Pelarasan gaji SSM turut dinikmati penjawat awam di tangga gaji maksima: CUEPACS – Bernama


Pelarasan gaji SSM turut dinikmati penjawat awam di tangga gaji maksima: CUEPACS

2012/03/08

KUALA LUMPUR: Penjawat awam yang telah mencapai tangga gaji maksima akan turut menikmati pelarasan gaji di bawah penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

“Mekanisma pelarasan dan butiran terperinci akan kita bincangkan dalam suruhanjaya yang ditubuhkan nanti,” kata Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman ketika dihubungi BERNAMA hari ini.

Najib hari ini mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan SSM yang ditambah baik selain mengumumkan pelarasan gaji antara tujuh peratus dan 13 peratus bagi penjawat awam mengikut gred.

Perdana Menteri juga mengumumkan penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia, yang bukan saja membabitkan sistem saraan malah rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara.

Omar berterima kasih kepada Perdana Menteri bagi pihak penjawat awam di atas pengumuman tersebut dan meminta penjawat awam agar bersabar dengan pelaksanaan pelarasan gaji tersebut.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan pula berkata keputusan membatalkan SBPA dilihat sebagai tindakan bijaksana yang memberi keadilan kepada semua pihak.

“Mungkin ada pihak yang kurang puas hati dengan keputusan ini, namun kita perlu rasional bahawa kerajaan dalam masa yang sama tidak mampu memuaskan hati semua pihak,” katanya.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM), Khairil Niza Khairuddin yang menyambut baik pelarasan gaji itu bagaimanapun mahu kerajaan bertindak mengawal kenaikan harga barang di pasaran supaya tidak menjejaskan kenaikan gaji penjawat awam.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata pembatalan SBPA adalah bukti kerajaan mengiktiraf dan memahami beban rakyat terutamanya penjawat awam.

“Sistem negara moden memperuntukkan kerajaan perlu mengambil kira dan pandangan dari pihak peniaga mahupun masyarakat sivil dan pembatalan ini jelas menunjukkan Perdana Menteri kita telah mengotakan janjinya sebelum ini,” katanya.

Anggota tentera, Saiful Azmie Mohammed, 35, yang bakal menerima kenaikan gaji 13 peratus berkata pembatalan SBPA adalah satu tindakan yang wajar.

“Anggota beruniform seperti saya yang berada dalam kumpulan antara gred 42 hingga 44 tidak ada bantahan dengan pembatalan dan kenaikan gaji,” katanya.

Seorang guru, Mohd Sanusi Ismail, 46, berkata penjawat awam perlu bersyukur dengan kenaikan tersebut dan tidak patut mengeluh mahukan gaji yang lebih tinggi daripada kerajaan.

“Jumlah kenaikan sudah diputuskan, saya tidak kisah kerana bagi saya mudah, jika kewangan kerajaan mampu dan ada bajet lebih, sudah pasti rakyat dan penjawat awam orang pertama yang akan menerimanya,” katanya.

Pensyarah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam, Zariyawati Shaari, 32, berkata pembatalan SBPA mempunyai kebaikan dan keburukan.

“Saya menerima kenaikan 13 peratus, namun masih terlalu awal untuk menilai dan terdapat beberapa isu yang masih tidak jelas mengenai pembatalannya.

“Saya harap apa-apa pelaksanaan yang kerajaan lakukan perlu ambil kira semua perkara dan gaji golongan tertentu berpatutan dengan kerja dan kelayakan mereka,” kata Zariyawati.

Penolong Pentadbir Tanah, Ahmad Fayadh Abdul Manap, 26, pula kecewa dengan pembatalan SBPA.

“Saya rasa SBPA ini memberi satu fasa baru kepada penjawat awam secara keseluruhannya. Sepatutnya SBPA yang perlu ditambah baik bukan SSM yang dikekalkan.

“Perlu diingatkan bahawa mereka yang mendapat kenaikan gaji berdasarkan skim SBPA adalah pegawai kerajaan yang mempunyai kelayakan akademik setimpal,” katanya.

