Gadis Orang Asli hilang – Sinar Harian


Gadis Orang Asli hilang

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 November 2012
Gadis Orang Asli hilang
Masani dan Busu gembira selepas cucu mereka ditemui semula.

ROMPIN – Seorang gadis Orang Asli yang menghidap sakit mental dilaporkan hilang selama dua hari ditemui pengsan atas jalan raya di sebuah ladang kelapa sawit swasta di Muadzam Shah, di sini.

Tedah Ayat, 15, ditemui dalam keadaan lemah selepas dipercayai hilang dari rumahnya berhampiran ladang sawit itu kira-kira jam 2 petang Jumaat lalu sebelum ditemui semula bapa saudaranya, Betah a/l Loncok awal pagi Ahad lalu.

Betah berkata, dia dihubungi ibu Tedah, Masnah a/p Inchu, 40-an pada jam 11 malam Jumaat lalu dan terus ke hutan berhampiran rumah terbabit bagi mencari anak buahnya yang dilaporkan hilang.

“Adik ipar hubungi saya memaklumkan anak dia tidak pulang ke rumah dan saya terus ke rumah Masnah kerana bimbang keselamatan anak buah saya yang menghidap penyakit mental,” katanya kepada Sinar Harian.

Betah berkata, pada malam itu juga, dia yang menunggang motosikal terpaksa meredah hutan seorang diri dalam usaha mengesan dan mencari Tedah kerana bimbang keselamatan gadis itu.

“Malam itu juga saya cuba cari Tedah di kawasan hutan berhampiran tapi tak jumpa dan saya pulang semula ke rumah kerana waktu sudah awal pagi selain keadaan pada waktu itu gelap,” katanya.

Lemah tak bermaya

Menurutnya, dia sekali lagi masuk ke hutan itu keesokannya bagi mencari Tedah, namun sehingga lewat petang kelibat anak sulung daripada empat beradik itu juga tidak kelihatan.

“Hati saya kuat mengatakan dia berada tidak jauh dari hutan ini, tapi sehingga ke malam, bayangnya pun tak nampak. Namun, saya tetap tak putus asa dan terus mencarinya sehingga awal pagi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sewaktu sedang melalui sebuah jalan ladang pada awal pagi itu, dia terkejut apabila melihat sekujur badan sedang baring atas jalan tersebut.

“Dari jauh saya sudah nampak ada kelibat orang di hadapan saya. Saya memperlahankan motosikal dan alangkah terkejutnya apabila melihat anak buah saya terbaring keseorangan dalam gelap,” katanya.

Katanya, dia beberapa kali cuba mengejutkan Tedah, namun anak buahnya itu masih belum sedar dipercayai kemungkinan terlalu letih akibat berada lama berada dalam hutan terbabit.

“Keadaannya lemah dan tak bermaya, lalu saya segera membawanya menemui keluarganya dan dipercayai Tedah tidak makan dan minum sejak dia menghilangkan diri,” katanya.

Katanya, anak saudaranya itu dipercayai hilang selepas kedua-dua ibu bapanya keluar mencari dahan bertam di kawasan hutan berhampiran.

“Sebaik saja ibu bapanya pulang ke rumah, mereka terkejut apabila mendapati anak mereka sudah tiada di rumah dan terus mencarinya di kawasan hutan berhampiran.

“Selepas tidak menemui anak mereka sehingga lewat malam, mereka hubungi saya supaya bantu mengesan dan mencari anak mereka yang hilang,” katanya.

Sementara itu, usaha Sinar Harian menemui ibu bapa Tedah tidak kesampaian apabila mereka iada di rumah kerana difahamkan keluar untuk mencari hasil hutan.

Cucu kesayangan keluarga

Neneknya, Masani a/p Kepong, 78, berkata, biasanya cucunya itu tinggal bersamanya jika ibu bapa mereka keluar mencari hasil hutan, namun pada hari itu Tedah tidak pula datang ke rumahnya di Kampung Langkap Dalam.

Katanya, apabila diberitahu cucunya itu hilang, dia mula berasa sedih dan berharap agar Tedah dapat ditemui semula kerana dia menjaga gadis itu sejak masih bayi lagi.

“Saya menangis seorang diri kerana risau sesuatu tidak diingini berlaku dalam hutan, apatah lagi Tedah seorang gadis dan ada penyakit mental,” katanya.

Menurutnya, Tedah mengalami sakit mental sejak tujuh tahun lalu akibat demam panas adalah seorang cucu yang baik dan tidak banyak karenah serta rapat dengannya.

“Tedah seorang cucu yang baik dan dia mudah disuruh dan jika dia tiada dia di rumah ini, saya dan suami sudah pasti akan merinduinya,” katanya.

Datuknya, Busu a/l Entak, 80, berkata, walaupun Tedah menghidap sakit mental, namun kasih sayangnya terhadap cucunya itu tiada tolok bandingnya dengan cucunya yang lain.

“Saya ada ramai cucu, kalau hendak dibandingkan dengan yang lain, Tedah adalah cucu paling rapat dengan kami kerana sejak kecil dia tinggal dengan kami kalau ibu bapanya keluar cari hasil hutan,” katanya.

Menurutnya, dia gembira apabila mengetahui cucunya itu ditemui semula dan ingin memastikan Tedah dalam keadaan selamat dan tidak hilang lagi selepas kejadian itu.

“Cukuplah kali ini, saya tak mahu Tedah hilang kerana kami sangat sayangkannya. Walaupun dia tidak sihat seperti insan lain, tapi bagi kami, Tedah adalah segala-galanya,” katanya.