Kes rogol: Hormati keputusan mahkamah ke atas Noor Afizal – Bernama


Kes rogol: Hormati keputusan mahkamah ke atas Noor Afizal

29 Ogos 2012
Pemain boling tenpin handalan kebangsaan Noor Afizal Azizan
Pemain boling tenpin handalan kebangsaan Noor Afizal Azizan.

KUALA LUMPUR- Keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen membebaskan pemain boling tenpin handalan Noor Afizal Azizan dengan perintah berkelakuan baik dan ikat jamin kerana merogol gadis bawah umur perlu dihormati dan kemuliaan mahkamah perlu dipelihara dan disanjungi.

Menegaskan demikian, Setiausaha agung Majlis Kebangsaan Jaksa Pendamai Malaysia, Datuk M.Ramalingam berkata hakim-hakim Mahkamah Rayuan telah bersusah payah menjelaskan rasional di sebalik keputusan mereka terhadap “pesalah terhadap kanak-kanak buat pertama kalinya itu”.

Noor Afizal diperintah berkelakuan baik selama lima tahun dan ikat jamin RM25,000 kerana kesalahan berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata: “Tidak timbul soal hakim-hakim kita menyalahgunakan peluang yang dibentangkan pada semakan kehakiman demi kepentingan masyarakat sivil.

“Ía menuntut kebijaksanaan dan pengetahuan serta perpaduan hakim untuk mencapai keputusan yang dapat diterima secara sah dengan kepentingan awam dilindungi dengan betul,” kata beliau.

Pada 8 Ogos, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Noor Afizal supaya dikekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 5 Julai tahun lepas yang memerintahkannya berkelakuan baik selama lima tahun dengan ikan jamin RM25,000.

Mahkamah tersebut mengambil kira beberapa faktor termasuk kewujudan hubungan seks atas persetujuan bersama antara tertuduh dengan gadis berkenaan.

Noor Afizal, 21, mengaku bersalah melakukan kesalahan itu ke atas gadis berusia 13-tahun di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka antara 12.30 pagi dan 5 pagi 5 Jun, 2009.

Namun berikutan rayuan pihak pendakwa, Mahkamah Tinggi Melaka pada 20 Sept tahun lepas menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Noor Afizal.

Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Raus Md Sharif dalam membenarkan rayuan pihak pendakwa untuk hukuman lebih berat, sebulat suara mengetepikan hukuman penjara lima tahun ke atas Noor Afizal oleh Mahkamah Tinggi itu.

Pemain boling tenpin itu pernah mewakili Negeri Sembilan antara 2004-2010 dan serentak itu, mewakili Malaysia dalam Kategori Belia Kebangsaan selama lima tahun (2004-2008).

Noor Afizal juga pernah beraksi di Kejohanan Terbuka Thailand International pada April tahun ini, dan dijangka mewakili Kedah dalam beberapa pertandingan yang bekal menjelang termasuk Kejohanan Terbuka Antarabangsa KL 2012. -Bernama

Pembantu restoran dituduh rogol gadis bawah umur – Sinar Harian


Pembantu restoran dituduh rogol gadis bawah umur
RUBIAH OMAR
1 Ogos 2012

Nor Iskandar mengaku tidak bersalah merogol gadis bawah umur di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU- Seorang pembantu sebuah restoran francais di bandar raya ini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas dakwaan merogol seorang gadis bawah umur, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Nor Iskandar Ahmad Shamsol Bahri, 20, dari Rumah Awam Kos Rendah, Bukit Payong, Marang, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan itu.

Dia mengaku tidak bersalah merogol mangsa yang semasa kejadian berusia 13 tahun di dalam bilik tidur di sebuah rumah di Jalan Sultan Mahmud, di sini, pada 2 Ogos 2010 antara jam lebih kurang 1 petang hingga 1.20 petang.

Dengan itu, dia mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud di hadapan hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Wan Fadhilah menetapkan 3 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Tiga rakan didakwa rogol, liwat gadis – Utusan


Tiga rakan didakwa rogol, liwat gadis

JOHOR BAHRU 13 Julai – Tiga sekawan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol dan meliwat seorang gadis bawah umur berusia 15 tahun di sebuah asrama dekat Masai, di sini bulan lalu.

Norizam Bahri, 22, didakwa atas enam pertuduhan, Mohammad Fauzi Rahmad, 20, empat pertuduhan dan Abdul Halim Rahamat, 20, dua pertuduhan.

Ketiga-tiganya yang bekerja sebagai pembantu kedai dituduh merogol dan meliwat remaja tersebut di asrama pekerja Armour Security, Nombor 59A, Jalan Sena 9, Taman Rinting, Masai antara pukul 2 petang, 29 Jun lalu dan pukul 2 petang keesokan harinya.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta Seksyen 377C kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Rogol gadis bawah umur di homestay – Sinar Harian


Rogol gadis bawah umur di homestay
WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Jun 2012

Tertuduh dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
AYER KEROH – Seorang pembantu kedai elektrik didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini semalam atas tuduhan merogol seorang remaja bawah umur.