Beliau berkata kenaikan gaji pegawai kerajaan melalui skim SBPA secara tidak langsung boleh membantu mereka untuk membayar balik pinjaman pendidikan ketika menuntut di institut pengajian tinggi sebelum ini.

Kakitangan Majlis Perbandaran Bentong, A Kalaichalvi, 32, berkata beliau berpuas hati dengan pengumuman hari ini kerana jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dengan nasib kakitangan awam terutamanya golongan bawahan.

“Saya yakin dan percaya pengumuman itu akan membangkitkan lagi semangat penjawat awam untuk terus bekerja dengan gigih bagi memastikan tahap dan pencapaian sentiasa berada di landasan betul,” katanya. – BERNAMA

Najib harap mansuh SBPA ‘gembirakan’ semua – Sinar Harian


Najib harap mansuh SBPA ‘gembirakan’ semua

8 Mac 2012
Enam program berimpak tinggi untuk rangsang pertumbuhan PKS

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap langkah kerajaan memansuhkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang diumumkan hari ini, akan meredakan rasa tidak puas hati di kalangan 1.4 juta anggota sektor awam.

“Saya harap keputusan ini dapat meredakan ketidakpuasan hati penjawat awam pelbagai peringkat. Bagi isu-isu lain yang berkaitan perkhidmatan dan skim perkhidmatan, perkara ini akan dikaji oleh suruhanjaya yang diumumkan tadi,” kata beliau di sini hari ini.

Najib berkata, bagi menjayakan segala perubahan dalam perjalanan menuju matlamat untuk transformasi negara, peranan yang penting terletak di bahu penjawat awam keseluruhannya.

Beliau berkata, SBPA yang diperkenalkan awal tahun ini mengundang keresahan, rasa terkilan dan perasaan tidak puas hati penjawat awam, dan oleh kerana kerajaan semasa adalah kerajaan yang prihatin serta mengenang jasa dan budi, ia mendengar keluh kesah rakyat.

“Kita bukan seperti puak-puak yang belum berjaya membentuk kerajaan sudah mahu membuang kakitangan awam,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, sambil menjelaskan bahawa ekoran rasa tidak puas hati itu, kerajaan pada 12 Jan lepas memutuskan supaya SBPA dikaji semula.

Sebuah pasukan petugas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam TanSri Ismail Adam kemudiannya ditubuhkan dan diberi tempoh tiga bulan untuk meneliti semua aduan serta maklumat balas yang dikemukakan.

Ia diberi tanggungjawab mengemukakan cadangan penyelesaian kepada kerajaan.

Perdana Menteri berkata, sebarang cadangan yang disyorkan oleh suruhanjaya yang dianggotai semua pihak berkepentingan yang bekerja menerusi prinsip musyawarah, perundingan dan permuafakatan itu akan dipertimbang mengikut kemampuan kerajaan.
Katanya, struktur gaji SSM akan diubah suai daripada jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-maksimum dengan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga 54 ditetapkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred.
Kadar KGT bagi JUSA dan ke atas pula kekal menggunakan Kenaikan Gaji Tahunan SSM dengan diberikan pelarasan mengikut peratusan yang ditetapkan.

Najib berkata, kerajaan juga bersetuju supaya Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Bayaran Insentif Wilayah (BIW), Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP), dikekal pelaksanaannya mengikut peraturan sedia ada di bawah SSM.

Bagi guru-guru pula, menurutnya, kerajaan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya berasaskan prinsip “time-based” Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti yang diumum dalam Bajet 2012.

Gaji Minimum-Maksimum ganti struktur gaji SSM – Utusan


Gaji Minimum-Maksimum ganti struktur gaji SSM

08/03/2012 11:30am

 

PUTRAJAYA 8 Mac – Jadual Gaji Minimum -Maksimum diperkenalkan menggantikan struktur gaji Sistem Saraan Malaysia (SSM), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jadual gaji yang diubah suai itu menyaksikan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga Gred 54 sebanyak RM80 hingga RM320 mengikut gred.

Kadar KGT bagi JUSA dan ke atas kekal menggunakan KGT SSM dengan diberi pelarasan mengikut peratusan yang ditetapkan. – UTUSAN