminya, Benny kini terpaksa menjaga Muhammad Adi seperti seorang bayi di rumah mereka di PPR Flat Sri Stulang, Johor Bahru semalam.

 

JOHOR BAHRU – Dua tahun lalu, Muhammad Adi Alfam Benny, 14, merupakan kanak-kanak yang paling riang tatkala menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Bapanya, Benny Karmilan, 36, berkata, anak ketiga daripada empat beradik yang manja dipanggil Adi itu akan bersama rakan-rakannya beraya dari rumah ke rumah.

Bekas pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew 2 itu juga, ujarnya, merupakan pelajar yang aktif dalam sukan renang dan merupakan ketua pengakap sekolah.

Namun, keletah dan kegirangan itu lenyap sama sekali ketika Adi berusia 12 tahun apabila dia disahkan menghidap penyakit jarang ditemui di Malaysia, Subacute Sclerosing Panencephalitis (SSPE) iaitu sejenis penyakit yang menyerang susunan saraf pada otak.

“Kini dia tidak seperti dulu lagi kerana kesan daripada penyakit itu, doktor memberitahu, Adi kembali menjadi seperti bayi berusia tiga bulan yang perlu diberi makan, dipakaikan lampin dan dimandikan,” kata Benny yang ditemui di rumahnya di sini.

Mengimbau kembali bagaimana anaknya yang fasih bertutur bahasa Cina itu mendapat penyakit itu, beliau memberitahu, Adi sebelum itu seringkali terjatuh ketika berjalan.

Malah katanya, ketika di meja makan, muka anaknya itu sering tersembam di atas pinggan.

“Mula-mula saya tidak ambil berat tetapi pada satu hari, Adi seolah-olah terkena sawan sehingga terpaksa dirawat di sebuah hospital kerajaan di sini.

“Dua hari selepas itu, Adi tak boleh berjalan, terlantar atas katil sebelum dia dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur,” katanya sambil memberitahu, doktor yang merawat anaknya mengatakan Adi boleh bertahan hidup selama dua tahun sahaja.

Bagaimanapun, hasil bantuan seorang dermawan di ibu kota yang simpati dengan nasib keluarga itu, Adi kemudian dirujuk kepada seorang pakar di Klinik Hamid Arshad, Kuala Lumpur bagi mengikuti rawatan sel stem.

Ikuti berita selanjutnya di akhbar Kosmo!