Empat remaja mengaku salah rogol dan cabul gadis bawah umur – Berita Harian


Empat remaja mengaku salah rogol dan cabul gadis bawah umur

2013/09/26 – 12:57:00 PMCetakEmel Kawan
Johor Bahru: Empat remaja termasuk seorang pesalah juvana mengaku bersalah atas kesalahan merogol dan mencabul gadis bawah umur di Mahkamah Sesyen, di sini semalam.

Semua tertuduh yang berusia antara 16 hingga 19 tahun mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hassan Abdul Ghani.

Pemandu lori bebas tuduhan rogol gadis bawah umur – Bernama


Pemandu lori bebas tuduhan rogol gadis bawah umur
17 April 2013

PUTRAJAYA – Seorang pemandu lori dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini daripada tuduhan merogol seorang gadis bawah umur.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Abdul Malik Ishak berkata sabitan terhadap Shuid Desa dan hukuman penjara lapan tahun serta empat sebatan rotan oleh Mahkamah Sesyen adalah tidak selamat.

“Oleh itu, sabitan itu diketepikan dan perayu (Shuid) dibebaskan,” katanya.

Hakim Abdul Malik berkata pertuduhan terhadap Shuid adalah cacat dan prejudis terhadapnya (Shuid).

Beliau berkata tidak ada bukti bebas yang jelas yang menunjukkan Shuid merogol gadis itu, yang ketika itu berumur 14 tahun empat bulan.

Hakim Abdul Malik berkata terdapat keraguan sama ada perbuatan itu dilakukan

Shuid atau orang lain berdasarkan keterangan doktor perubatan pakar yang memeriksa gadis itu.

Shuid, 42, yang diwakili oleh peguam G.Ravi Shankar dan Rahamathullah Baharudeen, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap gadis berkenaan di sebuah motel di Gurun, Kedah pada pukul 10 pagi pada 8 Sept, 2009.

Pada 16 Mac, 2011, Mahkamah Sesyen Sungai Petani mendapati Shuid bersalah atas tuduhan itu dan menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan.

Pada 4 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Mahkamah Sesyen.

Dalam hujahnya, Ravi Shankar berkata keterangan doktor tidak selaras dengan kejadian rogol.

Beliau berkata doktor memeriksa gadis itu pada 10 Sept, iaitu 48 jam selepas dakwaan kejadian di motel, bagaimanapun, beliau (doktor) menyatakan perbuatan berlaku dalam tempoh 72 jam.

Fakta-fakta kes mendedahkan bahawa Shuid dan gadis itu telah ditangkap oleh pegawai kerajaan tempatan yang memeriksa motel semasa bulan puasa ketika itu.

Kedua-duanya diserahkan kepada pegawai jabatan agama kerana didakwa melakukan khalwat yang kemudiannya menghubungi kakak gadis itu yang kemudian membuat laporan polis kerana mensyaki kejadian rogol. – Bernama

 

Dua rakan didakwa rogol – Sinar Harian


Dua rakan didakwa rogol

RUBIAH OMAR
28 November 2012
Rogol
Kedua-dua tertuduh dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan merogol gadis bawah umur.

KUALA TERENGGANU – Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas dakwaan merogol gadis bawah umur, 17 November lalu.

Tertuduh pertama, Mohd Latif Mat Ali, 20, dari Kampung Tajin, Kuala Berang, Hulu Terengganu, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di ladang sawit, Kampung Paya Akob, Kuala Berang, Hulu Terengganu, kira-kira jam 8.30 malam.

Dia mengaku bersalah di bawah Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima atau atau tidak lebih 30 tahun dan sebatan.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menetapkan 11 Disember depan sebagai tarikh jatuh hukum yang akan disebut semula di Mahkamah Sesyen, di sini.

Rozianti turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, rakannya yang masih di bawah umur turut mengaku bersalah melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan 31 Disember depan ditetapkan untuk laporan akhlak tertuduh yang dikategorikan sebagai pesalah juvana sebelum hukuman dijatuhkan di Mahkamah Sesyen, di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana R.Azmi, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian itu, seorang gadis berusia 15 tahun sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada rakannya meminta tolong selepas dirogol dua lelaki yang baru dikenali di dalam ladang kelapa sawit.

Melalui SMS itulah, dia berjaya diselamatkan anggota polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Hulu Terengganu daripada terus menjadi mangsa nafsu serakah dua sekawan itu apabila mereka cuba mengulangi perbuatan terkutuk itu sekali lagi dengan membawa mangsa ke rumah sewa milik seorang daripada mereka.

Rogol bawah umur kena 30 tahun – Berita Harian


Rogol bawah umur kena 30 tahun

2012/11/25 – 06:36:33 AM Oleh Nurhayati AbllahCetakEmel Kawan
Padang Rengas: Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK) akan dipinda bagi mengenakan hukuman penjara mandatori sehingga 30 tahun ke atas perogol gadis bawah umur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata pindaan itu dicadangkan supaya mereka yang didapati bersalah merogol gadis bawah umur dan dijatuhi hukuman penjara mandatori, tidak boleh merujuk seksyen lain bagi meringankan hukuman.

