Keselamatan pelajar sekolah: Jangan ambil mudah – Sinar Harian


Keselamatan pelajar sekolah: Jangan ambil mudah

NORFARAHAH OTHMAN
13 Januari 2013
bas sekolah
Selain menggunakan perkhidmatan bas, ibu bapa juga kini lebih suka menghantar dan menjemput anak mereka sendiri dari sekolah.

BENTONG – Bas sekolah merupakan salah satu dari pengangkutan yang digunakan murid dan pelajar sekolah sejak dahulu hingga kini.

Ia merupakan salah satu pilihan alternatif selain dihantar ahli keluarga atau menaiki kenderaan sendiri. Namun begitu, sejak kebelakangan ini bas sekolah seakan menjadi pilihan terakhir para ibu bapa berdasarkan pelbagai faktor.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Pahang Barat, K Vijayakumar berkata, jumlah pelajar yang menggunakan bas sekolah saban tahun merosot.

Menurutnya, jika dahulu kebergantungan terhadap penggunaan bas sekolah adalah tinggi namun kini tidak lagi.

“Selain menaiki kenderaan sendiri atau dihantar ibu bapa sendiri, ada juga yang membuat pilihan membenarkan anak mereka menaiki van sekolah haram.

“Ia menyebabkan kemerosotan jumlah murid atau pelajar menaiki bas sekolah,” katanya kepada Sinar Harian.

Soal keselamatan penting

Vijayakumar berkata, pihaknya berkata ibu bapa seharusnya mengambil berat soal keselamatan anak-anak ke sekolah.

Menurutnya, sekiranya ibu bapa ‘melepaskan’ anak-anak mereka menaiki van sekolah haram, soal keselamatan tiada jaminan.

“Jika menaiki bas sekolah, murid atau pelajar dilindungi insurans sekiranya apa-apa terjadi terutama kemalangan.

“Tetapi jika mereka menaiki van haram, sudah pasti tiada perlindungan diperoleh,” katanya.

Vijayakumar berkata, pihaknya terkilan dengan sikap sesetengah ibu bapa yang tidak mahu menggunakan perkhidmatan bas sekolah yang disediakan.

Menurutnya, sikap sebegini secara tidak langsung menjejaskan mata pencarian pemandu bas sekolah yang sememangnya menjadikan pekerjaan mengambil pelajar pergi dan balik sekolah sebagai punca pendapatan.

Jangan gadai nyawa anak-anak

Vijayakumar berkata, ibu bapa tidak seharusnya menggadaikan nyawa anak-anak dengan membenarkan mereka menaiki van sekolah haram.

Menurutnya, walaupun bayaran bulanan yang ditawarkan van sekolah haram murah sedikit berbanding bas sekolah namun ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk membahayakan nyawa anak-anak.

“Dari segi tambang bas sekolah, setakat ini masih belum ada cadangan untuk menaikkannya.

“Bagi jarak 12 kilometer pergi dan balik dari sekolah hanya RM30 sahaja, katanya.

Vijayakumar berkata, pihaknya mahu ibu bapa memikirkan keselamatan anak-anak mereka dengan mengambil berat soal pengangkutan yang digunakan ke sekolah dan meyakini perkhidmatan bas sekolah yang sudah tersedia sejak sekian lama.

Abang gadai nyawa selamat adik tidur – Metro


Abang gadai nyawa selamat adik tidur

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KLUANG: “Ketika itu api semakin marak dan suhu di dalam bilik pula umpama ketuhar. Pada masa sama, asap memenuhi bilik dan berpandukan suara adik yang menangis, saya terus merangkak sebelum mencapai dan membawanya keluar dari rumah yang sedang terbakar itu,” kata Mohd Shukri Azman, 17, ketika ditemui selepas kediamannya hangus dijilat api di Taman Sri Lambak di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.40 petang itu, Shukri berada di luar rumah bersama adiknya, Aina Salamah, 5, sebelum mendapati bumbung rumah teres satu tingkat itu terbakar.
Pada masa sama, adik bongsu Shukri, Adam Firman Shah, 3, sedang tidur dalam sebuah bilik menyebabkan remaja berkenaan bergegas masuk untuk menyelamatkan adiknya.

 

“Ketika api marak, saya membawa Aina ke tempat selamat. Tanpa berfikir panjang, saya bergegas ke bilik Firman untuk menyelamatkannya.
“Saya gagal melihat dengan jelas kerana bilik dipenuhi asap manakala suhu semakin panas, syukur kerana akhirnya saya berjaya menyelamatkan Firman,” katanya.
Akibat kejadian itu, kulit Firman bertukar kemerah-merahan dan dibawa ke Hospital Kluang oleh jiran untuk rawatan dan pemeriksaan doktor mendapati keadaannya tidak membimbangkan. Bapa mereka, Azman Aziz, 50, berkata, walaupun rumahnya hampir hangus, dia tetap bersyukur kerana ketiga-tiga anaknya selamat.

 

 

“Ketika kejadian, saya dan isteri, Siti Noraina Md Jani, 28, menguruskan perniagaan makanan di kedai terletak kira-kira satu kilometer dari rumah,” katanya.