GPMS sokong pelan pembangunan pendidikan – Sinar Harian


GPMS sokong pelan pembangunan pendidikan
WARTAWAN SINAR HARIAN
8 September 2013
  • GPMSGPMS
< 1 / 1 >

KUANTAN – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang menyokong penuh pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Datuk Seri Muhyiddin Yassin, kelmarin.

Pengerusinya, Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, pelan pendidikan yang komprehensif dan inklusif ke arah pembinaan masyarakat Malaysia yang maju  dilihat mampu melonjakkan tahap pendidikan negara.

Menurutnya, pengambilan guru dalam kalangan 30 peratus graduan terbaik membuktikan komitmen kerajaan memartabatkan profesion perguruan negara.

“Malah kepimpinan berprestasi tinggi yang ditempatkan di sekolah juga mampu merealisasikan proses transformasi pendidikan ke arah lebih berkualiti.

“Pelan pendidikan yang menyeluruh ke arah memastikan Malaysia terus kompetitif dan dinamik seiring arus perubahan global dalam masa sama menolak fahaman sempit cauvinis yang terus mempertikaikan keberkesanan program,” katanya.

Katanya, melalui garapan idea dan penghasilan pelan dari kajian pelbagai sumber dilihat mampu menaikkan imej pendidikan negara di peringkat antarabangsa.

Pantau sekolah berat sebelah – Sinar Harian


Pantau sekolah berat sebelah

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Februari 2013

ALOR KEDAH – Kementerian Pelajaran diharapkan mengambil tindakan sewajarnya berhubung dakwaan segelintir pihak mengenai sekolah di bandaraya ini yang dikatakan mengamalkan sikap berat sebelah terhadap pelajarnya.

Difahamkan sesetengah sekolah di sini hanya memilih guru dan kursus terbaik untuk diberikan kepada kelas terbaik, manakala kelas yang dipercayai kurang baik tidak mendapat perhatian sepatutnya.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Shamsul Bahar Abd Rani berkata, jika benar sesetengah sekolah mengamalkan konsep dan berdepan dengan sindrom ini maka satu tindakan harus diambil bagi menanganinya kerana ia merupakan perkembangan tidak sihat.

“Golongan pelajar harus menerima layanan adil dari segi pendidikan, malah tahap kebijaksanaan mereka tidak seharusnya dibeza-bezakan oleh mana-mana pihak. Seharusnya, seseorang pelajar yang lemah dalam pelajaran perlu mendapat bimbingan dari guru cemerlang dan perhatian yang lebih berbanding pelajar pintar.

“Jadi, jika isu berat sebelah ini timbul maka perkara ini berbalik semula pada tanggungjawab yang dimainkan guru, ibu bapa dan masyarakat dalam membangunkan pendidikan anak bangsa,” katanya mengulas laporan interaktif Sinar Harian, 9 Januari lalu.

Shamsul Bahar berkata, GPMS menyarankan pihak sekolah mengambil berat mengenai masalah ditanggung pelajar yang dikategorikan kurang baik ataupun bermasalah ini dan tidak seharusnya terus menjatuhkan hukuman terhadap mereka.

Menurutnya, jika pelajar lemah ini diberikan peluang dengan bimbingan dan kaunseling dari pihak berkaitan mengenai isu-isu tertentu, maka ia akan membantu mereka meningkatkan kebolehan diri sendiri.

“Penempatan guru bagi sesuatu kelas tidak boleh dilakukan secara diskriminasi, malah pihak berkaitan tidak seharusnya meletakkan kategori tertentu untuk pelajar tertentu sahaja kerana tindakan ini tidak wajar demi masa depan pelajar berkenaan,” katanya.

Katanya, masalah yang timbul bukanlah hanya terletak pada ibu bapa sahaja sebaliknya pihak lain termasuk masyarakat, guru, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ataupun persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) perlu mengambil berat dan peka mengenai isu ini terutamanya apabila bidang pendidikan dibangkitkan.

“Kita perlu wujudkan budaya mengambil tahu dengan memberi perhatian lebih tidak kira di dalam ataupun luar kelas kerana jika betul konsep ini diamalkan sesetengah sekolah, sememangnya ia akan menyebabkan sesuatu masalah berlaku,” katanya.

Bantah pelajar bawa telefon bimbit ke sekolah – Sinar Harian


Bantah pelajar bawa telefon bimbit ke sekolah
WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Julai 2012

Shamsul Bahar
ALOR SETAR – Cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah perlu dikaji semula kerana dibimbangi akan mengundang kepada masalah sosial yang lebih serius.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Shamsul Bahar Abd Rani berkata, kaedah terbaik perlu dicari untuk memastikan keselamatan pelajar terjamin sewaktu berada di sekolah.

“Membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah bukanlah satu jalan penyelesaian terbaik yang boleh menjamin keselamatan .

“Sebaliknya, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu pada, guru dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh memainkan peranan masing-masing berhubung isu ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Kubur Panjang, Shaharol Niza Omar berkata, walaupun tanpa telefon bimbit dan gajet seperti iPad, masalah disiplin pelajar adalah tidak terkawal pada masa kini, apatah lagi jika cadangan itu dibenarkan.

Menurutnya, adalah sesuatu yang memeranjatkan apabila Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, mengumumkan bahawa pelajar sekolah dibenarkan membawa telefon bimbit dan gajet ke sekolah.

“Kita tidak menafikan bahawa telefon bimbit adalah keperluan tetapi di kalangan pelajar tetapi penggunaannya pada tahap minima.

“Sekiranya masalah menghubungi keluarga dijadikan alasan sewaktu kecemasan, ia tidak logik kerana masih ada pilihan telefon awam atau telefon sekolah,” katanya.

Shaharol Niza berkata, terdapat beberapa perkara yang membimbangkan antaranya dikhuatiri boleh menjejaskan tumpuan pelajar sewaktu dalam kelas dan masa senggang untuk mengulang kaji pelajaran akan digunakan untuk ‘bersosial’ bersama rakan menerusi telefon bimbit.

“Malah, kecanggihan teknologi juga dibimbangi akan membolehkan pelajar mengakses laman yang tidak sewajarnya, jika tiada pemantauan rapi dibuat.

“Beberapa lagi kemungkinan yang timbul ialah berlaku peningkatan kes kecurian di sekolah, sikap menunjuk-nunjuk dan berlumba memiliki telefon bimbit paling canggih, selain membebankan ibu bapa dan waris,” katanya.

Menurutnya, kementerian seharusnya bersikap realistik sebelum memutuskan cadangan itu kerana kewujudan makmal komputer dengan pemantauan guru sudah memadai .