Katanya pindaan seksyen berkenaan akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.

Saya telah minta kepada Peguam Negara dan dengan persetujuan beliau dan nasihatnya, kita nak pinda Seksyen 376 KK supaya tidak diberikan budi bicara kepada hakim untuk memberikan hukuman yang ringan kepada pesalah.

Pesalah rogol yang melakukan perbuatan itu terhadap gadis berusia bawah umur 16 tahun mesti dikenakan hukuman sedia ada iaitu tidak kurang tiga tahun penjara atau tidak lebih 30 tahun serta sebatan, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama Kepemimpinan Berkesan di pejabat Perkumpulan Wanita Padang Rengas, di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai langkah kerajaan sebelum ini meminda Seksyen 376 KK kerana perangkaan rogol statutori (jenayah persetubuhan membabitkan individu bawah umur dengan kerelaan) mencatatkan hampir 6,000 kes bagi tempoh 2007 hingga 2012.

Mahkamah: Bomoh warga Indonesia didakwa rogol gadis 14 tahun – Bernama


Mahkamah: Bomoh warga Indonesia didakwa rogol gadis 14 tahun

16 November 2012

KUALA LUMPUR – Seorang bomoh warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur, minggu lepas.

Parjono, 33, didakwa merogol remaja berusia 14 tahun itu di sebuah bilik bernombor 48, Jalan 16/10, Taman Koperasi Polis, Fasa 1, Sentul di sini di antara 9 malam, 7 Nov hingga 5.30 pagi, 8 Nov.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 375 (g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin memohon kepada mahkamah agar tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin atas alasan Parjono merupakan warga asing.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat membenarkan permohonan itu dan menetapkan 17 Disember ini untuk sebutan semula kes.- Bernama

Hukuman rogol perlu budi bicara – Utusan


Hukuman rogol perlu budi bicara

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 16 Okt. – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi menegaskan, keputusan hukuman ke atas kesalahan rogol statutori atau mengadakan hubungan seks dengan gadis bawah 16 tahun perlu dikekalkan kepada budi bicara mahkamah dan hakim yang mengadili kes itu.

Beliau tidak bersetuju dengan gesaan beberapa pihak yang mahukan kerajaan meminda undang-undang menetapkan hukuman penjara mandatori ke atas pesalah yang mengadakan hubungan seks dengan gadis bawah umur.

Ini kerana katanya, dalam kebanyakan kes, kesalahan tidak hanya terletak kepada lelaki tetapi gadis bawah umur itu sendiri yang bersetuju untuk mengadakan hubungan seks terlarang.

Dalam sesetengah kes lain pula, kata beliau, ada juga gadis bawah umur yang melakukan sumbang mahram dengan mengajak adik lelakinya mengadakan hubungan seks dan dua keadaan tersebut membuktikan tiada hukuman tetap yang boleh dilaksanakan ke atas kes rogol statutori.

“Jika lelaki tua yang melakukan hubungan seks dengan gadis bawah umur, saya amat setuju dikenakan hukuman tertinggi iaitu penjara dan sebatan, tiada persoalan di situ.

“Tetapi jika kes hubungan seks terlarang melibatkan seorang remaja lelaki 15 tahun dengan remaja perempuan 15 tahun, adakah anda mengatakan remaja perempuan itu langsung tidak bersalah, saya rasa kedua-duanya bersalah.

“Jadi adakah adil jika hanya remaja lelaki itu dikenakan hukuman penjara lima atau 10 tahun sementara remaja perempuan itu pula bebas? Oleh itu saya fikir hukuman perlu dilihat dari semua sudut pada setiap kes dan tidak boleh ada hukuman tetap,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam (SKMTPA) berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan sesi dialog dengan masyarakat di sini hari ini.

Tun Zaki diminta mengulas kebenaran yang diberikan kerajaan kepada Jabatan Peguam Negara untuk meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi mengekalkan hukuman penjara mandatori ke atas pesalah yang melakukan seks dengan gadis bawah umur.

Perkara itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada sidang Dewan rakyat semalam.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini menggesa kerajaan menetapkan hukuman lebih berat kepada pesalah yang melakukan seks dengan gadis bawah umur 16 tahun atau rogol statutori agar golongan itu tidak dieksploitasi secara seksual.

Usaha itu berikutan keputusan Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur baru-baru ini yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen membebaskan pemain boling negara, Noor Afizal Azizan dengan perintah bon berkelakuan baik dan ikat jamin kerana ‘merogol’ gadis bawah umur.

Fakta menunjukkan Noor Afizal ketika berumur 19 tahun mengadakan hubungan seks dengan gadis berusia 13 tahun empat bulan semasa mereka bermalam di sebuah hotel di Air Keroh, Melaka pada 5 Jun 2009.

Perkara itu disedari oleh ayah gadis tersebut selepas membaca diari anaknya pada 19 Julai 2010 dan membuat laporan polis lapan hari selepas itu.