Tertuduh, Mohd Nor Ridzuan Wahab, 25, didakwa merogol seorang gadis berusia 14 tahun di sebuah inap desa di negeri ini, minggu lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas mengangguk faham pertuduhan didakwa ke atasnya di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharuddin.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa merogol gadis berkenaan di dalam bilik sebuah inap desa di belakang sebuah rumah dekat Bukit Lintang, kira-kira 5.30 pagi, 10 Jun lalu.

Mohd Nor Ridzuan dituduh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fairuz Syuhada Amran ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM15,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguambela Ishak Kari memohon wang jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh bekerja sendiri dan perlu menyara ayahnya.

Selepas mendengar rayuan itu, Harmi Thamri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan sebutan semula kes untuk serahan dokumen pada laporan hospital pada 17 Julai depan.

2 lelaki dipenjara 15 tahun, sebat kerana rogol gadis bawah umur – Bernama


2 lelaki dipenjara 15 tahun, sebat kerana rogol gadis bawah umur
2012/06/11

KUALA LUMPUR: Dua lelaki masing-masing dihukum penjara 15 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang selepas didapati bersalah merogol dua gadis bawah umur dengan mengumpan kad tambah nilai telefon bimbit atau wang sebagai upah untuk melakukan seks.

Hakim Rosziayanati Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Aidil Rashid, 38, dan Lee Kwong Mun, 36 yang menghadapi dua pertuduhan merogol gadis berumur 14 dan 13 tahun.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.
Rosziayanati turut membenarkan permohonan peguam Datuk Dr Radzuan Ibrahim yang mewakili Aidil dan P Selvaraj yang mewakili Lee untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, mahkamah menaikkan wang jaminan kedua-dua tertuduh daripada RM16,000 kepada RM25,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selain melaporkan diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Rosziayanati ketika menjatuhkan hukuman berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah di akhir kes pembelaan.

Dalam keputusannya, Rosziayanati berkata mahkamah menerima keterangan kedua-dua mangsa yang tidak bercanggah dan jelas serta meyakinkan mahkamah bahawa kedua-dua lelaki berkenaan merogol mereka.
“Keterangan mangsa adalah konsisten dan dipercayai, tiada sebab untuk mahkamah tidak mempercayai mereka,” katanya.

Rosziayanati berkata, dalam keterangan kedua-dua mangsa itu, mereka diberi imbuhan kad tambah nilai telefon bimbit atau wang untuk melakukan seks.

Aidil yang bekerja sebagai penghantar surat, didakwa merogol dua gadis bawah umur di sebuah bilik Pangsapuri Taman Industri Lembah Jaya di antara jam 3 petang dan 3.30 petang, pada April dan Jun 2010.

Sementara Lee pula didakwa merogol kedua-dua gadis itu, di antara jam 9 malam hingga 9.30 malam pada Ogos 2009 dan Mei 2010.

Kedua-dua lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Dalina Ali. – BERNAMA

Buruh mengaku tidak bersalah rogol jiran OKU – Sinar Harian


Buruh mengaku tidak bersalah rogol jiran OKU
WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Jun 2012
KUANTAN – Seorang buruh tidak mengaku bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan merogol jirannya iaitu seorang gadis bawah umur yang juga orang kurang upaya (OKU) pada Jun, 2010 lalu.

Tertuduh, Amri Mustaffa, 26, mengaku tidak bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Umairah K M Heider.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Amri dituduh merogol seorang gadis bawah umur berusia 17 tahun dan dua bulan di sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung di Nenasi, Pekan pada 8 Jun 2010, kira-kira jam 1 petang.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Mohd Azman Ariffin yang menawarkan jaminan sebanyak RM7,000.

Namun Umairah menetapkan Isnin ini untuk sebutan semula kes termasuk jumlah jaminan yang akan dikenakan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam ditemani ahli keluarganya sepanjang prosiding mahkamah berlangsung.

Sebelum ini, berdasarkan fakta kes, tertuduh mengambil kesempatan merogol mangsa selepas mendapati mangsa tinggal seorang diri ketika pergi ke rumahnya pada hari kejadian untuk meminjam peralatan bertukang.

Keadaan mangsa yang tidak boleh bercakap dan mengalami masalah mental tidak mampu melawan perbuatan tertuduh dan kejadian itu hanya disedari oleh adik mangsa yang berusia 12 tahun ketika pulang dari sekolah.

Dalam pada itu, di mahkamah sama, seorang lelaki, Mohd Zaimi Abdullah, 40, mengaku tidak bersalah atas tuduhan mendatangkan kecederaan pada seorang lelaki, Isnin lalu.

Umairah menetapkan Isnin ini untuk sebutan semula kes, manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya, Chif Inspektor Mohd Azman Ariffin.

Mengaku rogol gadis 16 tahun – Sinar Harian


Mengaku rogol gadis 16 tahun
WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Mei 2012

JOHOR BAHRU – Perkena­lan hampir enam bulan dengan seorang jejaka berakhir duka apabila remaja perempuan berusia 16 tahun dirogol, Rabu lalu.