Zaki berkata, jika beliau yang mengadili kes Noor Afizal, beliau mungkin akan mengenakan hukuman sama ke atas pemain boling tersebut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121017/dn_12/Hukuman-rogol-perlu-budi-bicara#ixzz29Wn9iAQ0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pemandu van didakwa merogol lagi – Utusan


Pemandu van didakwa merogol lagi

KLANG 13 Sept. – Baru sebulan diikat jamin dalam satu kes rogol gadis bawah umur, seorang pemandu van hari ini sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga tuduhan merogol tiga pelajar sekolah, termasuk kejadian yang didakwa berlaku 10 hari lalu.

Tertuduh Ahmad Mustapah Ridwan, 20, mengaku bersalah bagi satu tuduhan sahaja, namun minta dibicarakan atas tiga tuduhan lain.

Lelaki itu mengaku merogol gadis berusia 14 tahun lima bulan pada pukul 11.30 malam, 3 September lalu di rumahnya di No. 369-21, Jalan Mohd. Yamin, Kampung Delek Kiri, dekat sini.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah merogol seorang lagi pelajar perempuan berusia 13 tahun tiga bulan di rumah yang sama sebanyak dua kali.

Kejadian itu didakwa berlaku antara pukul 12.39 tengah hari dan 6.30 petang, pada 1 Mac lalu dan antara pukul 8.20 malam dan 9.30 malam, 30 Mac lalu.

Lelaki masih dibicara rogol tiga lagi gadis – Metro


Lelaki masih dibicara rogol tiga lagi gadis

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KLANG: Gara-gara tidak dapat menahan gelora nafsu, seorang lelaki yang sedang dalam proses perbicaraan membabitkan satu kes rogol, masih melakukan kesalahan sama terhadap tiga lagi mangsa sejak Mac lalu.

Difahamkan, tiga remaja perempuan yang menjadi mangsa kepada suspek adalah pelajar sekolah yang dikenali melalui laman sosial facebook sebelum menjalinkan hubungan dengannya.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, sebelum ini, suspek berusia 20 tahun pernah didakwa Mac lalu membabitkan satu kes merogol seorang gadis bawah umur pada 2011 namun dilepaskan dengan ikat jamin RM10,000 sementara menunggu perbicaraan.

 

Menurutnya, walaupun masih dalam tempoh jaminan, lelaki terbabit masih meneruskan aktiviti terkutuknya dengan merogol tiga lagi gadis masing-masing berusia 13 dan 15 tahun.
Kejadian terakhir dilaporkan berlaku dua minggu lalu dan polis menerima maklumat selepas semua mangsa bersama ahli keluarga membuat laporan polis.
“Semua mangsa adalah pelajar sekolah menengah di daerah ini dan berkenalan dengan suspek menggunakan facebook sebelum mereka berjumpa dan suspek mengajak mangsa untuk pergi ke rumahnya yang terletak di Kampung Sungai Udang, di sini,” katanya.

 

 

Bagaimanapun, tembelang suspek pecah apabila ahli keluarga semua mangsa curiga kerana mangsa sering pulang lewat ke rumah dan memaksa mangsa menceritakan kejadian sebenar.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/12

MKKM bimbang hukuman ringan perogol gadis bawah umur – Utusan


MKKM bimbang hukuman ringan perogol gadis bawah umur

KUALA LUMPUR 4 Sept. – Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM) melahirkan kebimbangan terhadap pelaksanaan hukuman ringan oleh mahkamah dalam dua kes rogol melibatkan gadis bawah umur, baru-baru ini.

Kebimbangan tersebut disuarakan oleh Pengerusinya, Tan Sri Zaleha Ismail yang berpendapat hukuman ringan tersebut seolah-olah mengabaikan mangsa dan memberikan keutamaan terhadap pesalah.

Jelas beliau, badan perundangan langsung tidak mengambil perhatian terhadap kesengsaraan yang bakal dilalui oleh kanak-kanak yang teraniaya.

“Bukankah kanak-kanak itu juga harus diberikan pertimbangan sewajarnya?

“Adalah diragui sama ada hak, perlindungan dan kepentingan yang terbaik apatah lagi masa depan kanak-kanak bawah umur telah dan akan terus dipertahankan dan dilindungi dalam kes yang melibatkan rogol bawah umur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Lapor rogol gadis bawah umur – Utusan


Lapor rogol gadis bawah umur

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 2 Sept. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memandang serius dan bersedia menyiasat kes-kes rogol yang dilaporkan terutama membabitkan gadis bawah umur.

Sehubungan itu, ujar Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin, orang ramai tidak perlu takut untuk membuat laporan jika mereka menjadi mangsa rogol atau mengetahui mengenai jenayah tersebut.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab pihak polis untuk menyiasat semua laporan kes yang diterima tetapi terserah kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dan mahkamah untuk menentukan nasib suspek yang didakwa dalam kes berkenaan.

“Polis ada kuasa untuk menyiasat kes tetapi tindakan selanjutnya seperti pendakwaan dan menjatuhkan hukuman adalah terletak di bawah bidang kuasa DPP dan mahkamah.