Kejadian berlaku di sebuah bilik di Rumah Pekerja Ladang, Kulaijaya, kira-kira jam 7 hingga 9 pagi.

Pekerja warga Indonesia, Hasanudin, 20, mengaku salah di Mahkamah Sesyen semalam, atas tuduhan merogol gadis bawah umur itu.

Hakim, Zamri Bakar menetapkan hukuman penjara lima tahun ke atas tertuduh bermula dari tarikh tangkapan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dzul Iswari Mohd Jaafar, manakala Hasanudin tidak diwakili peguam.

Rogol gadis bawah umur, pemuda dipenjara 25 tahun – Sinar Harian


Rogol gadis bawah umur, pemuda dipenjara 25 tahun

SITI AZIELAH WAHI
26 April 2012

AMPANG – Seorang pemuda dihukum penjara  25 tahun dan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen  di sini atas kesalahan merogol seorang gadis bawah umur tahun lalu.

Hakim Roszianayati Ahmad menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Khairul Ivan Iqmal Khairul Azizan Saw, 23,  selepas meneliti dan mempertimbang keterangan saksi pendakwa, tertuduh dan mangsa, yang berjaya membuktikan kes itu di luar keraguan munasabah.

Pada 11 Mei lalu, dia telah merogol seorang pelajar berusia 15 tahun dalam sebuah van di  tepi Jalan Kosas 3/9 sekitar jam 11 pagi.

Kesalahan yang dilakukan itu didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun atau sebatan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Upah seks ‘tutup mulut’ – Sinar Harian


Upah seks ‘tutup mulut’

M FEISAL NORAWI
28 Mac 2012
Tertuduh

TEMERLOH – Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang bimbang rakaman aksi hubungan seks bersama kekasihnya disebar dalam internet terpaksa pula melayan nafsu rakan kekasihnya yang merakam aksi itu sebagai upah ‘tutup mulut’.

Dalam kejadian 28 Februari 2012, mangsa keluar bersiar-siar bersama kekasihnya berusia 18 tahun di kawasan air terjun Bukit Bertangga, Felda Kumai, Triang, Bera.

Mangsa kemudian diajak teman lelakinya melakukan hubungan seks dan dalam terpaksa mangsa menurutinya.

Tanpa mangsa sedari aksi hubungan seks itu dirakam seorang rakan mangsa berusia 19 tahun yang kemudiannya mengugut untuk menyebarkan rakaman tersebut.

Mangsa yang ketakutan akhirnya terpaksa pula melayan nafsu rakan kekasihnya sebagai upah tutup mulut.

Namun akibat ketakutan, mangsa akhirnya membuat laporan polis berhubung kejadian.

Susulan kejadian, dua remaja lelaki yang masih menganggur berdepan hukuman penjara sehingga dua puluh tahun dan sebat selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan merogol gadis bawah umur.

Tertuduh Mohd Kamarul Zaman Muhamed 19 dan rakannya yang berusia 18 tahun, kedua-duanya dari Felda Kumai, Triang bakal berdepan hukuman tersebut selepas didakwa di mahkamah pagi semalam.

Kedua-dua remaja terbabit dituduh merogol seorang remaja perempuan berumur 15 tahun di kawasan air terjun Bukit Bertangga, Felda Kumai kira-kira jam empat petang 28 Februari lalu.

Kedua-dua mereka yang didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (1) mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali kemudian memutuskan kes disebut semula pada 25 April 2012 untuk mendengar keputusan dan kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin serta dihantar ke penjara Penor untuk ditahan.

Gadis bawah umur hanyut dibuai cinta – Metro


Gadis bawah umur hanyut dibuai cinta

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Akibat kejutan budaya dan rasa sayang yang mendalam, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun sanggup membiarkan tubuhnya menjadi ‘santapan’ teman lelaki yang baru dikenali beberapa bulan. Semuanya kerana kepercayaan yang tidak berbelah bagi kepada kekasihnya.

Biarpun dilarang ibu bapanya keluar rumah, dia tidak peduli asal saja dapat memenuhi permintaan lelaki buaya darat itu.

Remaja yang mahu dikenali sebagai Baizura berkata, semuanya gara-gara perasaan cinta mendalam hingga dia sanggup membelakangkan orang tuanya.

“Awal persekolahan, saya ditempatkan di asrama penuh. Faham saja apabila duduk di asrama semuanya dalam keadaan terkawal dan penuh dengan larangan. Tiada televisyen, radio mahupun telefon.

 
“Aktiviti kami hanya pergi kelas, dewan makan, perpustakaan dan kokurikulum. Jujurnya, sudah bosan dengan jadual sama setiap hari, namun terpaksa ikut sebab tiada pilihan,” kata anak bongsu enam beradik ini.

Menurut Baizura, episod hitamnya bermula apabila dia ditimpa kemalangan motosikal menyebabkan dia koma lima hari di hospital akibat darah beku.